Saturday, 12 April 2008

Sekadar renungan

Tulisan di bawah saya tulis khusus untuk SDARA 6976 e-group (e-group bekas pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak tahun 1969-1976).

Catatan ini telah disunting tetapi keaslian maksud kandungannya tetap terpelihara – Mohd Shah Ibrahim.

Pada tahun 2002 saya ke Pulau Pinang menemui budak tua SDAR Dato’ Dr. Hilmi Yahya yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Dalam pertemuan ringkas yang berlangsung di pejabatnya di KOMTAR itu dia ada bertanya, menerusi pengalaman sebagai kontraktor apakah saya dapat mengesan sebarang masalah yang dihadapi kontraktor bumiputera Pulau Pinang dan apakah saya mempunyai sebarang cadangan untuk membantu mereka.

Saya terus menjawab ada. Saya memberitahunya, sebagai TKM sudah tentu dia amat sedar betapa masalah kesukaran mendapatkan bekalan bahan binaan merupakan masalah paling kritikal yang menyebabkan para kontraktor tidak mampu menjalankan kerja-kerja sendiri. Kerana itu kebanyakan kontraktor kecil bumiputera terpaksa “menjual” projek mereka. Saya pasti, sekiranya masalah itu dapat diselesaikan, peratus mereka yang menjual projek sudah tentu dapat dikurangkan malah mungkin akan menggalakkan mereka yang suka menjual projek kembali berusaha melaksanakan projek mereka sendiri dan tidak lagi bergantung pada pihak ketiga.

Hilmi meminta saya menyediakan cadangan. Lalu dalam jangka waktu singkat saya mengemukakan cadangan yang dibuat paling ringkas kerana bagi saya yang penting isi bukan kosmetiknya. Dia nampak tertarik dan terus mengarahkan saya bertemu dengan beberapa pihak terbabit.

Seperti yang turut saya cadangkan, usahasama juga perlu dibuat dengan JKP Sdn. Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan yang mempunyai bank tanah yang besar dan sudah banyak terlibat dalam usahasama pembangunan hartanah di kedua-dua bahagian pulau dan juga tanah besar. Tujuannya, menerusi usahasama tersebut, bagi setiap projek pembangunan yang dilaksanakan dengan mana-mana pihak, JKP sebagai pemilik tanah dan juga pemilik bersama projek wajar mensyaratkan supaya sebahagian peratusan projek diperuntukkan khas untuk kontraktor Melayu. Inilah satu-satunya kaedah yang saya lihat dapat membantu menghidupkan semula semangat kontraktor kecil Melayu Pulau Pinang yang kelihatan sudah hampir tidak bermaya kerana tidak ada satu program khusus yang dirancang untuk mereka. Kalau pun ada program tersebut mungkin tidak berjaya dilaksanakan. Itu pendapat saya sahaja.

Menerusi program tersebut, saya mencadangkan supaya sebuah syarikat pembekal bahan binaan diwujudkan bagi membantu kontraktor-kontraktor Melayu yang terlibat dalam projek-projek JKP. Mekanisme pembayaran terus boleh diwujudkan menerusi usahasama JKP dan pemaju. Saya bercadang untuk memulakan program ini dengan pembekalan bahan-bahan mekanikal dan elektrikal sungguhpun Hilmi meminta supaya skop bekalan diperluas kepada bahan binaan yang menyeluruh. Saya tidak dapat memenuhi permintaan tersebut kerana lebih berminat untuk mencuba secara kecil-kecilan. Lagipun, syarikat ini bukan bertujuan untuk membuat keuntungan besar. Mewujudkan sebuah syarikat bekalan bahan binaan yang menyeluruh skopnya memerlukan pelaburan yang cukup besar dan risikonya juga besar. Apa yang saya cadangkan hanyalah sebuah syarikat bekalan kecil yang akan beroperasi berdasarkan projek dan mempunyai klien khusus iaitu para kontraktor kecil. Syarikat ini bertindak sebagai agen pengurusan pembekalan dan mengambil keuntungan pada kadar paling minimum supaya para kontraktor tidak terbeban dengan harga. Sekiranya syarikat tersebut mahu membuat keuntungan besar, sudah tentu ini bercanggah dengan hasrat sebenar ia diwujudkan iaitu untuk membantu para kontraktor kecil Pulau Pinang.

Atas sokongan Hilmi, saya menemui pengarah urusan JKP yang ketika itu masih belum bergelar Dato’ dan selepas beberapa pertemuan cadangan saya untuk terlebih dahulu mewujudkan usahasama antara syarikat saya dengan JKP bagi merealisasikan idea pusat bekalan mekanikal dan elektrikal itu diterima pada dasarnya. JKP menyediakan draf perjanjian usahasama dan pada masa yang sama turut meminta saya memilih mana-mana unit kosong di salah satu projek pembangunan hartanahnya di Butterworth untuk dijadikan pejabat usahasama. Saya memilih satu lot tiga tingkat dan dipersetujui pihak JKP tanpa banyak soal.

Pada masa yang sama Hilmi telah memanjangkan cadangan berkenaan kepada pihak ICU (Implementation and Coordination Unit) yang berpejabat bersebelahan JKP di bangunan PSC di Jalan Sultan Ahmad Shah dan tidak berapa lama kemudian saya dipanggil ICU untuk menghadiri satu mesyuarat. Dalam mesyuarat tersebut saya diberitahu bahawa program tersebut kelihatan menarik tetapi tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana melibatkan pelbagai ragam prosedur yang menyukarkan. Saya cuba mempertahankan idea tersebut kerana apa yang cuba saya mulakan hanya program bersama JKP, sebuah syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan supaya dapat dijadikan model bagi dituruti Kerajaan Negeri kemudiannya. Usahasama dengan JKP itu wajar dianggap satu program swasta kerana tidak melibatkan Kerajaan Negeri dan JKP sebagai sebuah GLC telah bersetuju untuk melaksanakannya. Apa yang menghairankan, saya hanya mahu memulakan program usahasama dengan JKP dan program bersama Kerajaan Negeri belum pun bermula tetapi sudah mendapat tentangan ICU dan juga Pegawai Kewangan Negeri.

Berita tersebut telah saya bawa kepada Hilmi pada malam yang sama di rumahnya di Balik Pulau. Menurut Hilmi, soal mekanisme pembayaran yang menjadi alasan idea tersebut mendapat tentangan Pegawai Kewangan Negeri itu bukan masalah saya. Itu masalah Kerajaan Negeri untuk menyelesaikannya. Dia berjanji akan menangani masalah tersebut sebaik mungkin dan memastikan idea saya itu berjaya dilaksanakan.

Lalu saya menunggu Hilmi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Daripada tahun 2002 hinggalah Hilmi bertukar kerusi ke parlimen dan menjadi Setiausaha Parlimen Kewangan masalah tersebut nampaknya tidak pernah selesai. Hilmi juga mungkin sudah terlupa kerana sibuk dengan tugasnya sebagai timbalan ketua menteri dan kemudian terpaksa meninggalkan kerusi tersebut untuk ke peringkat persekutuan. Perkara tersebut juga tidak pernah mendapat perhatian mana-mana pihak selepas Hilmi. Saya berpendapat mungkin perkara tersebut hanya tersimpan dalam fail peribadinya dan tidak pernah diangkat ke mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sebelum pilihanraya saya ketika makan tengahari bersama-sama Tengku Azlan dan Rahim 11 di Lake Club Putrajaya, saya terserempak dengan Hilmi. Saya cuba mengingatkan dia mengenai kes tersebut, dia nampaknya seperti ingat-ingat lupa. Dan baru-baru ini pada malam majlis kesyukuran SDARA bertempat di IOI Palm Resort Putra Jaya yang diadakan khusus untuk meraikan para SDARA yang memenangi pilihanraya (seperti Dr Abdul Latif Ahmad, Ahmad Shabery Cheek serta beberapa SDARA lain termasuk mereka yang menang mewaikili PAS dan PKR), bersaksikan Kamal Golok, saya mengingatkan sekali lagi tentang perkara tersebut, Hilmi nampaknya terus lupa. Dia kata dia tak ingat langsung sedangkan perkara tersebut baru saja kami bualkan di Putrajaya beberapa minggu sebelum pilihanraya.

Menariknya, pada malam itu Hilmi berkata dia amat positif idea tersebut boleh dibincang semula dan boleh dilaksanakan. Excuse me, dalam situasi BN sebagai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri dan Hilmi sudah tidak ada sebarang jawatan lagi?

Oh, dalam hati saya sambil memandang muka Kamal Golok. Mungkin boleh difikirkan juga… tapi untuk apa ya?

2 comments:

dewangga sakti said...

Salam perkenalan Abg Mohamad Shah,
Original line up Kopratasa?
Saya minat sekali dgn Kopratasa!
Sebuah kumpulan puisi yang jujur berkarya.


Zulkifli
p/s: Saya pun X-Sdarian (88-92)

dannalli said...

Sdr Zul (dewangga sakti),
Agaknya Sdr Md Shah tidak ber'interactive'. Tak dapat menolong memberi jawapan.

Saya sendiripun sudah beberapa tahun tidak menemui beliau. Kali terakhir di Carrefour Wangsa Maju,sama-sama menunggu giliran untuk berurus di kiosk Pos Malaysia di situ. Kerana dia nak cepat, saya beri numbor saya kerana yang dia punya terkebelakang. Lepas itu dia terus turun ke basement.

SDARA 0116
Satu batch dgn dia.