Sunday, 2 March 2008

Nukleus: Pembudayaan Bahasa Kebangsaan

[Bersama Noresah Baharom, Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur]
Dipetik daripada Kertas yang dibentangkan sempena Program Bicara Tengah Hari, anjura Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malsysia, di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka pda 2 Jun 2007

KATA pembudayaan terbit daripada kata ‘budaya ’ yang bermaksud tamadun atau peradaban. Pembudayaan pula bermaksud proses atau cara membudayakan atau melazimkan sesuatu seperti ilmu, dan pemikiran sebagai sebahagian daripada amalan hidup.

Pembudayaan bahasa kebangsaan atau pembudayaan bahasa Melayu bermaksud mengamalkan ciri-ciri bahasa itu, termasuk nilai budi, kesantunan, dan sistem linguistik bahasa yang berkenaan dalam kehidupan seharian.

Pembudayaan bahasa kebangsaan akan hanya dapat dijayakan sekiranya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mempunyai sikap bahasa yang positif, iaitu ada rasa kesetiaan, kebanggaan atau gah terhadap bahasa kebangsaan, dan mempunyai kesedaran akan norma dan sistem bahasa ini. Ini bermakna semua dokumen rasmi kerajaan, majlis rasmi kerajaan, dan bahasa yang dipamerkan di tempat awam serta yang disiarkan dalam media massa mestilah dalam bentuk bahasa kebangsaan yang baik dan betul, di samping tidak mengabaikan unsur keindahan dan kesantunan.

Berikut diperturunkan tiga senario peristiwa bahasa yang boleh kita renungkan bersama-sama untuk melihat dan menilai tahap pembudayaan bahasa kebangsaan di negara kita:

Dalam sebuah majlis rasmi kerajaan yang dihadiri oleh pegawai tinggi kerajaan dan para pembesar negara, pengacara majlis memulakan majlis dengan assalamualaikum dan mengalu-alukan para hadirin dalam bahasa Inggeris.

Selain ucapan oleh penganjur dan tetamu kehormat, bacaan doa juga dilafazkan dalam bahasa Inggeris. Pendek kata, seluruh acara dalam majlis rasmi kerajaan itu berlangsung dalam bahasa Inggeris, sedangkan seorang dua sahaja hadirin yang terdiri daripada orang asing. Yang lainnya orang Malaysia, kebanyakannya Melayu, yang sudah pasti menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Senario kedua berlaku pada suatu hari dalam bulan Ogos 2006 apabila pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia dengan bangga menzahirkan sikap merendahkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibundanya dengan ungkapan “I will sound stupid if I speak Malay…”sehingga mengundang kemarahan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia serta banyak pihak lain.

Senario ketiga pula berlaku di Paris. Dalam satu sesi interaksi antara pegawai tinggi Malaysia dengan para sarjana barat, seorang pegawai tinggi Melayu terus-menerus bercakap dalam bahasa Inggeris dengan salah seorang sarjana pengajian Melayu walaupun sarjana barat tersebut menggunakan bahasa Melayu.

Berdasarkan ketiga-tiga senario di atas dan kecelaruan bahasa yang ketara terpapar di tempat awam serta keleluasaan penggunaan bahasa rojak dalam media penyiaran, tidaklah salah kalau dikatakan bahawa pembudayaan bahasa kebangsaan belum mencapai tahap yang memuaskan. Seharusnya, pembudayaan bahasa kebangsaan menjadi amalan kita, sebagaimana yang kita tunjukkan pada lagu kebangsaan dan sambutan hari kebangsaan.

Masih jauh lagi perjalanan bagi menimbulkan rasa setia dan gah dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu sendiri. Di samping kurangnya rasa setia dan gah bahasa, merosotnya kesedaran tentang norma dan sistem bahasa kebangsaan merupakan faktor penting yang merencatkan usaha pembudayaan bahasa.

Keadaan begini menuntut kita yang sayang dan cinta kepada bahasa sebagai warisan bangsa untuk terus-menerus berjuang, agar ungkapan bahasa jiwa bangsa bukan sekadar tinggal di bibir tetapi diterjemahkan dalam bentuk amalan harian oleh seluruh rakyat Malaysia.

Nota kaki:
Sudah tentu tulisan di atas tidak memerlukan sebarang komen daripada saya.

No comments: