Friday, 7 March 2008

Bila Melayu Keluar TV

Kadang-kadang saya hairan. Saya perhatikan bila saja mendapat peluang ditemubual oleh stesen-stesen TV tempatan atau diminta memberi pendapat (biasanya dalam siaran berita), ketika itulah kita akan dapati orang-orang Melayu kita masih ramai yang kelihatan seperti tidak begitu fasih berbahasa ibunda. Saya berkata begitu kerana saya dapati mereka yang ditemubual itu seboleh-boleh akan menyelitkan perkataan-perkataan Inggeris walaupun perkataan-perkataan Melayunya bukannya susah untuk dipetik daripada kamus minda kita. Maka keluarlah perkataan-perkataan seperti “so, then, well, I mean,” dan lain-lain lagi. Sudah semestinya juga, perkataan I dan You akan keluar juga. Yang peliknya, ada antara perkataan-perkataan tersebut yang janggal sebutannya manakala frasa-frasa janggal juga cuba diselitkan yang bila didengar cukup menggelikan telinga orang-orang yang tahu berbahasa Inggeris.

Apakah ini berlaku kerana mereka benar-benar tidak fasih atau sengaja mengada-ngada kerana mahu menunjuk-nunjuk? Mungkin benar mereka mahu menunjuk-nunjuk kerana bukan senang mahu keluar TV yang ditonton seluruh negara? Inilah agakny masa paling sesuai untuk mereka menunjukkan kepada jutaan penonton bahawa mereka kurang fasih berbahasa Melayu.

Saya berani mengatakan bahawa sebahagian besarnya berlaku kerana sikap ingin menunjuk-nunjuk sedangkan pada hakikatnya mereka bukannya pandai sangat berbahasa Inggeris. “Kamera tak pandai menipu” (memetik kata-kata U-Wei Haji Saari). Kejujuran atau sebaliknya pasti akan tersingkap kerana bila sudah berada di hadapan kamera tidak ada apa yang dapat disembunyikan lagi. Kerana itu kita perlu ingat bila berada di hadapan kamera. Bercakap dan bergayalah tetapi biarlah dengan jujur kerana kamera akan menangkap apa juga imej dan perlakuan di hadapannya dengan sejujur-jujurnya.
Golongan yang suka menunjuk-nunjuk ini bukannya pandai sangat berbahasa Inggeris tetapi cuba mengaku pandai. Kalau tak percaya, cuba minta krew TV Berita Inggeris menemu-bual mereka dalam bahasa Inggeris. Mampukah mereka yang kononnya kurang fasih berbahasa Melayu itu tadi bercakap dalam bahasa Inggeris penuh? Cubalah. Saya yakin mereka pasti menggelabah.

Namun tidak dinafikan dalam kalangan mereka itu ada juga yang memang pandai berbahasa Inggeris. Mungkin kerana itu bahasa ibunda mereka dan dilahirkan dari perut perempuan Melayu yang tak pandai bercakap Melayu dan dibesarkan di kota-kota besar dan hidup dalam persekitaran dan budaya bahasa Inggeris. Kerana itu agaknya setiap kali diajukan soalan dalam bahasa Melayu mereka akan menjawab dalam bahasa Inggeris. Bila ditanya lagi dalam bahasa Melayu mereka tetap akan menjawab dalam bahasa Inggeris juga. Golongan ini mungkin tidak ada masalah sekiranya ditemubual oleh krew Berita Inggeris dan memang mengidamkannya kerana itu saja cara untuk membuktikan kepada rakyat jelata termasuk orang-orang kampung siapa diri mereka sebenar, latar belakang pendidikan, kehidupan serta budaya fikir yang bobrok. Bagi mereka ketidakfasihan berbahasa Melayu adalah satu kebanggaan.

Fenomena ini juga kerap berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dalam dunia hiburan tempatan terutama personaliti serta artis-artis kita. Tanya apa saja dalam temubual TV, seboleh-boleh mereka akan cuba menunjuk-nunjuk bahawa mereka pandai berbahasa Inggeris walaupun pada hakikatnya kita tahu setakat mana pengetahuan bahasa Inggeris mereka. Dan golongan ini juga sama seperti yang lain suka menunjuk-nunjuk sedangkan bila disergah dengan soalan dalam bahasa Inggeris pasti akan bertanya balik berkali-kali, “Sorry? Atau pardon?”

Penyakit apa yang sudah melanda bangsa Melayu sebenarnya? Kadang-kadang kita berasa malu kerana hampir setiap kali stesen-stesen TV cuba meninjau pendapat umum, orang Melayu akan berlagak tergagap-gagap bercakap dalam bahasa ibundanya sedangkan sesetengah orang Cina akan seboleh-boleh cuba membuktikan dengan bangganya bahawa mereka mampu berbahasa Melayu dengan sempurna. Jika ada kelapangan sila tonton siaran berita malam ini. Saya berani menyebutnya kerana perkara ini dapat disaksikan berlaku hampir setiap hari.

Saya melihat keengganan untuk memartabat dan memuliakan bahasa ibunda ini adalah satu penyakit psikologi sebenarnya. Rupa-rupanya masih banyak lagi orang Melayu yang beranggapan bahawa bahasa Inggeris itu ada kelas dan lambang kemajuan. Manakala bahasa Melayu pula adalah bahasa kelas dua dan lambang kemunduran. Kerana itu agaknya mereka malu dengan bahasa sendiri dan juga malu dengan identiti bangsa sendiri.

Sayangnya, di pihak stesen-stesen TV pula, apakah tidak ada usaha untuk mendaulat dan memuliakan bahasa Melayu? Mengapa tidak mengambil serius peranan tersebut sedangkan selama ini stesen TV merupakan medium terpenting dalam usaha negara mendaulatkan bahasa Melayu? Kalau tahu gunting ada di tangan mengapa tidak dipotong saja bahagian-bahagian yang memualkan itu? Atau semasa rakaman, sila tekankan kepada orang yang mahu ditemubual itu bahawa itu siaran berita atau rancangan berbahasa Melayu dan rancangan tersebut akan disaksikan berjuta penonton yang sebahagian besar merupakan orang-orang Melayu. Kerana itu wajar diwujudkan polisi supaya dipatuhi semua penerbit, krew berita maupun stringer supaya memastikan setiap temubual dijalankan dalam bahasa Melayu penuh kecuali terminologi yang sukar diterjemah. Kalau orang yang ditemu bual masih berdegil, mengapa tidak dicari orang lain? Saya pasti banyak orang di tepi-tepi jalan yang bersedia untuk ditemubual dalam bahasa Melayu yang baik.

Sebagai media yang bermaruah dan bertanggungjawab dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu, inilah satu-satunya cara yang sepatutnya dilakukan stesen-stesen TV seperti RTM dan TV3. Semoga langkah tersebut dapat membantu mengurangkan penyakit kecelaruan dan juga sikap merendah-rendahkan bahasa di kalangan orang Melayu.

Saya mempunyai seorang kawan yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat korporat di ibu negara. Dia turut menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat korporat lain dan pernah dilantik pengerusi sebuah bank antarabangsa. Melihat latar belakang kerjaya tidak menghairankan kalau bahasa harian yang digunakannya merupakan bahasa Inggeris. Lagipun dia bekas pelajar MCKK. Saya tidak pernah mempersoalkan perkara itu kerana saya faham kalau itulah bahasa hariannya memang sukar untuk dia bercakap dalam bahasa Melayu. Malahan kalau kami bersembang pun kami lebih banyak bercakap Inggeris. Tetapi kawan saya itu amat pandai menyesuaikan diri dan cekap menekan suis. Dia akan melihat dulu dengan siapa dia bercakap. Bila dia tahu orang di hadapannya itu tidak pandai berbahasa Inggeris dia akan bercakap dalam bahasa Melayu yang cukup kemas dan teratur. Biasa juga dia ditemu bual stesen TV berkaitan hal-hal ekonomi. Saya amat berbangga kerana setiap kali dia memberikan pendapat dia akan bercakap dalam bahasa Melayu yang amat saya kagumi pemilihan istilah, tatabahasa serta susunan ayatnya. Dia tidak pernah cuba mengada-ngada seperti kebanyakan orang yang kononnya bila cakap tergagap-gagap memberi petunjuk bahawa aliran mindanya juga tersekat-sekat membayangkan ketidakfasihan berbahasa ibunda. Memang dia lain daripada yang lain dan orang seperti ini memang jarang kita temui pada hari ini khususnya dalam kalangan pemimpin, tokoh korporat serta ahli perniagaan yang berjaya.

Nota kaki;

“Memang mother I pun ada komen pasal gambar lucah yang dia orang tuduh tu gambar I. I ingat you pun dengar cerita tu.
Memanglah masa mula-mula keluar cerita tu mother I, father I, family I semua melenting. I tak tau macam mana I nak face they all. Macam mana I nak explain? Dia orang bukan tau pasal superimpose-superimpose ni. Susah jugak, you. Tapi lepas I explain kat dia orang baik-baik, now dia orang dah faham.
I ni kan artis, you. Well, sebagai artis kita tak dapat lari daripada benda-benda macam ni, you. Sebenarnya you, I fed-up juga sebab benda-benda macam ni boleh buat career I terjejas. Tapi before I joined the industry, I memang dah nekad nak jadi artis, so I kenalah accept benda-benda macam ni. After all, lama-lama fans I mesti tau perkara sebenar. Tapi I tak kisah apa peminat nak kata. Yang penting father I, mother I, adik-beradik I, semua family I faham and support I.” – petikan komen seorang artis wanita kepada seorang pemberita (bukan wartawan) mengenai isu gambar lucah yang tersiar di internet yang dikatakan mirip wajahnya.

No comments: