Saturday, 15 March 2008

Pening Lalat - Antara Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera

Yang saya tahu assalamu’alaikum bermakna Sejahtera Atas Kamu. Jika dipanjangkan sedikit, assalamu’alaikum warahmatullah bermaksud sejahtera atas kamu dan semoga dirahmati Allah. Maafkan saya kalau tersilap.

Itu ucapan lazim bagi orang Islam bila bertemu atau sebelum bercakap dalam telefon. Di kaca TV atau corong radio kerap kita terdengar DJ menyebut “Salammaklekom” dan kalau ada rancangan berbual dengan pendengar menerusi telefon, jarang sekali pendengar menjawab dengan betul. “Maklekom salam” merupakan jawapan biasa.

Dalam dunia hiburan pula memang sudah menjadi kebiasaan sebelum membuat persembahan baik di mana juga artis-artis beragama Islam akan terjerit-jerit tak kira sama ada dalam rancangan TV, konsert Jom Heboh atau konsert rock. Cuma di Hard Rock Café atau Planet Hollywood saya tak pasti sama ada salam yang sama ada diucapkan kerana saya tak pernah ke sana.

“Salammaklekom!!!” Begitulah lazimnya mereka menjerit. Tak kira apa pun gaya sebutannya tetapi agaknya niat mereka untuk mengucapkan kesejahteraan kepada yang hadir supaya dijauhi segala kemungkaran. Jawapan ghairah daripada penonton yang terkinja-kinja menunggu Si Artis membuat persembahan pula berbunyi, “Maklekom salaam!!!”

Kita juga mengucapkan salam yang sama sebelum masuk ke rumah, yang tentunya ditujukan kepada para Malaikat dan jin Islam yang sedia ada di dalam rumah kita itu. Dalam solat pula, selesai bacaan tahyat akhir, kita menyempurnakan solat dengan mengucapkan salam ke kanan dan kiri. Tentu kita tahu kepada siapa salam itu ditujukan.

Apa yang mendorong saya menimbulkan perkara ini, kalau salam kesejahteraan yang kita ucapkan itu merupakan amalan sesama Islam, diucapkan di akhir solat sebagai tanda sempurnanya solat itu dan salam itu pula ditegah daripada diucapkan kepada orang bukan Islam, kita harus sedar betapa ucapan salam itu merupakan suatu perkara yang mulia yang tidak wajar disebut sesuka hati. Sayangnya, semakin dunia berkembang maju, umat Islam semakin hilang rasa sedar mengenai banyak tuntutan termasuk ucapan salam yang menjadi penutup solat baik yang wajib mahupun yang sunat.

Kerana itu agaknya ucapan salam sudah dilupakan kemuliaannya, dilafaz di mana-mana saja dan sebutannya pula kini sudah menyimpang jauh yang mungkin tidak membawa sebarang pengertian lagi. Sehinggakan sekarang ini hampir di setiap majlis orang Islam akan menyebutnya mengikut sedap mulut dan kalau kita perhatikan memang sudah menjadi kebiasaan orang Islam mengucapkan “Assalamua’alaikum” kepada yang beragama Islam dan diikuti dengan “Salam Sejahtera” kepada yang bukan Islam.

Di sinilah yang membuatkan saya pening sedikit. Saya kerap juga terfikir apa bezanya sedangkan kedua-duanya merupakan salam kesejahteraan? Apa beza perkataan sejahtera bahasa Arab dengan perkataan sejahtera bahasa Melayu?

Nota kaki;

Sebelum memulakan solat kita diwajibkan melafazkan niat. Mula-mula hendaklah disebut dalam bahasa Arab (kononnya lafaz niat), selepas itu baru dibacakan "niat" yang disebut di dalam hati sambil kita mengangkat takbir.

Maknanya apa yang dilafaz tadi diulang dan dilafaz sekali lagi tetapi kali ini dalam bahasa Melayu menerusi sebutan di dalam hati yang ditakrifkan sebagai niat. Kalau tak “masuk niat” ulang lagi sampai masuk. Kalau tak masuk niat maka tidak sahlah solat kita itu, kononnya. Sebab itu kita selalu ternampak orang yang berulang-kali mengangkat takbir kerana "tak masuk niat."

Tetapi Orang Arab pula macam mana? Lafaz niat dalam bahasa Arab sudah tentunya. Dalam hati (yang dikatakan niat itu) dia orang sebut dalam bahasa apa pulak? Saya pening lagi...

No comments: