Sunday, 4 May 2008

Rustam A Sani

Kalau Rustam Sani masih ingat lagi pertemuan kami di ISIS pada pertengahan tahun 1992 atas urusan projek video korporat MIMOS, tentu sekali saya merasa amat berbesar hati. Itu kali pertama saya bertemu dengannya. Kali kedua, saya terserempak dengannya pada tahun 1994 semasa dia dan isterinya Ruhani Rustam sedang berbelanja di Jaya Jusco Wangsa Maju. Saya bersalaman dengan Rustam, memperkenalkan diri dan cuba mengingatkan dia siapa saya dan di mana kami pernah bertemu dulu. Dia menganggukkan kepala. Entah betul dia masih ingat saya tidak pasti. Mungkin dia sudah lupa tetapi untuk tidak menghampakan dia terpaksa berpura-pura ingat.

Pada pertemuan yang berlangsung kurang daripada lima minit itu, saya sempat mengingatkan bahawa dialah orang yang memberi saya inspirasi dan ketika itu memberitahunya bahawa saya sedang dalam proses menulis buku seperti dicadangkannya. Pertemuan kali kedua itu tidak saya selitkan dalam mana-mana bahagian buku ini kerana saya tidak menemui titik relevannya. Tetapi memang benar, waktu itu saya sedang bersungguh-sungguh mahu menyiapkan “Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei” yang sudah hampir separuh siap dan tidak sabar-sabar mahu melihat hasilnya.


Itu sebahagian daripada salam pengenalan buku Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei yang saya mulakan beberapa bulan selepas bertemu Rustam Sani. Memang benar seperti kata Rustam, saya mempunyai terlalu banyak cerita untuk ditulis sehinggakan pada satu peringkat saya menghadapi masalah untuk memilih cerita mana untuk ditulis dahulu.

Tetapi sayang, atas sebab-sebab peribadi, sebaik saja selesai menguruskan pemergian U-Wei dan filemnya Kaki Bakar ke Cannes Film Festival pada Mei 1995 yang turut diserta rakan-rakan seperti Khalid Salleh, Shaharuddin Thamby, Sofea Jane, Anwar Idris, Kamarudin Abu dan lain-lain, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan buku yang sudah hampir tiga suku siap itu. Saya cuba melupakan hasrat tersebut dan tidak pernah lagi cuba membaca manuskrip tersebut.

Tetapi entah kenapa, dua belas tahun selepas itu tiba-tiba saya bertukar fikiran dan jadi teruja untuk menulis semula. Mungkin kerana saya dikejutkan dengan beberapa penemuan diri dan pengalaman aneh dan menarik yang membuatkan saya terasa bahawa kalau saya menulis semula saya mampu meluaskan skop penceritaan saya. Lalu saya bekerja semula dan mengubah judulnya kepada Saya Tak Ada MBA. Namun begitu, Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei masih menjadi asas penceritaan saya dan U-Wei Haji Saari masih menjadi watak penting yang sering saya sebut dan rujuk.

Saya mengharapkan satu hari nanti, kalau diizinkan Allah buku yang saya mulakan sejak Februari tahun lepas berjaya diterbitkan, saya mahu Rustam Sani menjadi tetamu penting pada majlis pelancarannya. Sama ada dia masih ingat lagi atau tidak, saya akan pergi menemuinya untuk menyampaikan undangan secara peribadi. Saya pasti dia tak mungkin lupa tentang pertemuan itu dan tak mungkin juga dia lupa tentang latar belakang saya pernah bekerja dengan Dinsman dan juga U-Wei.

Dia juga tak mungkin lupa apa yang pernah diberitahunya. Antara kata-katanya, "Saya tak suka tengok drama Melayu kerana insulting my intelligence,” dan seperkara lagi yang diberitahu kepada saya semasa bercerita tentang filem Melayu, “I’m not a fan of P. Ramlee.” Tetapi bila saya bercerita tentang U-Wei, tiba-tiba dia jadi tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang latar belakang sahabat saya itu yang pada masa kami bertemu itu sedang berhempas-pulas dengan segala macam kepedihan dan "pendarahan" menyiapkan Perempuan, Isteri dan Jalang di lokasi sebuah kampung di Pekan, Pahang.

Dia bertanya banyak soalan tentang U-Wei, latar belakang dan agak tertarik bila saya cuba meyakinkan tentang U-Wei. Saya memberitahunya, kalau hanya dengan mendengar cerita saya dia sudah tertarik dengan U-Wei, saya pasti dia mungkin akan “jatuh cinta” bila bertemu dengan satu-satunya pembikin filem Melayu yang saya sanjungi itu. Dia lebih bijak dan sudah tentu lebih tahu bagaimana mahu menyelongkar falsafah pemikiran U-Wei tentang filem, muzik, sastera Melayu, sastera Inggeris, pemikiran orang Melayu dan banyak perkara lagi. Malah, dia juga bersetuju dengan saranan saya supaya U-Wei diberi peluang berdiskusi dengan para intelek di ISIS, mungkin bakal menjadi sejarah sebagai pembikin filem Melayu pertama berbuat demikian (Catatan: Tetapi sayang sekali, Shuhaimi Baba terlebih dahulu mendapat peluang tersebut, kalau tidak silap beberapa tahun selepas itu atas usaha pihak yang tidak pernah saya ketahui).

Entah apa sebabnya, pertemuan yang seharusnya berlangsung cuma beberapa minit itu (kerana apa yang saya mahukan berhubung video korporat MIMOS tidak ada dalam simpanan Rustam) berlarutan dan Rustam yang sedang sibuk mengejar deadline kolumnya di Utusan Malaysia bersedia pula meluangkan masa untuk saya. Pada petang itu kami bercerita panjang dan agak memeranjatkan kerana dia banyak juga bersetuju dengan saya tentang banyak perkara. Bukan mudah bagi orang seperti Rustam yang tajam pemikiran dan amat kritikal dalam banyak perkara untuk bersetuju dengan pendapat orang lain terutama orang seperti saya yang belajar pun tak setinggi mana.

Itu peristiwa yang berlaku pada tahun 1992 yang menjadi titik-tolak saya mendapat inspirasi untuk menulis buku.

Seperti saya sebutkan tadi, pada awal 2007, bila menulis semula, saya masih menyimpan harapan yang sama. Saya selalu berdoa semoga Allah akan memanjangkan usianya dan kalau buku itu berjaya diterbitkan nanti saya bukan sekadar mahu mengundang Rustam hadir ke majlis itu tetapi saya juga mahu dia menulis notanya di dalam buku itu. Peduli apa orang nak kata. Saya bukan memanggil Rustam atas sifatnya sebagai seorang pejuang Parti Keadilan Rakyat atau penyokong Anwar Ibrahim. Saya hanya melihat Rustam sebagai seorang cendekiawan, penganalisis politik, pengkaji sosiobudaya dan pengkritik sastera tanah air yang prolifik yang memang amat saya hormati sejak dulu. Saya juga menghormatinya kerana dia mewarisi perjuangan ayahnya Ahmad Boestamam yang juga dikenali dengan nama pena Ruhi Hayat, seorang penulis, nasionalis, pejuang kemerdekaan dan pengasas Parti Rakyat Malaysia yang namanya semakin cuba dipadamkan daripada sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan.

Tetapi, sebagai manusia kita hanya boleh merancang dan menyimpan harapan. Allah juga yang menentukan segalanya. Pada jam 3 pagi 23 April 2008, Rustam dipanggil menghadap Illahi dan pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya.

Sungguhpun saya tidak mempunyai sebarang sejarah panjang dengan Allahyarham dan beliau tidak sepenting Dinsman, U-Wei, Sani Sudin dan Usop serta beberapa sahabat lain yang banyak mempengaruhi pemikiran dan hidup saya, tetapi pemergiannya tetap mengejutkan saya. Seperti banyak yang telah berlaku sebelum ini, sekali lagi saya terkilan kerana hajat saya tidak kesampaian untuk melihat catatannya dalam Saya Tak Ada MBA. Kata-katanya, “Kenapa you tak tulis buku?” tidak mungkin luput daripada ingatan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Faatihah.

Nota kaki:

Naskah kertas kerja yang diberikannya kepada saya pada pertemuan itu masih saya simpan hingga sekarang. Kertas tersebut mengupas Wawasan 2020 yang berjudul Wawasan 2020: Konsep, Cabaran dan Hambatan, di bentangkan di salah satu sesi Kursus Dasar-dasar Utama Negara anjuran Kementerian Pendidikan pada bulan Julai 1992 bertempat di Pulau Langkawi.

No comments: