Sunday, 25 May 2008

Aduh! Rimasnya saya...

Ada beberapa sebab mengapa saya malas menulis sejak akhir-akhir ini. Selain rimas dengan suasana politik negara (kalau boleh blog ini tak mahu menyentuh hal-hal bersangkutan politik. Tak manis jadinya nanti...), saya juga rimas dengan apa yang berlaku dengan projek Dunia Dalam Satu Kilometer S. Amin Shahab.

Dulu memang saya bersemangat sekali dan amat seronok bila dipanggil secara rasmi oleh pihak Balai untuk membentangkan cadangan penjenamaan semula projek tersebut. Tetapi bila saja sudah berada di dalam bilik mesyuarat dan tiba-tiba diberitahu bahawa saya tidak ada locus standi, walaupun saya bukan jenis lemah semangat, tetapi saya amat terkilan dengan kejadian itu.

Mahu juga saya bertanya, apakah seniman seperti Amin tidak punya hak melantik pihak ketiga untuk mewakilinya dan menguruskan segala macam hal berkaitan projeknya? Bagaimana kalau perlantikan itu dibuat secara sah mengikut undang-undang negara? Apakah pihak KeKKWA pada masa itu akan tetap mengatakan pihak ketiga yang dilantik itu masih tidak mempunyai locus standi? Bagaimana pula kalau Amin melantik seorang agen undang-undang iaitu seorang peguam? Tak ada locus standi juga?

Dan lebih terkilan lagi saya bila mengenangkan perkara itu, umpama sudah dijemput hadir ke majlis kenduri tetapi sebelum majlis tahlil bermula, walaupun surah yasin sudah ada di tangan, tiba-tiba tok imam memberitahu sebenarnya saya tak layak menyertai tahlil itu. Tak mengapalah. Bukankah Budi Bahasa Budaya Kita?

Kasihan Amin, sedangkan pelajar Akademi Fantasia yang menyanyi pun masih belum berapa betul sudah boleh melantik pengurus, Amin yang sudah ada nama dalam bidang seni tampak dan kini sedang mengusahakan projek lakaran pena di atas kanvas terpanjang di dunia seperti tidak dibenarkan (tak pasti sama ada ini arahan atau kerja suka-suka) melantik pengurus kerana ada pihak yang enggan mengiktiraf peranan pihak ketiga yang dilantik sekalipun dengan persetujuan tuan punya badan. Dengarnya (saya harap khabar ini hanya khabar angin saja), sehingga sekarang pun Balai masih enggan mengiktiraf pihak ketiga. Dan dengar khabarnya juga, pihak Balai hanya mahu berurusan dengan Amin seorang. Aduh! Saya hanya mampu berdoa agar perkara ini sebenarnya hanya rekaan semata-mata atau mungkin merupakan satu fitnah yang ditabur kerana agenda pihak tertentu. Wallahua'alam.

Beberapa minggu sudah, YB Menteri mengumumkan bahawa selepas ini seni, budaya dan warisan negara akan dijenamakan dan dipasarkan di peringkat antarabangsa dengan secara lebih berkesan dan bukan sekadar dipamer atau dipersembahkan tetapi juga mampu meraih hasil pendapatan. Usaha pengkomersialan seni, budaya dan warisan tempatan ini bukan sahaja baik untuk negara tetapi juga untuk para penggiat.

Saya harap YB Menteri juga tahu dan faham bahawa projek Amin sangat besar potensinya dan mampu pergi lebih jauh kalau dapat diurus secara lebih profesional selaras dengan apa yang disebut beliau. Sejak setahun yang lalu, lama sebelum YB Menteri baru mengambil alih jawatan dan membuat pengumuman tersebut, itulah yang menjadi hasrat sebenar kami, iaitu untuk mengkomersialkan kerja seni Amin Shahab bagi membolehkan dia menikmati hasil daripada penat jerihnya selama hampir empat tahun. Pada masa yang sama, kami juga mahu melihat KPKKW dan juga Balai turut menerima faedah kewangan daripada projek tersebut yang boleh disalurkan menerusi pelbagai cara bagi faedah pembangunan dan kebajikan para pelukis tempatan.

Projek Amin amat besar ertinya kepada negara yang wajar difahami birokrasi. Sayang sekali, saya lihat masih tak ramai anak Melayu yang kononnya bijaksana dapat melihat sejauh mana lakaran itu mampu pergi dan berupaya menoleh ke arah pasaran antarabangsa. Dan lebih menyedihkan mereka juga masih belum mampu memahami makna pengurusan profesional. Mungkin kerana itu agaknya mereka enggan mengiktiraf peranan pengurus profesional di pihak pelukis seperti Amin.

Kertas cadangan sudah lama siap dengan pelbagi idea dan program, tetapi terlalu banyak isu yang timbul yang menjadi penghalang kepada cadangan itu untuk bergerak walaupun setingkat ke atas. Saya berpendapat perkara remeh sebegini tidak harus wujud dalam sebuah organisasi yang hampir lengkap dan sempurna infrastrukturnya. Cuma mungkin agaknya sebahagian sistem dan perisiannya saja yang memerlukan sedikit penambahbaikan serta pengubahsuaian. Apakah soal ini juga memerlukan campur tangan Menteri?

Nota kaki yang agak panjang:

Salam untuk U-Wei Haji Saari, Khalid Salleh, Sofea Jane, Shahruddin Thamby, Anwar Idris dan lain-lain yang menyertai rombongan Kaki Bakar ke Cannes Film Festival 1995 dulu.
Mereka tentu masih ingat bagaimana segala hal-ehwal U-Wei dan filem itu diurus oleh seorang pengurus yang dilantik oleh U-Wei sendiri. Daripada saat U-Wei menerima fax undangan daripada Pierre Ressaint (Jawatankuasa Pemilihan Cannes Film Festival) sehinggalah ke saat sidang media diadakan dan previu dibuat di Finas, segala urusan berjalan dengan lancar yang melibatkan pihak penaja, pelbagai pihak lain seperti Finas, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, Kementerian dan agensi Kerajaan lain serta beberapa kedutaan. Akhirnya, selepas segala urusan berkaitan selesai, mereka semua terbang membawa bersama semangat untuk melakar sejarah filem Melayu pertama ditayangkan di Cannes.
Untuk makluman, hanya pengurus itu sahaja yang tidak menyertai rombongan tersebut. Mungkin agaknya Pengerusi dan KP Finas ketika itu serta para pegawainya (yang sudah tentu sekali amat teruja untuk bersama-sama merayakan filem Melayu pertama itu), dirasakan lebih penting daripada seorang pengurus. Mungkin juga kehadiran mereka dapat menyambung tugas pengurusan untuk U-Wei di Cannes.

Sebelum itu pula, daripada 1986-1988 di Bahagian Kebudayaan KKBS yang kemudian bertukar nama menjadi Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan dulu, pengurus yang sama juga yang terpaksa bersandar pada jawatan jurulatih kontrak tetapi bekerja terus di bawah Ketua Pengarahnya iaitu Sdr (Dato') A. Aziz Deraman dan turut terlibat dalam pengurusan Ekspo Warisan Seni dan Kraf Tradisi Malaysia, Orkestra Simfoni Muda, Kemasukan Artis Luar, Pertunjukan Akrobatik Cemerlang dari China, Festival Silat Sedunia ke IV dan juga turut mengurus pemergian misi budaya (Kompleks Budaya Negara) ke London. Zaky Mod Din, Soekarno, Juhari, Zaini, Sermaini Pien dan Datuk Norliza mungkin boleh mengesahkan perkara ini.

Tetapi kalau masih juga tak percaya, tanyalah Aziz Deraman sama ada dia kenal siapa pengurus itu. Dan kalau berkesempatan tanya juga Supiat Mukri yang masih sihat walafiat yang sejak pencen ini selalu juga kelihatan minum-minum di NZ Restaurant Wangsa Maju, apakah benar dia pernah berjanji dengan pengurus tersebut semasa di Lapangan Terbang Subang sebelum ke London dulu dengan memberitahu, "Next time I want you to go." (Sad to say Mr Supiat, that "next time" never came).

Dan jangan lupa tanya juga pada Dinsman, apakah benar dia yang bertanggungjawab melatih pengurus itu semasa di Teater Elit dulu? Dan bukankah dia juga yang bertanggungjawab membentuk pemikiran pengurus itu dan membelai jiwanya sehingga menjadi seorang insan yang terlalu kasih dan cintakan seni dan akhirnya mengubah pengurus itu menjadi seorang "Orang Seni"?













Menarik juga kalau ada pihak yang dapat menganjurkan Pertandingan Meneka Siapa Pengurus Itu. KPKKW, Istana Budaya dan Balai mungkin berminat untuk menganjurkannya. Sutung, Rahimidin, Aris Aziz dan Sani Sudin mungkin boleh dilantik menjadi panel juri. Ahmad Tarmimi pula jadi pengacara pertandingan. Dan semasa menunggu keputusan juri di peringkat final, bolehlah Kopratasa menyanyikan satu dua lagu seperti Kembara Malam dan Senandung Untuk Zubaidah...

Every act of creation is first of all an act of destruction.
Pablo Picasso 1881-1973

Sunday, 4 May 2008

Rustam A Sani

Kalau Rustam Sani masih ingat lagi pertemuan kami di ISIS pada pertengahan tahun 1992 atas urusan projek video korporat MIMOS, tentu sekali saya merasa amat berbesar hati. Itu kali pertama saya bertemu dengannya. Kali kedua, saya terserempak dengannya pada tahun 1994 semasa dia dan isterinya Ruhani Rustam sedang berbelanja di Jaya Jusco Wangsa Maju. Saya bersalaman dengan Rustam, memperkenalkan diri dan cuba mengingatkan dia siapa saya dan di mana kami pernah bertemu dulu. Dia menganggukkan kepala. Entah betul dia masih ingat saya tidak pasti. Mungkin dia sudah lupa tetapi untuk tidak menghampakan dia terpaksa berpura-pura ingat.

Pada pertemuan yang berlangsung kurang daripada lima minit itu, saya sempat mengingatkan bahawa dialah orang yang memberi saya inspirasi dan ketika itu memberitahunya bahawa saya sedang dalam proses menulis buku seperti dicadangkannya. Pertemuan kali kedua itu tidak saya selitkan dalam mana-mana bahagian buku ini kerana saya tidak menemui titik relevannya. Tetapi memang benar, waktu itu saya sedang bersungguh-sungguh mahu menyiapkan “Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei” yang sudah hampir separuh siap dan tidak sabar-sabar mahu melihat hasilnya.


Itu sebahagian daripada salam pengenalan buku Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei yang saya mulakan beberapa bulan selepas bertemu Rustam Sani. Memang benar seperti kata Rustam, saya mempunyai terlalu banyak cerita untuk ditulis sehinggakan pada satu peringkat saya menghadapi masalah untuk memilih cerita mana untuk ditulis dahulu.

Tetapi sayang, atas sebab-sebab peribadi, sebaik saja selesai menguruskan pemergian U-Wei dan filemnya Kaki Bakar ke Cannes Film Festival pada Mei 1995 yang turut diserta rakan-rakan seperti Khalid Salleh, Shaharuddin Thamby, Sofea Jane, Anwar Idris, Kamarudin Abu dan lain-lain, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan buku yang sudah hampir tiga suku siap itu. Saya cuba melupakan hasrat tersebut dan tidak pernah lagi cuba membaca manuskrip tersebut.

Tetapi entah kenapa, dua belas tahun selepas itu tiba-tiba saya bertukar fikiran dan jadi teruja untuk menulis semula. Mungkin kerana saya dikejutkan dengan beberapa penemuan diri dan pengalaman aneh dan menarik yang membuatkan saya terasa bahawa kalau saya menulis semula saya mampu meluaskan skop penceritaan saya. Lalu saya bekerja semula dan mengubah judulnya kepada Saya Tak Ada MBA. Namun begitu, Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei masih menjadi asas penceritaan saya dan U-Wei Haji Saari masih menjadi watak penting yang sering saya sebut dan rujuk.

Saya mengharapkan satu hari nanti, kalau diizinkan Allah buku yang saya mulakan sejak Februari tahun lepas berjaya diterbitkan, saya mahu Rustam Sani menjadi tetamu penting pada majlis pelancarannya. Sama ada dia masih ingat lagi atau tidak, saya akan pergi menemuinya untuk menyampaikan undangan secara peribadi. Saya pasti dia tak mungkin lupa tentang pertemuan itu dan tak mungkin juga dia lupa tentang latar belakang saya pernah bekerja dengan Dinsman dan juga U-Wei.

Dia juga tak mungkin lupa apa yang pernah diberitahunya. Antara kata-katanya, "Saya tak suka tengok drama Melayu kerana insulting my intelligence,” dan seperkara lagi yang diberitahu kepada saya semasa bercerita tentang filem Melayu, “I’m not a fan of P. Ramlee.” Tetapi bila saya bercerita tentang U-Wei, tiba-tiba dia jadi tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang latar belakang sahabat saya itu yang pada masa kami bertemu itu sedang berhempas-pulas dengan segala macam kepedihan dan "pendarahan" menyiapkan Perempuan, Isteri dan Jalang di lokasi sebuah kampung di Pekan, Pahang.

Dia bertanya banyak soalan tentang U-Wei, latar belakang dan agak tertarik bila saya cuba meyakinkan tentang U-Wei. Saya memberitahunya, kalau hanya dengan mendengar cerita saya dia sudah tertarik dengan U-Wei, saya pasti dia mungkin akan “jatuh cinta” bila bertemu dengan satu-satunya pembikin filem Melayu yang saya sanjungi itu. Dia lebih bijak dan sudah tentu lebih tahu bagaimana mahu menyelongkar falsafah pemikiran U-Wei tentang filem, muzik, sastera Melayu, sastera Inggeris, pemikiran orang Melayu dan banyak perkara lagi. Malah, dia juga bersetuju dengan saranan saya supaya U-Wei diberi peluang berdiskusi dengan para intelek di ISIS, mungkin bakal menjadi sejarah sebagai pembikin filem Melayu pertama berbuat demikian (Catatan: Tetapi sayang sekali, Shuhaimi Baba terlebih dahulu mendapat peluang tersebut, kalau tidak silap beberapa tahun selepas itu atas usaha pihak yang tidak pernah saya ketahui).

Entah apa sebabnya, pertemuan yang seharusnya berlangsung cuma beberapa minit itu (kerana apa yang saya mahukan berhubung video korporat MIMOS tidak ada dalam simpanan Rustam) berlarutan dan Rustam yang sedang sibuk mengejar deadline kolumnya di Utusan Malaysia bersedia pula meluangkan masa untuk saya. Pada petang itu kami bercerita panjang dan agak memeranjatkan kerana dia banyak juga bersetuju dengan saya tentang banyak perkara. Bukan mudah bagi orang seperti Rustam yang tajam pemikiran dan amat kritikal dalam banyak perkara untuk bersetuju dengan pendapat orang lain terutama orang seperti saya yang belajar pun tak setinggi mana.

Itu peristiwa yang berlaku pada tahun 1992 yang menjadi titik-tolak saya mendapat inspirasi untuk menulis buku.

Seperti saya sebutkan tadi, pada awal 2007, bila menulis semula, saya masih menyimpan harapan yang sama. Saya selalu berdoa semoga Allah akan memanjangkan usianya dan kalau buku itu berjaya diterbitkan nanti saya bukan sekadar mahu mengundang Rustam hadir ke majlis itu tetapi saya juga mahu dia menulis notanya di dalam buku itu. Peduli apa orang nak kata. Saya bukan memanggil Rustam atas sifatnya sebagai seorang pejuang Parti Keadilan Rakyat atau penyokong Anwar Ibrahim. Saya hanya melihat Rustam sebagai seorang cendekiawan, penganalisis politik, pengkaji sosiobudaya dan pengkritik sastera tanah air yang prolifik yang memang amat saya hormati sejak dulu. Saya juga menghormatinya kerana dia mewarisi perjuangan ayahnya Ahmad Boestamam yang juga dikenali dengan nama pena Ruhi Hayat, seorang penulis, nasionalis, pejuang kemerdekaan dan pengasas Parti Rakyat Malaysia yang namanya semakin cuba dipadamkan daripada sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan.

Tetapi, sebagai manusia kita hanya boleh merancang dan menyimpan harapan. Allah juga yang menentukan segalanya. Pada jam 3 pagi 23 April 2008, Rustam dipanggil menghadap Illahi dan pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya.

Sungguhpun saya tidak mempunyai sebarang sejarah panjang dengan Allahyarham dan beliau tidak sepenting Dinsman, U-Wei, Sani Sudin dan Usop serta beberapa sahabat lain yang banyak mempengaruhi pemikiran dan hidup saya, tetapi pemergiannya tetap mengejutkan saya. Seperti banyak yang telah berlaku sebelum ini, sekali lagi saya terkilan kerana hajat saya tidak kesampaian untuk melihat catatannya dalam Saya Tak Ada MBA. Kata-katanya, “Kenapa you tak tulis buku?” tidak mungkin luput daripada ingatan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Faatihah.

Nota kaki:

Naskah kertas kerja yang diberikannya kepada saya pada pertemuan itu masih saya simpan hingga sekarang. Kertas tersebut mengupas Wawasan 2020 yang berjudul Wawasan 2020: Konsep, Cabaran dan Hambatan, di bentangkan di salah satu sesi Kursus Dasar-dasar Utama Negara anjuran Kementerian Pendidikan pada bulan Julai 1992 bertempat di Pulau Langkawi.