Thursday, 14 February 2008

Kematian itu belum tentu menginsafkan…

Isteri saya anak kedua dalam keluarga. Di bawahnya ada lima adik lelaki dan dua perempuan yang saya kenali sejak mereka masih di bawah umur. Dengan usia perkahwinan kami yang bakal menjangkau 31 tahun pada 25 Syaaban tahun ini, kadang-kadang saya terlupa bahawa adik-beradik isteri saya itu sebenarnya adalah ipar-ipar saya kerana saya sudah menganggap mereka seperti adik-adik sendiri (walaupun saya sendiri tidak pernah mempunyai adik sendiri kerana saya anak bongsu dalam keluarga).
Begitu juga dengan biras-biras saya. Saya juga menganggap mereka seperti darah daging sendiri. Kerana itu, pada hari Khamis minggu lepas bila suami kepada adik ipar saya yang tinggal di Kulim meninggal dunia, saya turut terasa akan kehilangannya. Tambahan pula saya mengenalinya sejak dia masih bersekolah dan kebetulan rumah keluarganya tidak jauh daripada rumah mentua saya. Dia berkawan rapat dengan salah seorang adik ipar lelaki saya dan sering datang ke rumah. Rupa-rupanya dalam diam-diam dia menaruh hati pada adik ipar saya yang akhirnya menjadi isterinya pada tahun 1986.
Pemergiannya memang mengejutkan dan sungguh tidak disangka-sangka. Dia meninggal dalam tidur tanpa sempat meninggalkan sebarang pesanan. Selepas menerima berita kira-kira jam 2.30 pagi, saya tidak dapat melelapkan mata. Terus saya teringat pada satu perkara yang berlaku pada malam Jumaat minggu sebelumnya. Entah mengapa tiba-tiba datang di fikiran tentang adik ipar saya. Hati saya berkata, kalaulah sesuatu berlaku pada biras saya itu, bagaimana agaknya hidup adik ipar saya? Di mana dia akan tinggal? Adakah dia akan terus menetap di Kulim atau kembali ke Teluk Intan? Saya sendiri pelik mengapa tiba-tiba saja saya memikirkan perkara itu. Namun akhirnya, pada awal pagi Khamis itu apa yang pernah saya fikirkan menjadi kenyataan.
Saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan saya ketika menyambut ketibaan jenazah yang dibawa oleh kenderaan jenazah polis yang turut diiringi sebuah kereta peronda. Tetapi sepanjang masa saya cuba mengawal perasaan dan ketika memeluk kedua-dua anak allahyarham, sungguhpun hiba saya masih dapat menahan air mata. Begitu juga bila jenazah disembahyangkan di sebuah masjid berdekatan dan seterusnya dibawa ke tanah perkuburan. Adik ipar saya berdiri di sebelah saya ketika jenazah diturunkan ke liang lahat. Ketika itu saya perhatikan air matanya sudah hampir kering. Mungkin dia sudah dapat menerima takdir dan pasrah bahawa suaminya tidak akan bangun-bangun lagi. Begitu juga dengan anak-anaknya. Saya tidak nampak lagi ada yang mengalirkan air mata.
Ketika itu saya teringat pada bait-bait puisi dalam lagu Kamelia nyanyian Ebiet – Kematian hanyalah tidur panjang, maka mimpi indahlah engkau…
Sesekali sepanjang peristiwa itu, saya merenung pada wajah isteri dan anak-anak saya. Saya juga memerhati sekeliling pada wajah-wajah yang datang menziarahi jenazah allahyarham. Dan ketika talqin dibaca, memang sayu dan hiba mendengar peringatan dan doa terakhir itu. Tetapi bukankah itu hanya satu perkara biasa? Kematian akan datang juga akhirnya dalam hidup setiap manusia. Sepatutnya semasa kita menyambut setiap kelahiran kita juga sudah memikirkan tentang penghujung kehidupan. Kelahiran, kehidupan dan kemudian dikuti dengan kematian adalah satu proses biasa manusia di alam fana ini yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Perasaan hiba itu hanya akan lahir apabila yang mati itu adalah manusia yang rapat dengan kita atau orang yang kita kenali dan kita mungkin ada secebis ingatan bersamanya. Kita tidak mungkin akan turut merasa sayu dan hiba bila kematian itu berlaku pada manusia lain yang tidak ada sebarang hubungan dengan kita.
Begitulah bila berlaku setiap kematian. Ramai yang meratapinya, ramai yang bersedih, sayu dan hiba terutama mereka yang rapat dengan si mati. Masing-masing ada sebab tersendiri untuk menangis atau meratap. Tetapi apakah setiap kali kita menyaksikan kematian akan turut timbul keinsafan?
Saya bukan merujuk pada keinsafan mahu kembali mendekati Tuhan kalau sebelum itu kita kerap lalai mengingatinya. Itu urusan peribadi kita dengan Tuhan. Kadang-kadang tanpa berlaku kematian pun ada masanya tiba-tiba kita menjadi insaf dan segera menunaikan tanggungjawab yang lama kita tinggalkan. Dan kemudian kita akan lalai semula kerana seronok didodoi dunia yang serba mungkar ini. Apa yang cuba saya sampaikan adalah keinsafan mengenai perhubungan kita sesama manusia.
Kita selalu bersedih bila berlaku kematian dalam keluarga sehinggakan ada ketikanya kita tidak dapat mengawal perasaan meratapi kematian seseorang itu. Ada yang sampai lupa diri meraung seperti orang gila seolah-olah kejadian yang berlaku itu bukannya suatu ketetapan Allah SWT. Kadang-kadang saya hairan mengapa manusia amat sukar menerimanya. Semoga ini juga memberi peringatan kepada diri saya.
Saya rasa kalau kita tidak lupa tentang apa yang telah ditetapkan Allah itu dan bahawa bila berlaku kematian sebenarnya itu hanya satu proses biasa yang kadang-kadang dikatakan kerana “Allah lebih sayangkan dia,” mungkin kesedihan dan rasa hiba itu tidak seteruk mana.
Seperkara lagi, saya juga berpendapat kesedihan juga mungkin boleh dikurangkan kalau semasa hayatnya kita mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada si mati. Dengan itu bila sampai ketika dia terpaksa pergi menyambut seruan Allah yang maha agung, tidak ada apa yang hendak kita sesalkan.
Sayangnya, ramai antara kita selalu lupa tentang kematian yang akan bertandang tanpa diundang. Dan kita juga selalu lupa bahawa pada satu hari nanti kita juga akan menangis dan meratapi kematian orang-orang yang sewajarnya kita sayangi itu tetapi tidak melakukannya kerana sebab-sebab tertentu. Kerana itulah agaknya kita tidak mencurahkan sepenuh kasih sayang terhadap ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak, adik-beradik, ipar-duai dan ahli-ahli keluarga lain yang hanya dipinjamkan sementara kepada kita di dunia ini. Dalam kealpaan itu, kita bergaduh sesama sendiri dan kita saling menyakiti perasaan masing-masing, Dan kita juga terlupa bahawa perkara-perkara itulah yang akan membuatkan kita menyesali apa yang pernah kita lakukan semasa hayatnya. Sudah pasti itu akan memberi kesan mendalam dan kita selamanya akan diburu rasa bersalah.
Saya selalu terfikir, alangkah baiknya kalau hidup ini sentiasa aman, damai dan masing-masing dapat mengawal perasaan dan saling menyayangi tanpa perlu melalui pengalaman atau peristiwa pahit dan pedih? Alangkah manisnya kehidupan ini kalau anak-anak sentiasa menghormati dan menyayangi ibu-bapa, suami-isteri saling menghormati dan mencintai satu sama lain, adik menyayangi kakak atau abang, abang dan kakak pula menyayangi adik-adik mereka, yang muda menghormati dan menyayangi yang tua, jiran tetangga saling berbaik antara satu sama lain dan begitu juga dalam berkawan.
Hidup ini tentu akan lebih bermakna kalau kita sentiasa memandang ke hadapan, mengingati bahawa nyawa itu hanya pinjaman dan sentiasa bersedia untuk dipanggil semula oleh Allah SWT atau bersedia menghadapi kematian orang yang dekat dengan kita. Sekurang-kurangnya bila ada yang pergi nanti tidak banyak yang akan kita sesalkan. Kita juga tidak akan menyimpan rasa bersalah dan hanya berasa sayu dan hiba kerana mengingati kenangan manis bersama si mati.

No comments: