Thursday, 10 April 2008

Sepetang bersama U-Wei bin Haji Saari

Sebenarnya tujuan saya ke Balai Seni Lukis Negara semalam hanya untuk menemui S. Amin Shahab untuk membincangkan beberapa perkara mengenai projek Dunia Dalam Satu Kilometernya. Memang sudah lama kami tidak bertemu. Sejak sebelum pilihanraya hingga sekarang sudah kira-kira hampir sebulan lamanya.

Tetapi sesampainya saya di sana, Amin yang kelihatan sedang sibuk melayan beberapa orang pengunjung tiba-tiba memberitahu saya bahawa U-Wei ada di dalam auditorium menyertai Seminar Ke Arah Sejuta Penonton Filem Malaysia. Seminar itu dianjurkan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM atau singkatannya FACT.

Sudah lama juga saya tidak bertemu U-Wei. Menyedari kesempatan tersebut tanpa berlengah saya terus ke auditorium. Rupa-rupanya ketika saya masuk U-Wei sedang membentangkan kertasnya. Sempat juga saya mendengar beberapa minit dan memang mengagumkan. Saya dapati bahasa Melayunya amat baik sekali berbanding dua puluh tahun dulu semasa saya mula-mula mengenalinya. Bila saya amati memang sah itu bahasa U-Wei. Lagipun tidak mungkin U-Wei mahu membentangkan naskhah orang lain. Selesai dia membentangkan “nota kerjanya, ” saya sempat mengikuti sebahagian sesi soal-jawab sebelum keluar untuk mendapatkan Amin.

Selepas berbual dengan Amin seketika kemudian saya masuk semula ke lobi balai untuk melihat sama ada acara di dalam sudah selesai. Selang beberapa ketika U-Wei keluar dan seperti biasa bila melihat saya dia hampir tidak mempedulikan orang sekeliling. Itu fakta yang tidak dapat dinafikan. Sekalipun ada menteri di sebelahnya, kalau terpandangkan kelibat saya dia tetap akan datang kepada saya. Peduli apa dengan menteri.

Di belakangnya saya lihat Ku Seman Ku Hussein daripada Utusan Malaysia yang turut terpandangkan saya. Kami bertiga bersalaman. Baru saja kami mahu memulakan perbualan tiba-tiba datang seseorang yang tidak saya kenali mendekati U-Wei. Saya membiarkannya dan bersembang seketika dengan Ku Seman.

Ku Seman bertanya ke mana saya menghilang. Lama sungguh tak jumpa katanya. Saya menjawab, “Aku ada cuma orang tak nampak aku.”

U-Wei yang tersangkut dengan orang yang tidak saya kenali itu kemudian memberi isyarat meminta saya menunggunya.

Saya dan Ku Seman terus bergerak menuju ke kafetaria. Kemudian dia bertanya lagi apa yang saya buat sekarang. Saya terus memberitahu bahawa saya sedang merancang sesuatu untuk projek Dunia Dalam Satu Kilometer S. Amin Shahab. Sempat juga saya bercerita tentang Amin dan projek yang sudah berjalan selama lebih empat tahun itu yang penuh dengan pelbagai cabaran. Ku Seman tertarik mendengarnya dan mengakui memang banyak perkara menarik untuk ditulis. Saya berjanji akan menghubunginya sedikit masa lagi. Kemudian Ku Seman terus menyertai meja VIP untuk menikmati minuman petang. Kelihatan duduk di meja itu Pengerusi Finas Tan Sri Jins Shamsuddin, Ketua Pengarah Finas Mohd Mahyidin Mustakim, pengarah filem filem Dr. Mahadi J. Murat yang kini merupakan salah seorang tenaga pengajar di UiTM, pengarah filem Shuhaimi Baba serta beberapa orang lagi. Saya mengambil meja sebelah duduk bersama-sama Amin.

Tidak berapa lama kemudian U-Wei sampai di meja saya dan terus duduk. Saya memberitahunya, “Meja engkau kat sana, U-Wei.” Dia teragak-agak tetapi akhirnya terpaksa pergi juga ke meja VIP itu. Tetapi seperti saya katakan, memang dia takkan pedulikan orang lain sekiranya saya ada. Kalau menteri pun dia tak peduli apa lagi Pengerusi Finas. Tidak sampai lima minit dia kembali duduk dengan saya.

Sudah tentu banyak yang perlu kami bualkan pada petang itu kerana lama tak bertemu. Kali terakhir semasa previu filem pendeknya Sepohon Rambutan Indah Kepunyaanku Di Tanjung Rambutan di mini pawagam Finas. Selepas itu kami tidak pernah berjumpa tetapi baru-baru ini kami ada juga berhubung telefon. Saya menelefonnya kerana anak saya yang belajar di UIA yang hanya U-Wei kenali sebagai Adik mahu meminta pandangan U-Wei mengenai filem Ikiru oleh Kurosawa yang merupakan salah satu tugasan semester akhirnya.

Sembang petang itu bermula dengan sasaran sejuta penonton. U-Wei mengulangi apa yang dibentangkannya mengenai isu demografi yang menyebabkan hasrat tersebut begitu sukar dicapai. Lagipun menurut U-Wei, orang kita masih longgar dengan budaya filem dan tidak ada tradisi filem. Kerana itu orang Melayu sendiri tidak tahu menghargai filem Melayu apa lagi memartabatkannya . Lalu saya menambah, “Sedangkan bahasa yang diguna setiap hari pun orang Melayu tak sayang, apa lagi filem..”

Kami juga menyentuh tentang tradisi kritikan filem yang menurut U-Wei memang tidak wujud dalam masyarakat kita. Bukan tidak ada pengkritik tetapi tradisi itu yang tak ada. Kita jarang membaca kritikan filem kerana kita tidak mempunyai ramai pengkritik. Hanya beberapa kerat saja sedangkan kritikan amat perlu bagi faedah kemajuan filem Melayu dan seharusnya bergerak seiring. Ku Seman yang sempat mencelah sebelum meninggalkan kami mengakui kita tidak mempunyai ramai pengkritik filem. Sebab itu katanya, Utusan mengekalkan ruangan mingguan kritikan filem A. Wahab Hamzah yang kalau tak silap pendengaran saya sudah sebelas tahun usianya.

Lalu saya menjawab, “Kalau ada pun yang kita ingat bagus, dia nak buat filem jugak. Tapi masalahnya bila dia mengkritik pada masa yang sama dia nak mengangkat filem sendiri.”

Dalam bersembang itu kami sempat juga bercerita tentang kawan-kawan lama seperti Hazali Hj Ramli, Anwar Idris, Sani Sudin dan Joe Hamid yang sudah lama tidak bertemu dengan U-Wei. Mereka merupakan anggota penting Krew Tanah Licin yang kami tubuhkan pada tahun 1988 untuk membantu U-Wei dalam sebahagian besar produksi dramanya. Kemudian mereka terus bersama U-Wei dalam beberapa produksi filemnya bermula dengan Perempuan, Isteri dan Jalang, kecuali saya.

Hazali sekarang banyak mengarah drama tetapi agak menghairankan dia tak pernah menunjukkan muka dalam acara-acara seperti petang itu. Alangkah bagusnya kalau Hazali dapat turut serta dalam program-program berbentuk ilmiah sebegitu bagi membolehkan dia bergaul dengan orang-orang filem di samping dapat menambah ilmu. Begitu juga Anwar yang sudah mula mengarah video dokumentari di samping masih meneruskan kerja menulis skrip. Joe Hamid juga khabarnya sudah mengarah dokumentari. Sani kerap saya temui sejak dia menyertai Aris Aziz dan Amir melukis di Laman Seni Balai Seni Lukis Negara.

Mengenang kembali filem Perempuan Isteri dan Jalang, saya memberitahu U-Wei, saya juga tidak pernah menyebut Perempuan, Isteri dan dot dot dot. (Semasa sesi soal-jawab, U-Wei memang menyebut nama penuh filem itu dan memang selama ini dia tak pernah menyebut dot dot dot).

Itu nama ciptaan Lembaga Penapis Filem. Kadang-kadang saya tak faham kedangkalan pemikiran mereka yang memegang kuasa dan gunting di LPF. RTM juga sama. Drama yang letih kami usahakan berjudul Kerasnya Sayang tiba-tiba ditukar kepada Orkid tanpa merujuk pada pembikinnya. Kalaupun mereka tidak dapat memanggil U-Wei untuk menjelaskan maksud Kerasnya Sayang itu, cukup sekadar memanggil saya. Saya boleh menjelaskan kerana saya tahu latar belakang dan faham akan jiwa drama itu. Tetapi RTM tidak pernah memberi kami peluang.

Bila bercerita tentang peristiwa saya dan Sani hadir di pameran Bumi dan Angin dan cerita bagaimana saya memberitahu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Samad Said bahawa saya bukan melihat lukisan tetapi “frame”nya dan antara senyum dan tidak Pak Samad mengerutkan dahi melihat saya, U-Wei ketawa. Kemudian dia berkata, “Kitalah yang memecah tradisi mengundang Sasterawan Negara melancarkan filem,” (dia suka menggunakan perkataan Kita walaupun sebenarnya itu ideanya). Ada satu insiden yang takkan kami lupakan berlaku pada malam itu. Pak Samad yang merupakan tetamu khas kami untuk melancarkan filem itu menghadapi kesukaran untuk mendapat kebenaran masuk ke Kelab Selangor yang masih berjiwa penjajah itu. Semuanya kerana beliau memakai capal. Isu itu disebutnya secara panjang lebar dalam ucapan pelancarannya.

Masih berkisar tentang Perempuan, Isteri dan Jalang, tiba-tiba pensyarah ASWARA Khairulfazi (adik U-Wei yang selama ini saya kenali sebagai Ilol) kemudian menyertai kami. Kami terkenangkan pahit getir dan kesengsaraan U-Wei menyiapkan filem itu dan sudah tentu sekali nama produsernya Panshah turut disebut.

U-Wei masih ingat lagi bagaimana saya terpaksa menarik diri secara sukarela daripada filem itu. Kata U-Wei, infrastuktur di Malaysia tidak cukup malah tidak sesuai untuk saya bekerja. Saya bergurau dengan Ilol, “Sebenarnya orang filem kat Malaysia tak bersedia nak bayar aku,” Ilol tersenyum. Kerana itu saya memberitahunya, saya tak pernah dan tak akan bekerja dengan orang lain. Biar sebesar mana sekalipun tawarannya. Ini bukan soal wang ringgit. Saya hanya akan kembali ke bidang filem kalau U-Wei memanggil saya semula.

Kemudian datang Hassan Mutalib. Banyak juga yang kami bualkan. Antaranya dia bertanya sama ada U-Wei masih menyimpan drama-dramanya dulu. U-Wei menunjuk ke arah saya seolah-olah memberitahu Hassan bahawa soalan itu seharusnya ditujukan kepada saya. Saya memberitahu Hassan, semuanya sudah musnah kerana apa yang ada dalam simpanan saya dalam bentuk pita VHS. Lalu kami bercerita juga tentang pengalaman bersama Pierre Ressaint (Cannes Film Festival) yang banyak juga menonton drama U-Wei sebelum memilih Kaki Bakar. Hassan nampak seperti tertanya-tanya apa kena mengena saya dengan U-Wei. Memang sungguh dia tak ingat saya. Kemudian saya mengingatkan tentang satu peristiwa. “Engkau ingat tak kita, U-Wei, sama-sama makan sate kat Kajang dengan arwah Ariffin C. Noer?” Baru Hassan teringat. Katanya, “Tu lah, tadi aku dok pikiaq kat mana jumpa. Macam pernah tengok...” Saya memberitahu Hassan, “Selalunya gitulah Hassan. Saya kenal mereka tapi mereka tak kenal saya,.” Hassan tergelak.

Akhir sekali, setelah Amin, Ilol dan Hassan meninggalkan meja kami, tiba-tiba datang Sutung Umar Rs. U-Wei tahu benar tentang sejarah saya bersama Teater Elit, Dinsman dan Sutung. Sutung terus bertanya tentang Wangi Jadi Saksi. Katanya dia bercadang mahu menemubual U-Wei untuk majalah Pentas. Sebelum U-Wei menjawab, saya bertanya sama ada Sutung ada menonton teater itu. Katanya dia tak suka tengok produk yang siap. Dia lebih suka menonton prosesnya. U-Wei mengangguk.

Kami terus berbicara tentang episod pertarungan Tuah dan Jebat yang selama ini hanya Tuah dan Jebat sahaja yang penting sedangkan Wangi yang turut berada di situ dilupakan. Kemudian U-Wei menyambung, selama ini orang mengagung-agungkan Tuah tetapi di tangan Hussein Hanif, Usman Awang serta beberapa yang lain Jebat menjadi hero. Tetapi dalam hal Wangi Jadi Saksi, kata U-Wei, bau wangi itu sebenarnya lebih penting.

Sedang Sutung asyik mencatat nota U-Wei ada menyebut bahawa saya juga boleh menulis. Sutung bersetuju tetapi katanya saya malas. Saya tidak memberi sebarang reaksi. Sutung tak tahu bahawa semasa dia bangun mengambil minuman sebelum itu saya ada memberitahu U-Wei sesuatu. Bukan saya tak mau menulis untuk majalah Pentas atau majalah-majalah lain. Tetapi saya risau kalau tulisan saya menemui ajal di tangan editor. Saya boleh bersetuju sekiranya editor sekadar menyunting bahasa atau membetulkan ejaan saya atas alasan mematuhi hukum-hakam bahasa. Tetapi saya tidak dapat menerima seandainya aliran fikiran saya disunting. U-Wei bersetuju dengan saya. Katanya, keadaan itu sama seperti orang mengusik nafas saya. Katanya lagi, engkau ada cara bernafas sendiri. Memang betul, saya menjawab. Mana boleh sesuka hati orang memberitahu bagaimana saya harus bernafas atau cuba membetulkannya. Saya ada gaya saya sendiri dan saya tak boleh memaksa diri mengikut cara orang lain bernafas.

Bila gaya dan aliran pemikiran saya diusik, itu sama seperti orang mencabar maruah saya. Akhirnya, apa yang keluar nanti bukan hasil karya saya lagi. Saya teringat pada bekas bos saya Dinsman yang pasti akan melenting sekalipun koma, titik, tanda soal atau tanda seru dalam tulisannya diubah.

Begitu banyak sekali yang saya pelajari daripada Dinsman dan U-Wei. Mereka guru saya. Kadang-kadang terfikir juga, memang tak payah pergi universiti pun.

Nota kaki:
Tulisan ini ditulis pada 29 Mac 2008.

No comments: