Monday, 31 March 2008

Terkilan yang tak dapat ditebus…

Pusat Teknologi Pengurusan Lanjutan atau ringkasnya PTPL ditubuhkan pada 1981 dengan menawarkan kursus sijil dan diploma dalam pelbagai bidang. Selepas hampir tiga dekad beroperasi dengan 11 cawangan di seluruh negara yang hampir menepati matlamat “satu kolej satu negeri,” Kolej PTPL yang merupakan IPTS swasta bumiputera terunggul di Malaysia kini boleh berbangga dengan jumlah bilangan pelajar melebihi 14,000 dan melahirkan bilangan graduan seramai 11,000 setakat hari ini.


Kolej PTPL juga merupakan satu-satunya IPTS yang menerima akreditasi paling banyak daripada Malaysian Qualifications Agency dan kemuncak pencapaiannya berlaku pada tahun 2001 bila ditawarkan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menubuhkan universiti swasta pertama negara yang dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia atau KUTPM. Seterusnya, pada Oktober 2007, KUTPM dinaikkan taraf menjadi universiti penuh dan kini dikenali sebagai Management and Science University atau MSU.

Di situlah tempat anak sulung saya menyambung pengajiannya selepas mendapat keputusan SPM yang kurang cemerlang. Tidak seperti anak-anak orang lain yang mendapat 7 atau 8A yang memudahkan mereka menyambung pengajian di IPTA atau menyertai pelbagai program sebagai persiapan untuk ke luar negara, anak saya cukup sekadar melanjutkan pelajaran di dalam negara di sebuah IPTS yang mungkin dilihat ramai sebagai tidak ada standard. Tetapi pedulikan apa pandangan ramai. Mereka mungkin tidak sedar tentang kewujudan MSU dan tidak pernah diberitahu betapa universiti swasta pertama negara itu kini mampu menawarkan pelbagai kursus yang relevan dan kritikal di peringkat diploma, ijazah, sarjana, doktor falsafah dan juga penyelidikan. Apa yang penting dia dapat terus belajar dan seterusnya berusaha untuk memperoleh pasport yang diharapkan bagi melayakkan dia bersaing dalam bidang kerjaya yang semakin mencabar dalam pasaran.

Menyedari kemampuan dan kelemahannya dan menyedari kecenderungannya, saya tidak pernah memaksa dia belajar. Saya tidak pasti sama ada saya boleh dianggap seorang bapa yang kurang baik dan kurang bertanggungjawab. Tetapi saya rasa saya telah melakukan sesuatu yang betul dengan memberikan kenyataan paling selesa untuk tidak melemahkan semangat anak-anak saya dalam menghadapi kehidupan. Ketika mereka masih belajar di sekolah menengah, saya pernah memberitahu bahawa saya tidak pernah mengharapkan mereka menjadi manusia yang pandai dan cemerlang dalam bidang akademik. Belajarlah mengikut kemampuan mereka dan kalau tidak mampu mencapai lebih daripada itu, cukuplah sekadar menjadi manusia yang bijaksana dan mampu mengatur kehidupan sendiri.

Ainur Faresha memilih sendiri kursus peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Sungguhpun tidak pernah memaksa tetapi saya dan isteri tetap memberikan panduan dan galakan. Memang kami tidak mahu mempengaruhinya kerana kami mahu dia belajar membuat keputusan sendiri. Dia lebih mengenali dirinya dan lebih tahu apa yang dimahukan dalam kehidupan. Lagipun saya tidak mahu jadi seperti orang lain yang memaksa anak-anak mengikut kemahuan mereka. Ada yang memaksa anak-anak mereka supaya mesti jadi arkitek, doktor, jurutera dan sebagainya. Mereka mahu anak-anak mengikut kehendak mereka kerana mereka merasakan keputusan mereka merupakan yang terbaik untuk anak-anak. Tetapi mereka lupa apakah kehendak dan keputusan mereka itu menepati hasrat dan impian sebenar anak-anak mereka. Di pihak anak-anak pula yang sudah tentu sekali tidak mahu menentang kehendak ibu-bapa, mereka terpaksa akur. Selalunya anak-anak seperti ini akan selama-lamanya memendam perasaan dan merana sepanjang hayat kerana terpaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak dan impian mereka sendiri. Sekiranya berlaku sesuatu di masa hadapan, walaupun mungkin tidak menyatakannya secara terang-terangan bagi menjaga perasaan ibu-bapa, dalam diam sudah tentu mereka akan menyalahkan ibu-bapa.

Walaupun seorang perempuan, saya tahu anak saya mampu berdikari. Dia mempunyai sikap lebih berani daripada adiknya yang kini sedang dalam tahun akhir di UIA. Dia mengatur segala-galanya untuk menyertai pengajian di Kolej PTPL Cawangan Ampang sekalipun ketika waktu pendaftaran. Saya hanya hanya menghantarnya ke pintu kolej dan membekalkan bayaran yuran berkaitan secukupnya. Semua dilakukannya sendiri bersama-sama kawan-kawannya tanpa sebarang masalah. Saya tahu dia boleh melakukannya sendirian dan saya rasa dia juga bangga kerana saya memberikan sepenuh kepercayaan terhadapnya.

Setelah berjaya menamatkan kursus peringkat diploma, saya dan isteri juga tidak memaksa sama ada dia mahu melanjutkan pelajaran atau terus bekerja. Memang sebaik menamatkan pengajian dia mendapat tawaran daripada PTPL sendiri yang telah lama mengesan minat dan kebolehannya dalam bidang perhubungan awam dan pemasaran. Tetapi akhirnya dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah bila menerima tawaran daripada KUTPM.

Sekali lagi saya membiarkan dia memilih sendiri kursus yang bersesuaian dengan minatnya dan akhirnya Bachelor in Hospitality – Tourism menjadi pilihannya. Saya rasa dia tidak silap memilih bidang tersebut kerana sebagaimana yang pernah saya nyatakan, bidang itu menyediakan banyak peluang pekerjaan menerusi pelbagai cabang industri. Antaranya perhotelan, perkhidmatan makanan dan juga pengurusan acara. Dan sekali lagi saya bertegas tidak mahu mencampuri urusan tersebut kerana bagi saya dia mempunyai hak dalam menentukan apa yang terbaik untuk dirinya berkaitan soal pelajaran dan saya tidak mahu dipersalahkan sekiranya berlaku sesuatu pada masa hadapan.

Cuma pada kali ini saya dan isteri turut berada di kolej sewaktu mendaftar, membantunya sepanjang proses pendaftaran daripada awal hingga akhir dan kami juga turut menguruskan soal tempat tinggalnya di Shah Alam. Saya tidak tahu sama ada dia sedar atau tidak betapa bangganya kami pada waktu itu kerana dia bersemangat mahu menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Saya juga tidak tahu sama ada dia sedar bahawa itu merupakan peringkat terpenting bagi kami dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ibu-bapa bagi membolehkan dia mempersiapkan diri sebelum menghadapi kehidupan sebenar nanti.

Sepanjang mengikuti program ijazah saya tahu dia seorang pelajar yang sederhana. Dia tidak pernah mencapai pointer cemerlang dan juga mungkin tidak pernah bermimpi untuk tersenarai dalam senarai dekan apa lagi senarai presiden. Itu kami sedari dan kami juga tidak pernah mengharapkan kecemerlangan. Tetapi apa yang saya pasti dia mempunyai kebolehan luar biasa bila bekerja, mempunyai kualiti kemanusiaan yang lengkap pakejnya untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran kerjaya dan paling penting dia pandai berurusan dengan manusia. Kerana itu bukan memeranjatkan bila dia mendapat A ketika menjalani latihan industri (praktikal) di Tourism Malaysia. Kebetulan pada masa itu Tourism Malaysia mempunyai beberapa acara menyambut kumpulan-kumpulan dari luar negara dan juga menganjurkan Citrawarna. Pengurusan acara memang bidang yang menjadi keutamaannya.

Hari ini dia menerima ijazahnya, di hadapan saya sebagai ayah yang amat berbangga dengan kejayaannya. Ibunya juga sudah tentu turut sama gembira. Cuma kami tidak suka mempamerkan kegembiraan kami di hadapan orang atau menzahirkan keghairahan, tidak seperti sesetengah orang di sekitar Dewan Merdeka PWTC pada petang itu yang kadang-kadang menimbulkan rasa pelik dalam diri saya. Saya harap tidak ada sesiapa yang bertanya bagaimana perasaan saya pada ketika itu. Hanya wartawan bodoh dan dungu saja yang akan bertanya bagaimana perasaan orang seperti kami dalam suasana sebegitu.

Hari ini merupakan salah satu hari bersejarah dalam hidup kami. Sebagai ibu-bapa kami tidak mengharapkan sebarang balasan daripada anak kami itu atas apa yang telah kami lakukan untuknya selama ini. Kami hanya mahu dia berjaya dalam merentas kehidupan. Kami sudah melakukan apa yang terdaya yang kami rasakan terbaik dan akhirnya anak kami itu sudah mendapat pasport yang sekian lama dinantikan selama ini menerusi perancangan, keputusan dan usahanya sendiri.

Sudah tentu saya merasa amat bertuah kerana dapat hadir menyaksikan anak saya menerima ijazah di dewan berprestij yang banyak menyimpan sejarah itu. Sudah tentu juga saat-saat itu tidak mungkin akan kami lupakan. Tetapi ketika duduk dalam dewan sementara menantikan majlis dimulakan, tiba-tiba saya terkenangkan allahyarham ibu saya. Pada waktu itu saya terasa amat pilu sekali. Saya tahu allahyarham ibu saya agak terkilan kerana anak-anaknya termasuk juga saya tidak berjaya dalam pelajaran dan seterusnya menjejak kaki ke universiti. Dia mungkin turut mengharapkan dapat jadi seperti ibu-ibu lain yang boleh berbangga kerana mempunyai ramai anak yang berjaya ke menara gading. Tetapi akhirnya saya rasa perasaan terkilan itu dapat diatasi bila bila salah seorang abang saya berjaya ke universiti.

Sayangnya, pada saat-saat abang saya menerima ijazah di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, ibu saya sedang keseorangan di rumahnya di Batu Pahat. Ketika itu dia tidak sedar bahawa satu peristiwa penting yang paling bersejarah dalam hidupnya sedang berlaku di ibu negara. Sewajarnya, ketika nama anaknya yang berbinkan nama allahyarham suaminya disebut bergema dia juga berada di dalam dewan tersebut untuk turut sama meraikan kejayaan satu-satunya anaknya yang berjaya menamatkan pengajian di universiti. Sebaliknya, pada hari itu dia menjalani kehidupannya seperti biasa seperti tiada apa-apa berlaku kerana dia sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku. Seperti biasa dia mengemas rumah, mencabut rumput dan membersihkan halaman rumah yang memang menjadi kegemarannya bila tinggal keseorangan. Pernah juga dia membayangkan rasa kecewanya bukan sahaja kerana terlepas menyaksikan peristiwa bersejarah itu, tetapi dia juga tidak pernah berpeluang memijak kaki di atas tanah kampus universiti terulung negara yang menjadi kebanggaannya.

Sebagai salah seorang anak yang rapat dengannya, yang banyak mendengar tentang pengalaman pahitnya yang membesar tanpa kasih sayang seorang ibu dan menjadi mangsa kekejaman sekian banyak manusia di sekelilingnya, yang kerap berkongsi kisah suka-dukanya serta menyimpan sekian banyak rahsia dirinya, saya tahu dia amat terkilan sekali dengan peristiwa itu. Lebih memilukan, apabila dia meninggal dunia, allahyarham ibu saya membawa bersamanya rasa terkilan yang tidak pernah dapat ditebus. Al Fatihah...

Koleksi gambar selepas upacara konvokesyen MSU di PWTC










2 comments:

maria said...

Dear Pak Chah, congrats to u & Mak Ida... you were great in letting her decide - unlike me, who had wanted to enrol in Interior Designing (all those Home, Living mags Papa subscribed influenced me)but was coerced to do TESL. However, I am somewhat glad as I've learned to love what I do. well, just hope that I won't repeat the mistakes some of our elders made... Like Papa, during Wana's wedding a few months back, he was hopping mad when he had to make the call to 'you-know-who' and bluntly said, "aku ni sapa? Cikgu cabuk, dia tu kerani besar.." well, if you know him, you would know "what" he was exactly referring to... all his life, even though he knew he was the better one, but he never felt like it... now I've resolved to make him proud of me, after all the hurt I've caused them. I pray that he'd be around long enough to witness my Masters' grad, InsyaAllah...

ZaRa said...

Salam En mohdshahibrahim atau mungkin lebih dikenali sebagai Pak Chah oleh mereka yang dekat dgn En mohdshahibrahim. Harap En tak kisah saya turut memanggil En dgn panggilan yg sama.

Pak Chah tak mengenali saya dan begitu juga sebaliknya. Saya secara kebetulan sedag mencari-cari info tentang MSU dan terjumpa blog Pak Chah ini. terus rasa berminat nak membaca dengan tulisan Pak Chah. Patut lah Pak Chah pernah ada hasrat nak menjadi penulis (kalau tak silap).. :)

Tak salah kalau saya memuji, Pak Chah dan isteri memang ibubapa yang baik, "sporting" dan "supportive". Tulisan Pak Chah buat saya tersentuh, hampir mengalir juga air mata saya di pagi hari ni (tp tak kena cover lah, nnt rakan sekerja nampak, ingat kenapa pula..hehe)...terlambat pula saya mulakan kerja saya hari ni...hehe..takpelah sekali sekala... :)

Sebenarnya saya juga minat dengan bidang penulisan, tapi penulisan saya tidak sebaik Pak Chah atau blogger lain...so..takpelah, apapun, bila ada masa lapang, saya blogging jugalah...

Saya baru dapat tawaran dari MSU utk menyambung MBA melalui program MARA usahawan. Ini minat saya tapi saya tak pasti sama ada saya boleh berjaya atau mampu lakukan kerana ibubapa saya lebih senang kiranya saya terus bekerja makan gaji berbanding memulakan perniagaan saya. Saya tak salahkan mereka kerana tak begitu restu minat saya. Bagi mereka rugi saya perlu bekerja dalam bidang yg saya pelajari di universiti.

Hmm...apapun, saya tetap akan berusaha ke arah itu dan cuba dapatkan restu mereka. dan program MARA usahawan MSU mungkin langkah permulaannya.... :) tolong doakan yg terbaik utk saya ye Pak Chah...

TQ and TQ for the meaningful writing:)