Saturday, 2 February 2008

“You Can Have The Painting But Give Me The Frame.”

Kalau dilihat pada profil saya yang tertera di sebelah kanan blog ini, ada saya tulis "I have passion for art. Not really for the drawings but for the beautiful frames." (Tentu sekali rakan-rakan BEN anak saya di UIA yang membaca blog ini tidak ada masalah menterjemahkannya).

Dalam buku yang sedang saya kerjakan (sila rujuk nota kaki posting pertama saya), ada satu bab yang sudah lama siap dan sengaja diberi tajuk seperti di atas. Itulah satu-satunya tajuk berbahasa Inggeris walaupun keseluruhan buku “Saya Tak Ada MBA” itu ditulis dalam bahasa Melayu. Maaf, saya tak dapat menceritakan tentang isinya pada peringkat ini. Namun apa yang berlaku pada Pameran Seni Tampak Kelantan yang berlangsung di Balai Seni Lukis Negara pada 31 Januari lalu ada kaitannya dengan bab tersebut.

Pada hari berkenaan, selain untuk bertemu S. Amin Shahab atas urusan projek Dunia Dalam Satu Kilometer (sila lawat www.onekilometreworld.com), saya ke sana untuk memulangkan ukulele kepada Sani Sudin. Sani sepatutnya berangkat ke Terengganu keesokan harinya untuk mengadakan persembahan di Perkampungan Hadhari bersama-sama Kopratasa. Ukulelenya itu mungkin untuk digunakan bagi persembahan lagu-lagu keroncong.

Saya hanya sempat bertemu Amin beberapa minit saja kerana selepas itu dia terpaksa pulang atas urusan keluarga. Memikirkan urusan dengan Amin dan Sani sudah selesai saya bercadang untuk pulang. Tetapi tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Saya terpaksa menunggu dengan ditemani Sani Sudin dan Aris Aziz (Aris pelukis veteran yang sudah berpuluh tahun bermastautin di Central Market. Pada masa ini Aris dijemput berkarya di Balai bersama-sama pelukis lain seperti Sani dan Amir dan bakal ditempatkan di Laman Santai yang dikhaskan untuk mereka oleh Ketua Pengarah BSLN yang baru saja menjawat jawatan tersebut).

Kebetulan pada masa itu upacara perasmian Bumi Angin - Pameran Seni Tampak Kelantan sedang berlangsung, lalu kami pun tidak mahu terlepas peluang menyaksikannya. Ramai juga yang datang termasuk Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Sebaik kami sampai upacara sudah tamat dan kami lihat ramai orang pergi mengerumuni kaunter pertanyaan. Rupa-rupanya mereka ke situ untuk mendapatkan buku cenderamata khas pameran. Seperti orang lain, kami juga teringin memiliki buku itu lalu kami menghampiri kaunter. Malangnya, bila Sani bertanya kami diberitahu bahawa buku itu hanya dikhaskan untuk pelukis-pelukis Kelantan saja dan bukan untuk pelukis-pelukis negeri lain.

Sambil ketawa kami meninggalkan kaunter dan bercakap dalam dialek Kelantan. Sudah tentu vokal teater Sani yang kuat itu menarik perhatian ramai. Ramai yang berada di sekeliling ketawa melihat gelagat kami. Entah mereka faham atau tidak kami tak tahu. Tetapi apa yang penting kami sudah menyampaikan rasa hati kami. Kemudian kami terus naik ke dewan pameran di tingkat atas Balai.

Bila saja sampai di ruang pameran saya memberitahu Sani, “Engkau tahu Ni, aku sebenarnya bukan nak tengok painting sangat. Aku nak tengok frame aje,” Sani ketawa berdekah-dekah. Dan seperti biasa sambil berlegar di dalam dewan pameran itu kami bergurau, berlakon, menyanyi sesama sendiri yang mungkin kalau didengar orang lain bunyinya seperti kami merepek tak tentu arah. Tetapi begitulah cara kami dan bila bertemu memang tidak dapat dielakkan, ada saja gurauan, lakonan dan “repekan” kami yang hanya kami saja yang faham. Orang lain tak mungkin dapat memahaminya kerana setiap gerak dan tutur kami mempunyai makna tersendiri terhasil daripada sejarah panjang kami, persahabatan yang berusia genap 24 tahun awal Februari 2008. Itu baru kami berdua berjumpa. Kalau Usop juga ada bersama suasana mungkin akan jadi lebih buruk lagi.

Saya memang tak tahu menilai lukisan. Saya hanya tahu menghargai framenya. Selain itu semasa berada di dewan pameran itu saya hanya mampu memerhati orang sekeliling, wajah-wajah dan gelagat birokrat, pencinta dan hamba lukisan yang tak pernah saya faham fikiran serta jiwa mereka. Sebenarnya itulah kali pertama saya hadir di suatu majlis pelancaran rasmi pameran seni lukis.

Pada petang itu saya tak nampak kelibat nama-nama besar dunia seni lukis negara. Saya tak tahu kenapa ramai antara mereka tidak kelihatan. Dan saya juga tak nampak kelibat kawan baik saya U-Wei Haji Saari yang sekarang ini dengarnya memiliki koleksi lukisan bernilai ratusan ribu ringgit.

Sedang kami berlegar tiba-tiba kami terpandang pada Datuk A. Samad Said yang sedang asyik memerhatikan sebuah lukisan. Memang cantik lukisan itu kalau dilihat dari jauh. Lalu kami mendekatinya. Pak Samad berada di sebelah kanan dan saya sengaja berdiri di sebelah kirinya sambil tangan saya memegang dan meraba keliling bingkai lukisan tersebut. Bila saya menoleh ke arahnya saya lihat Pak Samad mengerutkan dahinya. Sudah tentu dia hairan kerana tiba-tiba saya muncul mengganggunya yang sedang menghayati lukisan cantik itu. Kemudian saya berkata, “Maaf Pak, sebenarnya saya bukan tengok lukisan. Saya nak tengok frame aje...” Pak Samad tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kemudian dia berkata sesuatu kepada Sani dan terus berlalu.

Selepas menikmati jamuan yang disediakan kami turun ke balkoni tingkat satu dan sebelum balik Sani mengajak saya ke keretanya. Katanya dia mahu menghadiahkan saya sebuah lukisan kecil. Dia tahu saya amat suka sekali dengan lukisan itu sejak pertama kali melihatnya pada Sabtu minggu sebelumnya. “Ambiklah, aku bagi engkau.”

Pada lukisan itu tertulis;
“di dalam dalam, hanya engkau yang tahu, aku tersipu malu...”
Kami berkongsi interpretasi yang sama kerana hanya kami saja yang tahu, mungkin. Kami sudah puas ketawa membicarakannya ketika bertemu pada Sabtu lepas. Terima kasih Sani.

Nota kaki:

Satu lagi lukisan kecil Sani pula tertulis;
“Kuala Lumpur, di dadamu ada sungai mengalir, membawa lumpur ke kuala.”
Saya tahu Sani sayangkan lukisan itu dan saya pula tidak akan memintanya. Cukuplah dengan apa yang dihadiahkannya.

No comments: