Tuesday, 25 March 2008

Jiwa yang terhiris luka.. 1


Walaupun waktu itu saya masih kecil lagi, mungkin berusia kira-kira empat tahun tetapi peristiwa itu masih segar dalam ingatan. Peristiwa ibu saya mengambil anak jiran kami Kak Arah yang baru saja lahir merupakan perkara yang tak mungkin dapat saya lupakan.
Sebenarnya pada usia tersebut, memang sukar untuk saya memahami apa yang berlaku dan bagaimana ia boleh berlaku. Apa yang saya tahu anak Kak Arah itu diserahkan untuk tinggal bersama-sama kami. Sebagai anak bongsu sudah tentu saya amat seronok kerana mendapat seorang adik secara tiba-tiba. Tambahan pula seorang adik perempuan yang comel. Pada usia sekecil itu saya tidak mampu bertanya bagaimana anak jiran sebelah rumah kami itu boleh berpindah tangan daripada ibunya kepada keluarga kami. Saya hanya tau bahawa saya seronok mendapat ahli baru dalam keluarga. Mulai saat itu saya juga terasa semacam ada perubahan berlaku dalam keluarga kami.
Seperti saya katakan, saya tak faham apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi kira-kira setahun selepas itu, Kutip (atau nama sebenarnya Salmah) tiba-tiba kembali semula ke pangkuan ibunya Kak Arah. Mengapa adik saya itu harus dikembalikan kepada ibunya? Saya masih belum mampu bertanya. Walaupun rumah kami bersebelahan di berek kakitangan Jabatan Mergastua di Jalan Ibrahim, Kluang, tetapi saya amat terasa sekali akan kehilangannya kerana Kutip tidak lagi tidur bersama-sama kami. Kutip juga tidak lagi tidur di dalam buaiannya di rumah kami atau tidur dalam pelukan ibu saya. Tanpa saya sedari, entah bila masanya tiba-tiba buaiannya tidak lagi tergantung di ruang tidur rumah kami. Segala barang keperluannya juga dihantar ke rumah sebelah dan saya tidak nampak ada satu pun yang tinggal lagi. Saya kebingungan. Suasana rumah kami terasa sekali kesuramannya.
Selepas peristiwa itu saya selalu melihat ibu saya menangis terutama pada waktu malam. Saya tak tahu apa sebabnya. Dan setiap kali bila “adik” saya itu menangis yang sudah tentu jelas kedengaran kerana rumah kami dan rumah Kak Arah hanya dipisahkan oleh dinding kayu rumah berek itu, ibu saya juga akan menangis sama. Pernah juga bila saya terjaga pada waktu malam saya dapati ibu saya masih berjaga. Saya yang masih tak mengerti apa-apa hanya mampu memandang.
Saya juga dapati selepas itu ibu saya nampaknya seperti tidak lagi mahu menyentuh atau memegang Kutip. Walaupun ibu saya dan Kak Arah masih bertegur-sapa tetapi saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Saya dan kakak saya yang hanya tiga tahun lebih tua daripada saya sudah tentu sekali kerap bertanya kenapa. Tetapi ibu saya tidak pernah menjawab. Apa yang saya ingat, setiap kali saya bertanya dia akan memeluk saya sambil menangis. Tidak berapa lama selepas itu kami berpindah ke Batu Pahat kerana allahyarham ayah saya ditugaskan sebagai Pengawal Mergastua di daerah itu. Tetapi saya tidak pernah diberitahu apakah perpindahan kami itu ada kaitan dengan peristiwa tersebut.
Selepas keluarga kami berpindah, apa yang saya tahu saya tidak mempunyai adik lagi. Kalau dulu saya masih boleh menjengahnya di rumah sebelah tetapi kali ini tidak lagi. Saya tahu saya amat merinduinya. Namun, sebagai anak kecil lama kelamaan ingatan saya terhadap adik saya itu semakin pudar kerana selepas itu saya langsung tidak bertemu dengannya lagi.
Tidak lama kemudian saya terdengar ayah memberitahu ibu saya bahawa Kak Arah telah selamat melahirkan seorang anak lelaki. Tetapi beberapa hari selepas saja anak itu lahir, saya mendengar cerita bahawa suaminya Abang Pon kembali ke rahmatullah. Saya ada mendengar ibu saya menyebut tentang perkara itu yang dikatakan orang seolah-olah seperti berganti nyawa. Wallahua’alam.
Saya hanya mendapat gambaran sebenar mengenai peristiwa tersebut bila sudah berusia belasan tahun. Menurut cerita ibu saya, Kak Arah dan Abang Pon (saya tak tahu mengapa semua adik-beradik saya memanggil mereka dengan panggilan Kak dan Abang), sebelum itu sudah mempunyai dua orang anak (kalau tak silap saya). Malangnya, kedua-dua anaknya itu meninggal dunia tidak berapa lama selepas dilahirkan. Mengikut kepercayaan sesetengah pihak pada waktu itu, perkara itu mungkin ada kaitan dengan “pembawa” yang tidak baik sama ada di pihak suami atau isteri. Justeru, sekiranya mereka mendapat anak sekali lagi, mereka dinasihatkan supaya menyerahkan anak itu kepada orang lain untuk dibela. Kononnya dengan cara itu anak itu akan panjang umurnya. Sekiranya nasihat itu tidak diendahkan anak itu juga tidak mungkin dapat hidup lama.
Kerana sebab itulah bila Salmah dilahirkan Kak Arah dan Abang Pon bersetuju untuk menyerahkannya kepada orang lain untuk dibela. Oleh kerana anaknya itu akan dikutip orang lain lalu Salmah diberikan nama timangan, Kutip.
Oleh kerana Kutip satu-satunya anak mereka, sudah tentu kalau mahu diberikan kepada orang lain Kak Arah dan Abang Pon perlu memastikan dia tidak dibawa jauh daripada mereka. Walau apa pun terjadi, mereka tidak sanggup berpisah jauh daripada Kutip. Kerana itu mereka berbincang dengan ibu dan ayah saya sebagai jiran dan sahabat paling rapat. Akhirnya mereka mengambil keputusan, jalan terbaik yang dapat mereka fikirkan ialah menyerahkan Kutip kepada keluarga kami. Kebetulan pula Kak Arah dan ibu saya mempunyai hubungan keluarga. Dengan cara itu mereka masih dapat melihat Kutip membesar di depan mata dan tidak perlu bimbang kerana masih dapat sama-sama mencurahkan kasih sayang.
Menurut ibu saya lagi, pada mulanya segala-galanya berjalan dengan baik. Kak Arah dan Abang Pon dapat menerima keadaan itu. Sungguhpun dibela orang lain, mereka masih dapat bertemu dengan Kutip pada bila-bila masa. Bila saja ada peluang mereka akan mengambil Kutip cuma Kutip tidak dibela sepenuh waktu. Mereka hanya mengambilnya sekali-sekala untuk bermain pada waktu siang. Bila sampai waktu untuk Kutip tidur dia akan dipulangkan kepada kami. Bila mendengar Kutip menangis sekalipun pada waktu tengah malam, Kak Arah akan terjengul di muka pintu untuk melihat apa kena dengan anaknya itu. Tetapi malang sekali, apabila melihat anak comel itu membesar sihat walafiat dalam jagaan ibu dan ayah saya, tiba-tiba Abang Pon bertukar fikiran. Dia meminta supaya Kutip dipulangkan kepada mereka. Walaupun Kak Arah kurang bersetuju kerana akur dengan pendapat pihak yang menasihatkan mereka dahulu tetapi Abang Pon tetap berkeras. Bayangkan betapa hancurnya hati ibu saya yang telah membela anak itu selama hampir setahun, yang telah dibelai dengan penuh kasih sayang seperti darah daging sendiri. Tiba-tiba Kutip terpaksa dipulangkan semula walaupun sebelum itu Abang Pon memang sudah bersetuju untuk keluarga kami membela Kutip untuk selama-lamanya dan mengaku tidak akan mengambilnya balik.
Setelah berpindah ke Batu Pahat, ada juga saya lihat ibu saya menangis terutama pada waktu malam sebelum tidur. Namun, setelah beberapa lama dia tidak menangis lagi. Mungkin agaknya dia sudah dapat menerima kenyataan bahawa Kutip tak akan kembali lagi. Tetapi saya percaya dia tak mungkin dapat melupakan peristiwa pahit itu.
Pernah sekali bila bercerita lagi tentang peristiwa yang menyayat hati itu (memang dia selalu mengulangi cerita itu dengan saya), ibu saya mengeluarkan satu bungkusan pakaian lama. Dia menunjukkan kepada saya koleksi pakaian adik-beradik saya semasa bayi termasuk beberapa helai barut yang menurutnya dijahit khas untuk Kutip. Saya dapat merasakan semasa bercerita itu dia sedang menahan kesedihan. Saya tahu, ingatannya masih kuat terhadap peristiwa itu dan tak mungkin dia dapat melupakan Kutip.
Dia pernah memberitahu saya bahawa dia serik untuk membela anak orang. Saya dapat memahaminya. Apakah dia juga cuba memberitahu saya supaya jangan mengulangi sejarah? Dia tak pernah menyatakannya secara terus-terang tetapi saya tahu dia amat mengenali jiwa saya dan bagaimana saya mudah sekali menyayangi anak-anak kecil, satu sifat yang saya warisi daripada ayah saya.
Pada satu hari sedang kami bersembang mengenang kisah-kisah lama semasa kami tinggal di Kluang, tiba-tiba dia berkata, “Dah besar mana agaknya Si Kutip..” Saya tahu bahawa dia tak dapat melupakan peristiwa itu. Dia mungkin masih merindui Kutip.
Bila Kutip sudah dewasa, pernah sekali dia datang menjenguk ibu saya di Batu Pahat. Kebetulan pada hari itu saya dan isteri ada di rumah ibu saya. Kata Kutip, memang sudah lama dia mahu bertemu dengan mak dan adik-beradik lain. Dan katanya lagi, ibunya Kak Arah juga mendesaknya supaya pergi mencari kami. Pada hari itu saya wajah ibu saya ceria sekali. Dia juga beberapa kali memeluk dan mencium Kutip. Ketika Kutip hendak pulang, kelihatan seperti dia tak puas bila memeluk dan mencium adik saya itu sekali lagi.
Seingat saya, itulah kali pertama dan terakhir allahyarham ibu saya bertemu Kutip selepas meninggalkan berek Mergastua Kluang pada penghujung tahun 60-an dulu. Ibu saya meninggal dunia pada tahun 11 Disember 2002 membawa bersamanya pelbagai kenangan peristiwa pahit yang banyak menghiris luka jiwanya yang saya rasa yang tidak pernah sembuh hingga ke penghujung hayatnya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ibu saya dan semoga rohnya tenang serta menemui kedamaian.

No comments: