Thursday, 27 March 2008

Jiwa yang terhiris luka.. 2

Selepas kira-kira sebulan penyewa rumah belakang berpindah, tiba-tiba kami dapati ada penyewa baru berpindah ke situ. Setelah berkenalan kami dapati jiran baru itu merupakan pasangan muda yang baru mempunyai seorang anak perempuan berusia kira-kira tujuh bulan. Suaminya seorang pegawai tentera manakala isterinya seorang suri rumah sepenuh masa.

Pintu belakang rumah kami memang jarang ditutup bila sesiapa antara kami berada di dapur. Agak lemas membiarkan pintu itu tertutup kerana barisan rumah kami dan rumah belakang hanya dipisahkan oleh pagar tanpa sebarang lorong belakang. Mengapa pemaju merekabentuk kawasan perumahan kami itu begitu rupa saya tidak pasti. Sudah tentu tidak menyalahi peraturan pihak berkuasa tempatan (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Kalau tidak sudah tentu projek perumahan tersebut tidak menjadi kenyataan. Namun, rekabentuk sebegitu sebenarnya tidak praktikal dari segi keselamatan. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini di bahagian hadapan rumah, ke mana penghuninya harus melarikan diri? Namun begitu, perkara ini ternyata baik untuk pemaju kerana dapat menyelamatkan ribuan kaki persegi dan memaksimumkan keuntungan mereka.

Kerana pintu dapur kami selalu terbuka, kerap juga kami terpandangkan anak kecil itu. Maka kedua-dua anak perempuan saya yang memang suka melayan anak kecil tanpa mengira bangsa dan agama mula mengusik anak jiran baru kami itu. Selalunya kerana anaklah kami dapat berkenalan lebih rapat dengan jiran-jiran kami. Ternyata strategi tanpa niat itu berjaya merapatkan hubungan kami. Bagi anak kecil itu, oleh kerana sudah biasa melihat kami, lama kelamaan bila saja dipanggil namanya dia akan memberi reaksi. Si comel bernama Fatihiah yang baru saja pandai merangkak itu akan terus menuju ke arah pintu dapur rumahnya.

Selepas kira-kira sebulan, akhirnya misi kami sekeluarga untuk menawan hati anak kecil itu tercapai dan Fathiah berjaya kami sambar daripada ibunya, menyeberangi pagar belakang dan akhirnya hampir setiap hari dia berada di rumah kami.

Kerana Fathiah saya memasang semula buaian yang sudah agak lama tersimpan yang memang disediakan untuk ahli keluarga atau sahabat-sahabat yang mempunyai anak kecil. Buaian itu digantung di antara ruang tamu dan ruang makan. Mulai saat itu suasana rumah kami serta-merta berubah, diserikan dengan kehadiran si comel itu. Sudah tentu sekali bila saja dia berada di rumah kami “kakak-kakaknya” seperti tidak ada kerja lain kerana melayaninya hampir setiap waktu. Bagi isteri saya pula, sungguhpun dia tidak berapa pandai melayan dan agak sukar untuk “jatuh cinta” degan anak-anak kecil tetapi kehadiran Fathiah serba-sedikit berjaya mengubah sikapnya.

Saat-saat itu memang menyeronokkan. Masing-masing berebut-rebut untuk membancuh susu untuknya dan juga menukar diapers. Masing-masing dengan lagu masing-masing bila menidurkannya. Pantang mendengar Fathiah merengek, apa lagi kalau dia menangis. Masing-masing akan berkejar mendapatkannya untuk memberikan sepenuh perhatian. Kerap juga Fathiah tidur di atas pangkuan saya, sesuatu yang selalu allahyarham ibu saya beritahu, “Budak-budak yang tidur dalam pangkuan kita mudah sayang kita sebab lekat bau..”

Sayangnya, kebahagiaan memiliki Fathiah hanya untuk satu jangka waktu yang amat singkat. Dalam tempoh tidak sampai setahun kami diberitahu bahawa ayahnya akan ditukarkan ke tempat lain. Sudah tentu kami terperanjat. Suasana rumah kami yang sebelum itu sentiasa ceria berubah menjadi suram mendengar berita itu. Ini kerana Fathiah yang kalau sebelum itu boleh dibawa balik ke rumah pada bila-bila masa saja kecuali pada waktu malam akan pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Takkan mungkin ayahnya akan kembali mendiami rumah itu kalau pun dia kembali bertugas di Kuala Lumpur semula.

Kami akan kehilangan Fathiah. Buaian yang tergantung itu akan kembali kosong tidak lagi berpenghuni. Tidak ada lagi suara Fathiah merengek mahukan susu, tidak ada lagi suara tangisan atau suara keriangan mengisi kekosongan rumah kami selama ini dan tidak kami semua akan kembali seperti dahulu.

Kalau selama hampir setahun itu saya seperti tidak sabar untuk pulang ke rumah kerana saya tahu kalau dia di rumah kepulangan saya akan bersambut, selepas itu tidak ada apa lagi yang diharapkan untuk menghilangkan penat-lelah bekerja bermain dengannya. Selepas saja keluarganya berpindah rumah kami senyap sunyi seperti waktu-waktu Fathiah belum hadir dalam hidup kami.

Kami hanya bertemu Fathiah beberapa kali sahaja selepas itu. Sekali bila mereka datang melawat kami selepas ayahnya balik daripada bertugas di Bosnia Herzegovina dan sekali lagi ketika singgah melawatnya di Taiping. Selepas Taiping ayahnya berpindah pula ke Kluang. Semasa mereka di Kluang kami masih juga tidak dapat bertemu kerana bila kami ke sana mereka balik ke kampung. Sekali lagi kami bertemu Fathiah di suatu majlis perkahwinan di rumah datuknya di Jasin. Ketika itu dia sudah berusia kira-kira tujuh atau lapan tahun dan sudah mempunyai dua orang adik. Sekarang Fathiah sudah mencapai usia kira-kira empat belas tahun dan belajar di sebuah sekolah Maktab Rendah Sains Mara Kem Terendak Melaka. Kami ada cuba mencarinya di Jasin tetapi pada masa itu datuk dan neneknya memberitahu bahawa mereka balik ke kampung ayahnya di Pahang.

Walaupun ibunya mungkin ada becerita tentang kami tetapi Fathiah tidak mungkin ingat akan saat-saat itu kerana ketika itu dia masih bayi. Ingatan itu hanya menjadi kenangan kami sekeluarga yang pernah membelanya buat seketika, mencurahkan kasih-sayang terhadapnya yang pernah menjadi penghibur dan mengisi kekosongan keluarga kami pada satu waktu dulu.

Buaian itu masih kosong dan untuk tidak menambah duka kerana kehilangan Fathiah, saya menyimpannya semula di tempat asal dan kalau boleh tidak mahu melihatnya lagi.

No comments: