Wednesday, 30 April 2008

Kehidupan

Tulisan ini merupakan satu lagi catatan saya untuk sdara6976 e-group. Beberapa bahagian tertentu telah saya sunting atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun keaslian maksud dan kandungannya tetap terpelihara - mohd shah ibrahim.

Selepas meninggalkan Johor Bahru, Teater Elit merupakan tempat kerja pertama saya di Kuala Lumpur. Teater Elit sebuah organisasi yang cukup aktif menjalankan pelbagai aktiviti sosiobudaya di samping turut menjalankan kerja-kerja pengiklanan untuk beberapa pelanggan terpilih.

Teater Elit dimiliki Dinsman yang merupakan seorang penyair, penggiat teater dan juga penulis. Nama Dinsman tidak dapat dipisahkan daripada perkembangan sastera Melayu khususnya dalam bidang teater kerana selepas munculnya teater aliran absurdisme di Malaysia yang dipelopori Sasterawan Negara Dato’ Nordin Hassan sejurus selepas peristiwa 13 Mei, Dinsman pula muncul membawa aliran yang sama bersama-sama Johan Jaffar (bekas Editor-in-chief Utusan) dan Hatta Azad Khan (Pi Mai Pi Mai Tang Tu).

Kalau masih ingat lagi, semasa kita di Tanjung Malim dulu (1969 – 1971), Cikgu Nordin mementaskan Bukan Lalang Ditiup Angin di SITC (sekarang UPSI). Pelakon utamanya Ahmad Making (berasal dari Sabah) pernah beberapa kali bermain trumpet dengan Band Nada Suara yang turut saya anggotai, di bawah pimpinan allahyarham Cikgu Hamid Baharuddin. Kami pernah mengadakan beberapa persembahan bersama di Dewan Sdar, Behrang, Felda Soeharto dan lain-lain. Cikgu Nordin Hassan pula pernah mengajar saya Dramatic English semasa di MTC Pulau Pinang. Dinsman rapat dengannya dan masing-masing saling menghormati kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam memberi sumbangan kepada pembangunan sastera negara.

Untuk melapangkan sedikit otak kita yang sudah terlalu banyak berfikir dan berbicara tentang keputusan PRU 12 yang hampir menjejaskan sistem saraf banyak orang, marilah sama-sama menghayati puisi Dinsman berjudul Kehidupan yang sangat saya kagumi. Semoga puisi ini dapat menenangkan perasaan dan membawa kita ke satu dimensi jauh daripada PRU12.

Puisi ini kami jadikan lagu (kami di sini bermaksud Kopratasa yang terdiri daripada Sani Sudin, Usop dan saya. Sebelum itu Siso belum mengambil alih tempat saya lagi) dan pertama kali kami persembahkan di khalayak pada Malam Pelancaran Semula Akhbar Watan oleh Kumpulan Karangkraf di Hotel Dayang pada 1984 (sekarang dikenali sebagai Hotel Singgahsana).

Bila Kopratasa mengambil keputusan untuk menjadi artis rakaman, saya menarik diri kerana tidak sanggup memikul beban dan melalui kehidupan sebagai artis. Saya nak bisnes, kononnya. Sungguhpun begitu, kami masih tetap bersama. Lagu Kehidupan terdapat dalam album pertama Kopratasa.

Bagi faedah mereka yang kurang faham mengenai seni dan dunia seni dan mungkin tidak mempunyai sebarang maklumat tentang hal-hal berkaitan, izinkan saya menjelaskan bahawa Kopratasa telah mencipta sejarah sebagai kumpulan penyanyi lagu puisi yang paling lama bertahan dalam dunia hiburan iaitu selama 25 tahun. Mereka mempunyai pengikut setia sejak hampir suku abad yang lalu dan masih aktif sehingga ke hari ini.

Bacalah, renunglah dan fikirkanlah dan kemudian cuba kaitkan dengan kehidupan yang sedang kita lalui sekarang ini.

KEHIDUPAN

Di tengah-tengah kehidupan
Sampai ke pinggir-pinggirnya
Sampai ke dasarnya meneroka
Setiap lorong dan liku
Setiap padang dan lobang
Menyelongkar memeriksa
Ke jantung ke nadi
Ke lembah ke gunung belantara
Ke jalan raya

Ke muara samudera ke hulu
Ke ruang persembunyian
Ke taman larangan
Dengan pintar akal
Dengan tajam penciuman
Terang mata telinga
Halus rasa renung
Dengan sikap yang berani
Yakin diri dan tabah hati

Memerhati kehidupan
Memerhati kejadian
Mencari kebenaran dan keadilan
Di tengah-tengah kehidupan

Nota kaki:

Saya percaya bahawa pandangan Dinsman terhadap kebenaran dan keadilan masih kekal hingga ke hari ini dan tidak pernah berubah.

(Salam saya buat Fendi di AKC Corp Consultants Ukay Perdana. Fendi seorang peminat setia Kopratasa yang terlalu gilakan lagu Kembara Malam ciptaan saya yang liriknya diambil daripada puisi Seniman tersohor A. Latif Mohidin. Saya tahu Fendi juga sedang tercari-cari akan makna kebenaran dan keadilan).

No comments: