Saturday, 15 March 2008

Kecelaruan sebutan cemari bahasa Melayu

(Dipetik daripada laman web Ramish a/l Subramaniam bekas ADUN Kahang, Johor bertarikh 2005-09-27. Laman Web ini mungkin sudah tidak wujud lagi kerana bekas Adun itu telah digantikan dengan R. Vidyanathan yang memenangi kerusi DUN Kahang (BN). Vidyanathan menang setelah mengalahkan calon PKR Abdul Halim Mohamad Dawam tetapi dengan majoriti yang berkurangan - Mohd Shah Ibrahim ).

KETIKA kecil, radio adalah saluran penting untuk hiburan umum. Peranan dimainkan amat berkesan dalam memperkenalkan masyarakat luar bandar kepada dunia di luar kepompong kehidupan harian di kampung. Pada zaman itu, dunia luar saya merangkumi masyarakat yang menggunakan bahasa hampir serupa dengan apa yang dituturkan masyarakat setempat. Ketika itu, tanah di seberang Selat Melaka dan Laut China Selatan itulah yang merangkumi dunia luar saya - negara serumpun Indonesia. Saya sering tumpang berhibur dengan mendengar radio, sama ada drama, lagu kegemaran atau temu bual dengan penghibur tempatan (selatan Malaysia dan Singapura) dan Indonesia.

Pada usia mentah sekitar sembilan tahun, saya tidak faham pokok perbincangan sesi temu bual, tetapi apa yang jelas bagi saya ialah perubahan ketara pada pertuturan pengacara radio apabila berinteraksi dengan personaliti dari Indonesia. Secara spontan, saya seakan-akan terdengar perbualan antara dua penutur asli bahasa Indonesia, walaupun pengacara berkenaan adalah anak tempatan yang sebelum sesi temu bual bertutur menggunakan loghat Melayu Riau. Saya keliru dengan kecelaruan yang diperdengarkan di corong radio oleh pengacara Melayu apabila dengan mudah meninggalkan loghat asal dan meniru gaya penutur Indonesia. Ketika remaja, keadaan serupa dapat disaksikan apabila terdengar teman sekolah berbual dengan saudara atau kenalan dari Indonesia. Mereka secara spontan bertutur dalam loghat Indonesia dan berbangga dengan kehebatan meniru loghat seberang.

Sememangnya, pertuturan dalam bahasa asing sering kali dianggap enak didengar dan tidak malu dijadikan ikutan, apatah lagi jika penutur asal bahasa itu daripada kalangan bangsa yang dianggap gagah dan pada zaman itu, dalam keadaan ekonomi negaranya yang kukuh dan suasana politik yang stabil, ramai yang menganggap Indonesia sebagai saudara tua rumpun Melayu. Malah sejak dulu lagi, bahasa Indonesia yang dipelajari oleh penutur asing tidak kira di Eropah, rantau Asia atau benua lain. Sikap mengutamakan dan mengagungkan bahasa asing melebihi bahasa ibunda masih wujud di kalangan sesetengah masyarakat Melayu, akibat daripada tanggapan salah bahawa ada perbezaan dari segi status satu bahasa dengan bahasa yang lain.

Hakikatnya, dalam suasana kepimpinan negara gigih memantapkan kedudukan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020, masih lagi wujud kecelaruan dan kesangsian di kalangan masyarakat kita sehingga ketandusan semangat untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai lambang jati diri bangsa. Walaupun bahasa asing sering dianggap lebih tinggi nilainya berbanding bahasa ibunda, tidak terlewat bagi kita membuka mata dan hati untuk lebih berkeyakinan bahawa bahasa Melayu mampu diperkasakan kerana sedia terkandung di dalamnya kekuatan dan keistimewaan tersendiri.

Bagi seorang pengajar bahasa seperti saya, istimewanya bahasa Melayu bukan sekadar terletak pada ciri-ciri linguistiknya - fonologi, fonetik, semantik, leksis dan sebagainya - tetapi ia terletak pada martabat bahasa Melayu itu sendiri sebagai satu entiti linguistik yang bebas dan mempunyai kekuatan tersendiri. Lebih daripada itu, bahasa Melayu mendapat tempat di hati saya kerana melambangkan jati diri saya sebagai sebahagian bangsa yang bebas lagi merdeka, walaupun kerjaya memerlukan saya mengajar anak bangsa mahir berbahasa Inggeris. Malah, saya sering mengingatkan pelajar bahawa bahasa Melayu harus terpahat dalam jiwa mereka sebagai satu ciri bangsa merdeka, walaupun pada masa sama mereka perlu menguasai bahasa Inggeris sebaik mungkin supaya dapat bersaing pada persada dunia.

Kita perlu sedar peranan kedua-dua bahasa dalam hidup masyarakat Melayu tidak serupa, lantaran mempunyai nilai berbeza untuk memajukan bangsa Melayu ke tahap lebih perkasa. Selagi orang Melayu masih keliru dengan peranan dimainkan kedua-dua bahasa ini dalam hidup kita, selagi itulah orang Melayu tidak dapat secara terus-menerus memupuk jati diri bagi memperkasakan bangsa Melayu kerana sememangnya bahasa itu jiwa bangsa.

Wujudnya kecelaruan ini dalam masyarakat Melayu dapat dilihat melalui perkembangan dunia hiburan negara mutakhir ini. Dalam hal ini, pengamatan saya tertumpu pada satu sudut bidang nyanyian, iaitu sebutan konsonan atau huruf tertentu yang sepatutnya membezakan bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris dari segi pertuturan.Ada penyanyi tempatan, terutamanya di kalangan golongan yang mengenengahkan unsur irama asing dalam nyanyian mereka seperti blues, jazz, rock dan hip-hop, menyelitkan secara sedar atau tidak, ciri sebutan atau fonetik bahasa Inggeris apabila menyebut perkataan Melayu yang mempunyai huruf p, t, k, atau r, sedangkan sebutan bagi huruf itu berbeza dalam bahasa Melayu berbanding Inggeris.Dari segi fonetik bahasa Inggeris, apabila ada huruf p, t, dan k dalam pertuturan, wujud ciri aspirasi pada perkataan berkenaan, membabitkan hembusan udara lebih daripada lazimnya melalui mulut ketika perkataan diungkapkan, lantaran diistilahkan sebagai ‘plosif’ daripada perkataan Inggeris plosive.Oleh kerana unsur plosif tidak wujud dalam fonetik bahasa Melayu, tindakan ‘menginggeriskan’ bahasa Melayu melalui sebutan yang tidak tepat sebenarnya mencacatkan keindahan bahasa itu dan membayangkan seakan-akan penutur sebutan songsang itu mempamerkan kelemahannya menguasai bahasa Melayu, seterusnya memberi gambaran penutur kurang memahami dan menghayati ciri-ciri fonologi yang ada pada bahasa Melayu.
Dalam keghairahan kita menghayati keindahan muzik sebagai sesuatu yang universal, adakalanya kita terlupa bahawa muzik dan bahasa adalah dua media berbeza, masing-masing dengan keistimewaan tersendiri yang tidak semestinya menyokong antara satu sama lain. Saya yakin, perkara ini terjadi tanpa golongan berkenaan menyedari betapa kecelaruan itu mempamerkan kelemahan mereka memahami elemen yang perlu dihalusi apabila menggunakan bahasa Melayu. Kita mampu melepasi kecelaruan ini jika kita memperakui bahasa adalah lambang jati diri bangsa, seterusnya menanam tekad bagi memastikan keindahan bahasa Melayu tidak dicemari dan keunggulannya terus terjamin, walau pada peringkat mana pun kedudukan kita dalam masyarakat.

Nota kaki:

U-Wei Haji Saari pernah menyuarakan perkara ini. Sungguhpun terdidik dalam bahasa Inggeris dan pernah menetap di USA selama lebih kurang 12, berkahwin dengan wanita Amerika dan hidup dalam persekitaran bahasa itu, tetapi bila kembali ke Malaysia dia amat tidak suka bila bahasa Melayu dihina oleh orang Melayu sendiri. Dia benci mendengar orang Melayu yang menuturkan bahasa sendiri mengikut pelat bangsa lain terutama bila bercakap dengan orang Cina atau India. Kami sependapat, kalau beginilah cara dan sikap orang Melayu, sampai bila-bila pun orang Cina dan India sukar untuk bercakap bahasa Melayu dengan baik.

Di samping itu dia juga tidak suka dengan orang Malaysia yang mudah tunduk dengan orang Indonesia dalam soal bahasa. U-Wei sedaya-upaya akan mempertahankan bahasa Melayu bila bercakap dengan orang Indonesia. “Kenapa dia orang tak boleh ikut cara kita bercakap? Kenapa kita pulak yang mesti tiru cara dia orang?” katanya - Mohd Shah Ibrahim.

No comments: