Saturday, 8 March 2008

Mengembalikan kecemerlangan perguruan

Memang biasa bila sahaja menteri baru mengambil-alih sesebuah kementerian maka banyak yang akan berubah dari segi dasar dan juga pelaksanaan program kementerian berkenaan. Kalau tak percaya, lihat saja apa yang bakal berlaku kalau sekiranya Kementerian Pengangkutan diambil alih oleh Datuk Seri Ong Ka Ting selepas selesai pilihan raya nanti (itu pun kalau dia menang). Kalau boleh sebahagian besar yang pernah dirancang oleh Datuk Seri Chan Kong Choy terdahulu mahu diubah dan digantikan dengan program-program baru yang kononnya lebih baik, lebih berinovatif dan bakal melahirkan kecemerlangan. Kadang-kadang kita sendiri boleh jadi keliru bila perkara yang baik pun dianggap tidak baik. Yang penting perubahan mesti dilakukan kerana menteri baru perlu membuktikan kepada rakyat (dan sudah tentunya Perdana Menteri) bahawa dia juga mempunyai visi dan misi baru yang mampu membawa pelbagai perubahan yang bakal membawa kecemerlangan dalam bidang di bawah teraju dan kawalselianya.

Maka lahirlah bermacam-macam program baru dengan matlamat-matlamat tertentu (walaupun untuk melihat bukti pencapaian itu mengambil masa bertahun-tahun, mungkin setelah menteri itu pun sudah tidak lagi berada dalam kabinet) dan dari masa ke semasa akan ada saja pengumuman dibuat untuk memberitahu rakyat. Namun, sama ada matlamat mampu dicapai atau tidak bukan soalnya. Yang penting perubahan itu sendiri kerana tanpa melakukan perubahan rakyat tidak akan tahu bahawa menteri itu hebat, bijak dan berkemampuan membangunkan apa saja bidang di bawah tanggungjawab Kementeriannya. Kalau sekadar melakukan penambahbaikan dan meneruskan kesinambungan bagi apa yang sedia ada nanti rakyat akan melihat menteri berkenaan seperti kekeringan idea.

Sama-samalah kita menyemak di mana-mana saja Kementerian tentang perubahan-perubahan yang cuba dilakukan oleh menteri-menteri sama ada yang terdahulu atau sekarang. Apakah semuanya berhasil? Saya pasti banyak yang tidak berjaya dilaksanakan atau hanya mampu dilaksanakan separuh jalan. Yang ruginya sudah tentunya wang negara yang sebahagian besarnya datang daripada kocek wang rakyat juga.

Terlanjur bercakap tentang perubahan, di Kementerian Pelajaran juga (yang dulunya dikenali sebagai Kementerian Pendidikan) sudah banyak berlaku perubahan dasar dan program. Bagaimanapun saya cuma mahu menyentuh tentang satu perubahan dalam sistem pendidikan negara khususnya program latihan perguruan yang bertujuan untuk mempertingkatkan mutu pendidikan negara. Di samping itu perubahan sistem tersebut juga diharapkan dapat mengembalikan kecemerlangan profesyen perguruan dan menambah keyakinan rakyat terhadap guru-guru.

Perubahan yang dimaksudkan sememangnya amat dialu-alukan kerana pertama sekali maktab-maktab perguruan dinaik taraf menjadi institusi perguruan. Kemudian tempoh kursus juga dilanjutkan menjadi lima tahun atau empat tahun bergantung pada kursus (kalau tidak silap saya) dan lulusan tertentu institusi perguruan sekarang ini pula bertaraf guru berijazah.

Pada masa yang sama, di peringkat sekolah pula guru-guru siswazah diberi peluang mengisi jawatan-jawatan penting dalam sistem pentadbiran seperti menjadi pengetua sekolah, guru besar dan juga penolong kanan. Harapan kementerian, dengan adanya pengetua, guru besar dan juga penolong kanan yang berkelayakan tinggi maka sistem pentadbiran sekolah juga akan menjadi lebih baik dan mereka ini dijangka mampu memacu sekolah masing-masing ke arah kecemerlangan. Biasanya (walaupun bukan semestinya) orang yang berpendidikan tinggi lebih tinggi tahap pemikirannya, lebih banyak idea dan lebih berinovasi.

Tetapi apakah perubahan tersebut mampu menjanjikan kecemerlangan seperti diharapkan? Apakah soal kelulusan harus menjadi kriteria penting sehingga menidakkan kemampuan dan pengalaman guru-guru lulusan maktab sedia ada yang bakal pupus dalam masa sekurang-kurangnya tiga puluh tahun akan datang? Sejauh mana berkesannya perubahan ini masih belum terbukti kerana seperti biasa bidang pendidikan sering menjadi mangsa proses trial and error pelbagai dasar dan program mengikut sesedap rasa hampir setiap menterinya. Kalau kita melihat ke belakang, setiap kali menteri bertukar bidang pendidikan negara akan mengalami bermacam-macam perubahan. Dan yang menjadi mangsanya sudah tentu guru-guru dan murid-murid sebagai yang merupakan the end users bagi mana-mana juga perubahan dasar tersebut.

Saya tidak mempertikaikan kehadiran sekian ramai guru berijazah lulusan institusi perguruan kerana mereka yang bakal lahir itu merupakan mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan. Tetapi yang menjadi jenaka sekarang apakah lambakan guru-guru berijazah pada peringkat sekolah rendah yang merupakan bidang terjun dalam kerjaya yang selama ini dianggap sebagai noble profession mampu membantu mengembalikan kecemerlangan profesyen tersebut?

Apakah pengwujudan program ini sebagai menyediakan peluang pekerjaan bagi graduan menganggur? Ini mungkin benar kerana kebanyakan mereka yang dipilih pada peringkat awal dulu merupakan graduan menganggur yang sukar mendapat pekerjaan. Pada masa sekarang, sebahagian besar merupakan mereka yang sebelum ini sudah bekerja di sektor lain tetapi kerana tidak sukakan kerjaya tersebut atas alasan-alasan tertentu, lalu mereka memohon menyertai kursus KPLI. Maka berduyun-duyunlah guru-guru KPLI dengan segala macam kelulusan turun ke sekolah-sekolah rendah. Ada lulusan kejuruteraan, matematik, perakaunan, undang-undang syariah dan sebagainya.

Apakah langkah dan program ini baik untuk masa depan pendidikan negara? Kalau program tersebut bertujuan untuk menempatkan guru-guru KPLI di sekolah menengah itu amat wajar kerana tidak dinafikan kita memerlukan guru-guru berkelayakan untuk mengajar peringkat menengah dan kelulusan mereka memang bersesuaian. Tetapi menempatkan guru-guru berkelayakan tinggi di sekolah rendah sebenarnya menghina sistem pendidikan negara di samping berlaku zalim terhadap mereka yang berkelulusan tinggi itu. Kalau mereka yang berkelulusan tinggi itu datang daripada bidang tertentu yang berkaitan seperti psikologi, pendidikan atau pengajian bahasa Melayu dan Inggeris yang sememangnya bersesuaian dan memang diperlukan saya tidak akan mempersoalkan. Tetapi kalau kehadiran mereka di sekolah-sekolah kerana tidak berjaya mendapat pekerjaan lain atau kerana tidak berpuas hati dengan kerjaya sedia ada dan melihat kerja sebagai guru sebagai kerja mudah dan selamat, program ini wajar dinilai semula.

Apa perlunya seorang berkelulusan tinggi mengajar kanak-kanak seawal usia tujuh tahun? Apa relevannya kursus yang dipelajari di universiti dengan apa yang diajar di sekolah rendah? Bayangkan seorang graduan lulusan kejuruteraan yang pernah bekerja dengan sebuah syarikat petroleum memilih untuk menjadi guru semata-mata kerana dia tidak mahu dihantar bekerja di tengah laut yang akan mengakibatkan dia terpaksa berjauhan daripada keluarga. Dan kerana itu dia sanggup mengorbankan kerjaya dan masa depannya dan mengorbankan tempoh sekurang-kurangnya empat tahun berhempas pulas belajar dalam bidangnya di institusi pengajian tinggi. Akhirnya, bekas jurutera itu sekarang ini mengajar Sains tahun empat di sebuah sekolah rendah dan bila tidak mengajar dia bekerja di tengah padang melakukan persiapan untuk acara-acara sukan.

Bagaimana pula dengan graduan undang-undang syarie, matematik, perakaunan dan lain-lain yang sewajarnya berada dalam bidang masing-masing untuk menambah bilangan profesional Melayu dalam bidang-bidang tersebut? Dalam kita sibuk membincangkan soal brain drain yang yang melihat ribuan profesional tempatan berhijrah ke luar negara kerana mendapat tawaran lebih lumayan, (perlu diingat seperti tulisan Marina Mahathir dalam blognya, “the brain drain is not caused by people not coming back. It's caused by people leaving. There is a subtle difference.” Kenyataan ini ditujukan khas kepada Ketua Puteri UMNO Datuk Noraini Ahmad yang menakrifkan brain drain termasuk mereka yang tidak pulang ke negara), ironinya, apa yang kita lihat sedang berlaku di dalam negara merupakan satu usaha sumbang melangkah ke belakang yang menggalakkan the brain goes into the drain. Alangkah ruginya negara.

"Selamat Memangkah Undi"

Nota kaki:

“Zalim itu bermaksud melakukan sesuatu yang tak kena pada tempatnya atau meletakkan sesuatu perkara itu pada tempat yang salah.” – Dato’ Seri Harussani Zakaria (sekarang Mufti Negeri Perak Darul Redzuan), ketika mengajar kami dalam salah satu usrah di maktab pada tahun 1977 dulu.

No comments: