Tuesday, 19 February 2008

Suri Kuala Sepetang

Pagi Ahad lalu hati saya tersentuh bila menonton sebuah dokumentari Astro berjudul Suri Kuala Sepetang. Dokumentari yang memilukan itu memaparkan kisah mengenai kehidupan suri-suri rumah Kuala Sepetang (dulu dikenali sebagai Port Weld yang
bekerja di kilang memproses arang bakar. (Untuk maklumat lanjut mengenai sejarah Port Weld/Kuala Sepetang, sila lawat http://en.wikipedia.org/wiki/Kuala_Sepetang dan http://en.wikipedia.org/wiki/Frederick_Weld).














Kisah perempuan bekerja di kilang bukan satu fenomena luar biasa di negara kita. Tetapi bila menyaksikan suri-suri rumah tersebut daripada yang berumur dua puluhan hingga lewat lima puluhan terpaksa bekerja membanting tulang untuk menyambung hidup membuatkan timbul keinsafan. Semua itu berlaku kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain. Daripada mengikis kulit bakau mereka juga melakukan kerja-kerja pembakaran dalam kepanasan bahang api dan seterusnya membungkus arang yang difahamkan kebanyakannya untuk dieksport. Walaupun ada beberapa jenis kerja berat dikhaskan kepada kaum lelaki tetapi kaum wanita turut melakukan beberapa kerja berat tertentu.
Dengan pendapatan yang tidak sampai tiga ratus ringgit sebulan dan ada yang hanya mendapat seratus ringgit, mungkin kerana sudah biasa dan pasrah dengan nasib mereka, mereka seperti kelihatan gembira melakukan kerja-kerja tersebut. Antaranya seorang wanita yang agak berumur yang mengakui dia lebih suka bekerja di situ daripada duduk di rumah sungguhpun anak-anak ramai yang tidak menggalakkan. (Saya tidak pasti sama ada pengakuan itu satu pengakuan jujur atau dibuat bagi menjaga periuk nasinya dan juga kerana kamera tv berada di hadapannya).

Kalau diambil kira beban kerja dan juga taraf kehidupan masa kini yang semakin meningkat dengan kenaikan pelbagai jenis harga barang, apakah pendapatan sebanyak itu dikira wajar? Masih adakah warga Malaysia yang sanggup menerima pendapatan bulanan sebanyak itu dengan kerja berat umpama buruh kasar sedangkan ada pihak tertentu sedang cuba memperjuangkan gaji minimum sebanyak RM1,500 khususnya untuk pekerja sektor swasta? Kalau buruh kasar yang diimport dari Indonesia atau pekerja kilang Bangladesh pun mampu memperoleh pendapatan minimum RM800 sebulan, bagaimana pemilik perusahaan arang bakar itu menilai kudrat manusia, apa lagi kudrat wanita?

Saya tidak pernah sampai di Kuala Sepetang yang pernah menjadi satu kawasan penting dalam sejarah negara kerana di situ terbina landasan keretapi pertama yang menghubungkan “bandar pelabuhan” itu dengan bandar Taiping. Namun segala-galanya kini sudah ditelah sejarah. Namun, Kuala Sepetang masih lagi signifikan bukan kerana landasan keretapi bersejarah itu tetapi kerana kawasan simpanan bakau yang melebihi 40,000 hektar (90,000 batu persegi). Difahamkan kawasan simpanan bakau tersebut cukup terkawal kerana syarat-syarat program pemuliharaan dan tanam semula yang begitu ketat dan terancang yang menjadikannya contoh pengurusan dan pemuliharaan hutan bakau terbaik di dunia. Kemampuan menghasilkan kayu bakau dengan jumlah besar menjadikan Kuala Sepetang sebagai kawasan perusahaan arang bakar terpenting negara.















Kawasan bakau yang diusahakan pemiliknya bukan perlu dibeli tetapi diperoleh menerusi konsesi Kerajaan Negeri yang sudah tentu bayaran premiumnya juga rendah. Saya tidak pasti siapa yang bertanggungjawab dalam soal penanaman semula. Apakah menjadi tanggungjawab pengusaha atau pihak Kerajaan? Namun, kalau difikirkan tentang kewujudan perusahaan tersebut yang sudah berusia puluhan tahun, sudah tentu pengusahanya sudah puas mengaut keuntungan dan perusahaan tersebut tidak mungkin merugikan. Tidak bolehkah keuntungan tersebut diminimumkan bagi membolehkan para pekerja yang telah banyak menyumbang terhadap kemajuan perusahaan tersebut selama ini turut sama berkongsi keuntungannya menerusi tangga gaji yang lebih munasabah serta penyediaan pelbagai bentuk kemudahan lain?















Kuala Sepetang nampaknya seperti terpinggir daripada arus pembangunan. Walaupun dokumentari tersebut hanya memberi fokus pada perusahaan arang dan turut memberikan gambaran sepintas lalu tentang perkampungan nelayan tetapi tidak ada gambaran menyeluruh mengenai pembangunan kawasan itu, Kerana itu saya tidak nampak sebarang tanda bahawa Kuala Sepetang bakal menerima pembangunan yang lebih pesat dalam masa terdekat sebagaimana limpahan pembangunan yang diberitakan bakal dinikmati kawasan-kawasan lain yang terletak di dalam beberapa koridor yang sedang dibangunkan di negara kita.

Saya percaya suri-suri rumah itu bekerja kerana terpaksa akibat diburu kesempitan hidup. Mereka tidak mempunyai pilihan kerana tidak ada pembangunan di situ yang menyediakan peluang pekerjaan lain yang mampu memberi pendapatan jauh lebih baik. Kalau sekiranya wujud beberapa kilang perusahaan ringan yang dikira lebih sesuai untuk kaum wanita yang boleh memberi pendapatan dua atau tiga kali ganda daripada apa yang mereka peroleh sekarang, tidak mungkin mereka sanggup bekerja di kilang arang bakar itu.

Soalan saya, mengapa tidak ada pembangunan di sekitar kawasan tersebut? Mengapa tidak ada pihak yang sedar tentang penindasan dan eksploitasi yang berlaku terhadap para suri rumah Kuala Sepetang yang terlibat dalam perusahaan tersebut? Bukan mereka sahaja tetapi pekerja lelaki juga turut ditindas sama.

Sebagai sebuah kawasan di mana terdapat aktiviti perikanan, sepatutnya banyak rancangan pembangunan boleh dilaksanakan seperti mewujudkan perusahaan berkelompok bagi seperti perusahaan produk hasil laut yang boleh mempertingkat taraf ekonomi penduduk? Tidak bolehkah pihak Kerajaan Negeri memikirkan sesuatu untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dinikmati Kuala Sepetang satu masa dulu? Saya juga yakin sudah tentu Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai agensi boleh turut sama membantu mewujudkan pelbagai pembangunan di situ.

Lebih menyedihkan, salah seorang suri rumah yang bekerja di situ terpaksa membawa anak kecil mengikutnya ke tempat kerja dan terpaksa mendedahkan anaknya kepada persekitaran kotor yang boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit. Saya tidak nampak ada sebarang bentuk kemudahan kebajikan disediakan untuk kes sebegitu. Dan saya pasti para pekerjanya juga tidak diberi sebarang perlindungan insurans, kemudahan rawatan serta kemudahan-kemudahan lain bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara bila berlaku bencana diri.

Apakah isu seperti ini tidak pernah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri dan juga Ahli Parlimen kawasan tersebut? Siapakah yang sepatutnya memperjuangkan nasib suri-suri rumah Kuala Sepetang dan juga para pekerja lain perusahaan arang bakar itu? Apakah selama ini tidak ada anak-anak jati Kuala Sepetang yang berjaya dalam pelajaran dan kehidupan yang kini mungkin menjawat jawatan penting sama ada di sektor awam maupun swasta? Apakah kerana kesibukan urusan harian masing-masing mereka turut terlepas pandang mengenai perkara ini dan terus terlupa untuk memperjuangkan nasib orang-orang kampung sendiri termasuk ibu-bapa mereka yang telah lama tertindas itu?

Siapalah saya untuk memperjuangkan nasib mereka. Saya juga tidak ada saluran terbaik untuk mengangkat isu ini. Saya hanya mampu berkongsi kesengsaraan mereka.

Nota kaki:

Pendapat di atas semata-mata bersandarkan pada apa yang saya tonton dalam dokumentari Suri Kuala Sepetang.

No comments: