Monday, 31 March 2008

Terkilan yang tak dapat ditebus…

Pusat Teknologi Pengurusan Lanjutan atau ringkasnya PTPL ditubuhkan pada 1981 dengan menawarkan kursus sijil dan diploma dalam pelbagai bidang. Selepas hampir tiga dekad beroperasi dengan 11 cawangan di seluruh negara yang hampir menepati matlamat “satu kolej satu negeri,” Kolej PTPL yang merupakan IPTS swasta bumiputera terunggul di Malaysia kini boleh berbangga dengan jumlah bilangan pelajar melebihi 14,000 dan melahirkan bilangan graduan seramai 11,000 setakat hari ini.


Kolej PTPL juga merupakan satu-satunya IPTS yang menerima akreditasi paling banyak daripada Malaysian Qualifications Agency dan kemuncak pencapaiannya berlaku pada tahun 2001 bila ditawarkan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menubuhkan universiti swasta pertama negara yang dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia atau KUTPM. Seterusnya, pada Oktober 2007, KUTPM dinaikkan taraf menjadi universiti penuh dan kini dikenali sebagai Management and Science University atau MSU.

Di situlah tempat anak sulung saya menyambung pengajiannya selepas mendapat keputusan SPM yang kurang cemerlang. Tidak seperti anak-anak orang lain yang mendapat 7 atau 8A yang memudahkan mereka menyambung pengajian di IPTA atau menyertai pelbagai program sebagai persiapan untuk ke luar negara, anak saya cukup sekadar melanjutkan pelajaran di dalam negara di sebuah IPTS yang mungkin dilihat ramai sebagai tidak ada standard. Tetapi pedulikan apa pandangan ramai. Mereka mungkin tidak sedar tentang kewujudan MSU dan tidak pernah diberitahu betapa universiti swasta pertama negara itu kini mampu menawarkan pelbagai kursus yang relevan dan kritikal di peringkat diploma, ijazah, sarjana, doktor falsafah dan juga penyelidikan. Apa yang penting dia dapat terus belajar dan seterusnya berusaha untuk memperoleh pasport yang diharapkan bagi melayakkan dia bersaing dalam bidang kerjaya yang semakin mencabar dalam pasaran.

Menyedari kemampuan dan kelemahannya dan menyedari kecenderungannya, saya tidak pernah memaksa dia belajar. Saya tidak pasti sama ada saya boleh dianggap seorang bapa yang kurang baik dan kurang bertanggungjawab. Tetapi saya rasa saya telah melakukan sesuatu yang betul dengan memberikan kenyataan paling selesa untuk tidak melemahkan semangat anak-anak saya dalam menghadapi kehidupan. Ketika mereka masih belajar di sekolah menengah, saya pernah memberitahu bahawa saya tidak pernah mengharapkan mereka menjadi manusia yang pandai dan cemerlang dalam bidang akademik. Belajarlah mengikut kemampuan mereka dan kalau tidak mampu mencapai lebih daripada itu, cukuplah sekadar menjadi manusia yang bijaksana dan mampu mengatur kehidupan sendiri.

Ainur Faresha memilih sendiri kursus peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Sungguhpun tidak pernah memaksa tetapi saya dan isteri tetap memberikan panduan dan galakan. Memang kami tidak mahu mempengaruhinya kerana kami mahu dia belajar membuat keputusan sendiri. Dia lebih mengenali dirinya dan lebih tahu apa yang dimahukan dalam kehidupan. Lagipun saya tidak mahu jadi seperti orang lain yang memaksa anak-anak mengikut kemahuan mereka. Ada yang memaksa anak-anak mereka supaya mesti jadi arkitek, doktor, jurutera dan sebagainya. Mereka mahu anak-anak mengikut kehendak mereka kerana mereka merasakan keputusan mereka merupakan yang terbaik untuk anak-anak. Tetapi mereka lupa apakah kehendak dan keputusan mereka itu menepati hasrat dan impian sebenar anak-anak mereka. Di pihak anak-anak pula yang sudah tentu sekali tidak mahu menentang kehendak ibu-bapa, mereka terpaksa akur. Selalunya anak-anak seperti ini akan selama-lamanya memendam perasaan dan merana sepanjang hayat kerana terpaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak dan impian mereka sendiri. Sekiranya berlaku sesuatu di masa hadapan, walaupun mungkin tidak menyatakannya secara terang-terangan bagi menjaga perasaan ibu-bapa, dalam diam sudah tentu mereka akan menyalahkan ibu-bapa.

Walaupun seorang perempuan, saya tahu anak saya mampu berdikari. Dia mempunyai sikap lebih berani daripada adiknya yang kini sedang dalam tahun akhir di UIA. Dia mengatur segala-galanya untuk menyertai pengajian di Kolej PTPL Cawangan Ampang sekalipun ketika waktu pendaftaran. Saya hanya hanya menghantarnya ke pintu kolej dan membekalkan bayaran yuran berkaitan secukupnya. Semua dilakukannya sendiri bersama-sama kawan-kawannya tanpa sebarang masalah. Saya tahu dia boleh melakukannya sendirian dan saya rasa dia juga bangga kerana saya memberikan sepenuh kepercayaan terhadapnya.

Setelah berjaya menamatkan kursus peringkat diploma, saya dan isteri juga tidak memaksa sama ada dia mahu melanjutkan pelajaran atau terus bekerja. Memang sebaik menamatkan pengajian dia mendapat tawaran daripada PTPL sendiri yang telah lama mengesan minat dan kebolehannya dalam bidang perhubungan awam dan pemasaran. Tetapi akhirnya dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah bila menerima tawaran daripada KUTPM.

Sekali lagi saya membiarkan dia memilih sendiri kursus yang bersesuaian dengan minatnya dan akhirnya Bachelor in Hospitality – Tourism menjadi pilihannya. Saya rasa dia tidak silap memilih bidang tersebut kerana sebagaimana yang pernah saya nyatakan, bidang itu menyediakan banyak peluang pekerjaan menerusi pelbagai cabang industri. Antaranya perhotelan, perkhidmatan makanan dan juga pengurusan acara. Dan sekali lagi saya bertegas tidak mahu mencampuri urusan tersebut kerana bagi saya dia mempunyai hak dalam menentukan apa yang terbaik untuk dirinya berkaitan soal pelajaran dan saya tidak mahu dipersalahkan sekiranya berlaku sesuatu pada masa hadapan.

Cuma pada kali ini saya dan isteri turut berada di kolej sewaktu mendaftar, membantunya sepanjang proses pendaftaran daripada awal hingga akhir dan kami juga turut menguruskan soal tempat tinggalnya di Shah Alam. Saya tidak tahu sama ada dia sedar atau tidak betapa bangganya kami pada waktu itu kerana dia bersemangat mahu menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Saya juga tidak tahu sama ada dia sedar bahawa itu merupakan peringkat terpenting bagi kami dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ibu-bapa bagi membolehkan dia mempersiapkan diri sebelum menghadapi kehidupan sebenar nanti.

Sepanjang mengikuti program ijazah saya tahu dia seorang pelajar yang sederhana. Dia tidak pernah mencapai pointer cemerlang dan juga mungkin tidak pernah bermimpi untuk tersenarai dalam senarai dekan apa lagi senarai presiden. Itu kami sedari dan kami juga tidak pernah mengharapkan kecemerlangan. Tetapi apa yang saya pasti dia mempunyai kebolehan luar biasa bila bekerja, mempunyai kualiti kemanusiaan yang lengkap pakejnya untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran kerjaya dan paling penting dia pandai berurusan dengan manusia. Kerana itu bukan memeranjatkan bila dia mendapat A ketika menjalani latihan industri (praktikal) di Tourism Malaysia. Kebetulan pada masa itu Tourism Malaysia mempunyai beberapa acara menyambut kumpulan-kumpulan dari luar negara dan juga menganjurkan Citrawarna. Pengurusan acara memang bidang yang menjadi keutamaannya.

Hari ini dia menerima ijazahnya, di hadapan saya sebagai ayah yang amat berbangga dengan kejayaannya. Ibunya juga sudah tentu turut sama gembira. Cuma kami tidak suka mempamerkan kegembiraan kami di hadapan orang atau menzahirkan keghairahan, tidak seperti sesetengah orang di sekitar Dewan Merdeka PWTC pada petang itu yang kadang-kadang menimbulkan rasa pelik dalam diri saya. Saya harap tidak ada sesiapa yang bertanya bagaimana perasaan saya pada ketika itu. Hanya wartawan bodoh dan dungu saja yang akan bertanya bagaimana perasaan orang seperti kami dalam suasana sebegitu.

Hari ini merupakan salah satu hari bersejarah dalam hidup kami. Sebagai ibu-bapa kami tidak mengharapkan sebarang balasan daripada anak kami itu atas apa yang telah kami lakukan untuknya selama ini. Kami hanya mahu dia berjaya dalam merentas kehidupan. Kami sudah melakukan apa yang terdaya yang kami rasakan terbaik dan akhirnya anak kami itu sudah mendapat pasport yang sekian lama dinantikan selama ini menerusi perancangan, keputusan dan usahanya sendiri.

Sudah tentu saya merasa amat bertuah kerana dapat hadir menyaksikan anak saya menerima ijazah di dewan berprestij yang banyak menyimpan sejarah itu. Sudah tentu juga saat-saat itu tidak mungkin akan kami lupakan. Tetapi ketika duduk dalam dewan sementara menantikan majlis dimulakan, tiba-tiba saya terkenangkan allahyarham ibu saya. Pada waktu itu saya terasa amat pilu sekali. Saya tahu allahyarham ibu saya agak terkilan kerana anak-anaknya termasuk juga saya tidak berjaya dalam pelajaran dan seterusnya menjejak kaki ke universiti. Dia mungkin turut mengharapkan dapat jadi seperti ibu-ibu lain yang boleh berbangga kerana mempunyai ramai anak yang berjaya ke menara gading. Tetapi akhirnya saya rasa perasaan terkilan itu dapat diatasi bila bila salah seorang abang saya berjaya ke universiti.

Sayangnya, pada saat-saat abang saya menerima ijazah di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, ibu saya sedang keseorangan di rumahnya di Batu Pahat. Ketika itu dia tidak sedar bahawa satu peristiwa penting yang paling bersejarah dalam hidupnya sedang berlaku di ibu negara. Sewajarnya, ketika nama anaknya yang berbinkan nama allahyarham suaminya disebut bergema dia juga berada di dalam dewan tersebut untuk turut sama meraikan kejayaan satu-satunya anaknya yang berjaya menamatkan pengajian di universiti. Sebaliknya, pada hari itu dia menjalani kehidupannya seperti biasa seperti tiada apa-apa berlaku kerana dia sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku. Seperti biasa dia mengemas rumah, mencabut rumput dan membersihkan halaman rumah yang memang menjadi kegemarannya bila tinggal keseorangan. Pernah juga dia membayangkan rasa kecewanya bukan sahaja kerana terlepas menyaksikan peristiwa bersejarah itu, tetapi dia juga tidak pernah berpeluang memijak kaki di atas tanah kampus universiti terulung negara yang menjadi kebanggaannya.

Sebagai salah seorang anak yang rapat dengannya, yang banyak mendengar tentang pengalaman pahitnya yang membesar tanpa kasih sayang seorang ibu dan menjadi mangsa kekejaman sekian banyak manusia di sekelilingnya, yang kerap berkongsi kisah suka-dukanya serta menyimpan sekian banyak rahsia dirinya, saya tahu dia amat terkilan sekali dengan peristiwa itu. Lebih memilukan, apabila dia meninggal dunia, allahyarham ibu saya membawa bersamanya rasa terkilan yang tidak pernah dapat ditebus. Al Fatihah...

Koleksi gambar selepas upacara konvokesyen MSU di PWTC










Thursday, 27 March 2008

Jiwa yang terhiris luka.. 2

Selepas kira-kira sebulan penyewa rumah belakang berpindah, tiba-tiba kami dapati ada penyewa baru berpindah ke situ. Setelah berkenalan kami dapati jiran baru itu merupakan pasangan muda yang baru mempunyai seorang anak perempuan berusia kira-kira tujuh bulan. Suaminya seorang pegawai tentera manakala isterinya seorang suri rumah sepenuh masa.

Pintu belakang rumah kami memang jarang ditutup bila sesiapa antara kami berada di dapur. Agak lemas membiarkan pintu itu tertutup kerana barisan rumah kami dan rumah belakang hanya dipisahkan oleh pagar tanpa sebarang lorong belakang. Mengapa pemaju merekabentuk kawasan perumahan kami itu begitu rupa saya tidak pasti. Sudah tentu tidak menyalahi peraturan pihak berkuasa tempatan (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Kalau tidak sudah tentu projek perumahan tersebut tidak menjadi kenyataan. Namun, rekabentuk sebegitu sebenarnya tidak praktikal dari segi keselamatan. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini di bahagian hadapan rumah, ke mana penghuninya harus melarikan diri? Namun begitu, perkara ini ternyata baik untuk pemaju kerana dapat menyelamatkan ribuan kaki persegi dan memaksimumkan keuntungan mereka.

Kerana pintu dapur kami selalu terbuka, kerap juga kami terpandangkan anak kecil itu. Maka kedua-dua anak perempuan saya yang memang suka melayan anak kecil tanpa mengira bangsa dan agama mula mengusik anak jiran baru kami itu. Selalunya kerana anaklah kami dapat berkenalan lebih rapat dengan jiran-jiran kami. Ternyata strategi tanpa niat itu berjaya merapatkan hubungan kami. Bagi anak kecil itu, oleh kerana sudah biasa melihat kami, lama kelamaan bila saja dipanggil namanya dia akan memberi reaksi. Si comel bernama Fatihiah yang baru saja pandai merangkak itu akan terus menuju ke arah pintu dapur rumahnya.

Selepas kira-kira sebulan, akhirnya misi kami sekeluarga untuk menawan hati anak kecil itu tercapai dan Fathiah berjaya kami sambar daripada ibunya, menyeberangi pagar belakang dan akhirnya hampir setiap hari dia berada di rumah kami.

Kerana Fathiah saya memasang semula buaian yang sudah agak lama tersimpan yang memang disediakan untuk ahli keluarga atau sahabat-sahabat yang mempunyai anak kecil. Buaian itu digantung di antara ruang tamu dan ruang makan. Mulai saat itu suasana rumah kami serta-merta berubah, diserikan dengan kehadiran si comel itu. Sudah tentu sekali bila saja dia berada di rumah kami “kakak-kakaknya” seperti tidak ada kerja lain kerana melayaninya hampir setiap waktu. Bagi isteri saya pula, sungguhpun dia tidak berapa pandai melayan dan agak sukar untuk “jatuh cinta” degan anak-anak kecil tetapi kehadiran Fathiah serba-sedikit berjaya mengubah sikapnya.

Saat-saat itu memang menyeronokkan. Masing-masing berebut-rebut untuk membancuh susu untuknya dan juga menukar diapers. Masing-masing dengan lagu masing-masing bila menidurkannya. Pantang mendengar Fathiah merengek, apa lagi kalau dia menangis. Masing-masing akan berkejar mendapatkannya untuk memberikan sepenuh perhatian. Kerap juga Fathiah tidur di atas pangkuan saya, sesuatu yang selalu allahyarham ibu saya beritahu, “Budak-budak yang tidur dalam pangkuan kita mudah sayang kita sebab lekat bau..”

Sayangnya, kebahagiaan memiliki Fathiah hanya untuk satu jangka waktu yang amat singkat. Dalam tempoh tidak sampai setahun kami diberitahu bahawa ayahnya akan ditukarkan ke tempat lain. Sudah tentu kami terperanjat. Suasana rumah kami yang sebelum itu sentiasa ceria berubah menjadi suram mendengar berita itu. Ini kerana Fathiah yang kalau sebelum itu boleh dibawa balik ke rumah pada bila-bila masa saja kecuali pada waktu malam akan pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Takkan mungkin ayahnya akan kembali mendiami rumah itu kalau pun dia kembali bertugas di Kuala Lumpur semula.

Kami akan kehilangan Fathiah. Buaian yang tergantung itu akan kembali kosong tidak lagi berpenghuni. Tidak ada lagi suara Fathiah merengek mahukan susu, tidak ada lagi suara tangisan atau suara keriangan mengisi kekosongan rumah kami selama ini dan tidak kami semua akan kembali seperti dahulu.

Kalau selama hampir setahun itu saya seperti tidak sabar untuk pulang ke rumah kerana saya tahu kalau dia di rumah kepulangan saya akan bersambut, selepas itu tidak ada apa lagi yang diharapkan untuk menghilangkan penat-lelah bekerja bermain dengannya. Selepas saja keluarganya berpindah rumah kami senyap sunyi seperti waktu-waktu Fathiah belum hadir dalam hidup kami.

Kami hanya bertemu Fathiah beberapa kali sahaja selepas itu. Sekali bila mereka datang melawat kami selepas ayahnya balik daripada bertugas di Bosnia Herzegovina dan sekali lagi ketika singgah melawatnya di Taiping. Selepas Taiping ayahnya berpindah pula ke Kluang. Semasa mereka di Kluang kami masih juga tidak dapat bertemu kerana bila kami ke sana mereka balik ke kampung. Sekali lagi kami bertemu Fathiah di suatu majlis perkahwinan di rumah datuknya di Jasin. Ketika itu dia sudah berusia kira-kira tujuh atau lapan tahun dan sudah mempunyai dua orang adik. Sekarang Fathiah sudah mencapai usia kira-kira empat belas tahun dan belajar di sebuah sekolah Maktab Rendah Sains Mara Kem Terendak Melaka. Kami ada cuba mencarinya di Jasin tetapi pada masa itu datuk dan neneknya memberitahu bahawa mereka balik ke kampung ayahnya di Pahang.

Walaupun ibunya mungkin ada becerita tentang kami tetapi Fathiah tidak mungkin ingat akan saat-saat itu kerana ketika itu dia masih bayi. Ingatan itu hanya menjadi kenangan kami sekeluarga yang pernah membelanya buat seketika, mencurahkan kasih-sayang terhadapnya yang pernah menjadi penghibur dan mengisi kekosongan keluarga kami pada satu waktu dulu.

Buaian itu masih kosong dan untuk tidak menambah duka kerana kehilangan Fathiah, saya menyimpannya semula di tempat asal dan kalau boleh tidak mahu melihatnya lagi.