Tuesday, 5 February 2008

Jiwa Melayu yang kian pupus…

Pada satu hari dalam bulan Julai tahun lepas, saya dan keluarga menghadiri majlis perkahwinan anak seorang rakan karib kami. Si isteri adalah kawan baik isteri saya yang sama-sama bersekolah. Saya juga mengenali si isteri sejak di bangku sekolah lagi. Mungkin faktor itulah yang menjadikan si suami juga rapat dengan kami sekeluarga. Saya amat menyenangi pasangan ini dan kami tidak pernah ada masalah dengan mereka kerana keperibadian kedua-duanya yang cukup terpuji. Mereka merupakan pasangan bahagia yang menikmati kehidupan yang amat baik dan wajar dicemburui. Mereka saling menyintai. si suami seorang yang sangat penyayang dan bertanggung-jawab manakala si isteri pula memang seorang suri rumah yang “cukup sifat” sebagai seorang isteri dan ibu mithali. Mungkin itu juga yang menjadi kunci kebahagiaan rumah-tangga mereka selama ini.
Saya dapati majlis itu cukup meriah dan dibuat besar-besaran. Sebenarnya itu di luar jangkaan kami kerana sebelum itu kami diberitahu si isteri bahawa mereka hanya akan mengadakan majlis menyambut menantu secara sederhana. Dengan panjang khemah melebihi lima puluh meter dan gaya hidangan yang memang ada kelas tanpa mengira latar belakang tetamu, tidak dapat saya gambarkan berapa kos untuk menganjurkan majlis tersebut. Sudah tentu memakan belanja berpuluh ribu agaknya. Tambahan pula terdapat ramai VIP dan VVIP yang hadir yang setiap ketibaan masing-masing akan diumumkan oleh juru acara majlis. Namun, itu bukan satu perkara yang menghairankan jika diukur pada pangkat si suami yang merupakan bekas seorang pegawai tinggi perkhidmatan Kerajaan dan bergelar Datuk.
Sebelum beredar kami sempat menemui pasangan rakan karib kami itu sekali lagi untuk mengucapkan terima kasih. Ketika itulah kami diperkenalkan kepada dua orang cucu mereka yang memang tidak pernah kami temui sejak lahir. Umur mereka antara 3-4 tahun. Kedua-duanya comel dan sangat petah bercakap. Saya lihat, sama sepertimana si isteri melayani anak-anaknya dengan penuh lemah-lembut ketika mereka kecil dulu, begitulah juga dia melayani cucu-cucunya. Cuma ada sesuatu yang memeranjatkan saya dan membuatkan saya rasa kurang senang. Anak-anak kecil itu tidak bercakap bahasa Melayu semasa diperkenalkan. Mereka bercakap bahasa Inggeris dan difahamkan mereka kurang fasih berbahasa Melayu.
Bukan saya tidak pernah melalui pengalaman yang sama. Saya sudah menetap di Kuala Lumpur lebih dua puluh tiga tahun dan fenomena sedemikian bukan lagi asing bagi saya. Tetapi bila perkara tersebut berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat kami sendiri, saya rasa sedikit terkilan. Mengenang latar belakang pasangan tersebut yang amat kami kenali hati-budi mereka serta latar belakang keluarga mereka yang berasal dari kampung, tiba-tiba saya jadi bimbang kerana generasi pewaris mereka akan hilang identiti Melayunya. Selang beberapa minit kemudian sekali lagi saya terperanjat apabila diperkenalkan kepada salah seorang anak saudara si isteri tadi. Anak muda itu juga nampaknya tidak fasih bercakap Melayu. Bila saya bertanya sesuatu dia menjawab dalam bahasa Inggeris dengan sebutan yang agak meloyakan. Bukan saya tidak boleh berbahasa Inggeris. Saya bersedia bercakap dalam bahasa Inggeris dengan sesiapa juga. Tetapi bercakap Inggeris dengan seorang Melayu yang nampaknya tidak begitu faham bahasa Melayu membuatkan saya rasa amat tidak selesa. Kalau saya sendiri berperasaan begitu, tidak dapat saya bayangkan bagaimana agaknya penerimaan kaum keluarga di kampung bila mendapati anak-anak seperti itu tidak dapat berkomunikasi dengan mereka sebagaimana anak-anak Melayu biasa. Pasti nenek dan ibu-ibu saudara mereka menghadapi kesukaran mahu bertanya apa yang mereka inginkan untuk sarapan keesokan hari atau sama ada rendang yang dijamah itu pedas atau sebaliknya.
Saya bukan cemburu dengan ibu-bapa yang fasih bahasa Inggeris dan kemudian mengajar anak-anak mereka bercakap Inggeris. Tidak ada salahnya menggalakkan anak-anak belajar bahasa Inggeris demi kebaikan masa depan pelajaran mereka. Memang baik kalau kita mampu menguasai banyak bahasa. Mengutamakan bahasa Inggeris daripada bahasa ibunda juga tidak salah asalkan mereka masih boleh bercakap Melayu. Pedulilah kalau mereka hanya mendapat C untuk Penulisan dan Kefahaman pada peringkat UPSR. Yang penting mereka masih boleh berkomunikasi dan sedia menjawab dalam bahasa Melayu bila ditanya. Tetapi apabila ditanya mereka menjawab dalam bahasa Inggeris dan bila ditanya lagi masih menjawab dalam bahasa asing itu juga, bagi saya kesalahan itu tidak boleh diampun kerana kesan dan akibatnya kepada diri, budaya fikir dan juga masyarakat. Itu adalah penghinaan terhadap bahasa ibunda sendiri.
Sebenarnya saya bimbang melihat fenomena ini. Apa yang saya perhatikan, anak-anak yang dipaksa berbahasa Inggeris sejak lahir dan “digalakkan” meminggirkan bahasa ibunda oleh ibu-bapa mereka (saya gunakan perkataan dipaksa kerana ini sememangnya bukan pilihan mereka) akan terdorong untuk “berbudaya fikir” ala-Inggeris. Ini pasti tidak dapat dielakkan kerana sesuatu bahasa itu akan mempengaruhi budaya fikir anak-anak tersebut. Manakan tidak, kalau anak-anak itu hanya bercakap Inggeris (atau bahasa Inggeris adalah bahasa utama keluarga), mereka sudah tentu akan berfikir dalam bahasa itu dan juga bermimpi dalam bahasa itu. Bila mereka lebih banyak terdedah kepada persekitaran bahasa Inggeris di rumah sudah tentu bila bergaul mereka sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran Melayu. Ini akan menyebabkan mereka memilih untuk mencari kawan-kawan yang “sebahasa” dengan mereka. Di Malaysia ini sudah tentu kita dapat mengagak siapakah mereka yang “sebahasa” itu. Kalau di Kuala Lumpur, inilah golongan yang banyak terdapat di kawasan-kawasan kediaman elit dan akan berkumpul di tempat-tempat elit juga. Latar belakang mereka bukan sebarangan dan pergaulan dan budaya hidup mereka juga bukan sebarangan. Mereka yang berlatarbelakangkan bahasa Inggeris lebih suka memilih untuk mengasingkan diri dan lebih banyak bergaul dalam kelompok mereka sendiri.
Saya sudah lama ingin menyelami jiwa dan fikiran ibu-bapa yang memilih bahasa Inggeris sebagai “bahasa ibunda” anak-anak mereka. Ingin sekali saya bertanya apa tujuan mereka sebenarnya dan apakah harapan mereka terhadap masa depan anak-anak mereka? Kalau mengutamakan bahasa Inggeris, seperti saya katakan tadi tidak ada salahnya. Dalam dunia blogger, saya amat mengagumi Kadir Jasin dan Rustam Sani (sekadar mengambil contoh) yang tinggi penguasan bahasa Inggeris mereka. Tetapi pada masa yang sama mereka juga boleh menulis dalam bahasa Melayu sama baiknya seperti mereka menulis dalam bahasa Inggeris. Saya pasti orang-orang ini tidak meminggirkan bahasa ibunda mereka. Mereka juga masih mampu bercakap Melayu dengan orang Melayu. Tetapi mengapa harus ada antara kita yang sanggup melupakan bahasa ibunda seolah-olah mahu mengikis identiti Melayu kita? Kita mau jadi bangsa apa sebenarnya?
Saya sudah melihat banyak kes dan ada antara mereka merupakan kawan-kawan baik saya. Sungguhpun latar belakang tidak harus menjadi isu tetapi kebanyakan mereka berasal dari kampung. Walaupun tidak salah bagi mereka berusaha bersungguh-sungguh, belajar hingga ke luar negara dan akhirnya berjaya mengubah nasib, tetapi mengapa harus dibiarkan kejayaan itu mengubah identiti kita dan seterusnya mengubah jatidiri? Buruk sangatkah untuk kekal sebagai orang Melayu yang masih boleh bercakap Melayu, berfikir cara Melayu dan mengamalkan budaya hidup Melayu? Atau sekurang-kurangnya masih mampu bercakap Melayu sekalipun pada kadar sederhana? Apa hebatnya kehidupan ala-Inggeris yang ada kalanya lebih Inggeris daripada orang Inggeris sendiri?
Sudah tentu mereka mempunyai alasan tersendiri. Mereka mungkin bangga menjadi begitu kerana bahasa Inggeris itu bahasa dunia agaknya. Mungkin juga kerana bahasa Inggeris itu ada kelas sementara bahasa Melayu hanya dianggap sebagai bahasa kelas dua. Kerana itu agaknya mereka tidak pernah peduli tentang kesan dan akibat yang akan ditanggung anak-anak pada masa hadapan. Mungkin juga mereka tidak peduli kalau sedikit-sebanyak perhubungan dengan saudara-mara akan tercalar kalau pun tidak musnah. Rasa keakraban persaudaraan itu saya pasti akan jadi longgar dan kasih sayang juga akan turut jadi longgar. Percayalah. Mungkin anak-anak itu akan tetap balik ke kampung. Tetapi bagaimana penerimaan orang kampung terhadap mereka? Bila wujud jurang komunikasi, inilah antara faktor yang akan melonggarkan segala rasa itu tadi.
Bercakap tentang perkara ini saya mengagumi seorang kawan sekolah saya. Pada tahun lepas (tidak lama selepas kejadian majlis perkahwinan anak sahabat kami yang baru saya ceritakan), sebelum balik bercuti ke kampung isterinya di Edinburgh, dia dan isterinya Helen sempat singgah di rumah saya. Kamal adalah seorang anak Melayu yang amat bangga dengan asal usulnya sehinggakan sampai ke hari ini nama gelarannya masih kekal dikenali sebagai Kamal Golok. Kampung asal keluarganya di Sungai Golok, Kelantan dan sebahagian besar keluarganya masih kekal menetap di seberang Sungai Golok sebelah Selatan Thai manakala sebahagian lagi di sebelah Kelantan.
Helen seorang perempuan Mat Salleh yang dikenalinya semasa dia belajar di United Kingdom dulu. Sungguhpun isterinya Mat Salleh tetapi disebabkan Kamal Golok amat tebal sifat kemelayuannya, Helen berjaya “dimelayukannya.” Kerana itu Helen lebih suka bercakap Melayu dan memilih bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam mendidik keempat-empat anak mereka. Bukan bermakna anak-anak mereka tidak boleh berbahasa Inggeris tetapi saya difahamkan bahasa Melayu adalah bahasa utama keluarga. Dan bila mereka bercakap Melayu, bunyinya adalah bunyi orang Melayu walaupun ibu mereka masih bercakap Melayu dengan telor Mat Salleh. Sungguhpun Helen tidak suka makan budu tetapi dia suka tempoyak dan dia menggilai banyak makanan Melayu lain. Dia boleh bercakap apa saja dan tidak kekok bila berada dalam persekitaran orang Melayu. Menurut Helen sendiri, ibu-bapanya juga sudah beberapa kali dibawa balik ke kampung Kamal Golok dan mereka memang seronok berada di kampung.
Kamal Golok dan Helen tidak memilih untuk tinggal di Damansara, Kenny Hill, Bangsar atau Hartamas. Sebaliknya mereka memilih untuk menetap di Taman Desa di Batu Caves, dalam persekitaran dunia Melayu dan tinggal di sebuah rumah yang dikelilingi pokok-pokok rambutan dan durian yang ditanam oleh Kamal Golok sendiri. Anak lelaki mereka pula kalau hilang dari rumah selalunya akan menyertai kawan-kawannya di sebuah warung burger tidak jauh dari rumah mereka. Di situ hanya terdapat budak-budak Melayu yang bercakap Melayu sepertinya.
Sedang ramai dalam kalangan orang-orang Melayu menggilai kehidupan berprestij sebagai elitis Melayu yang cukup berbangga kerana berjaya menukar identiti mereka serta anak-anak mereka dan berjaya pula membina tembok budaya yang memisahkan anak-anak mereka daripada saudara-mara mereka di kampung, rupa-rupanya masih ada juga orang Melayu seperti Kamal Golok yang tidak pernah luntur kemelayuannya, tidak pernah tunduk pada budaya asing dan berjaya memelayukan isterinya. Kamal Golok tentu sekali berbangga dengan kejayaannya dan agaknya tentu sekali berasa senang hati bila melihat anak-anaknya teruja setiap kali diberitahu mereka akan balik ke Sungai Golok. Mereka tahu di situ kampung asal bapa mereka, dan di situ juga ada datuk, nenek, pak cik dan mak cik yang tidak pernah menghadapi sebarang masalah menerima kepulangan mereka dan juga melayani mereka kerana anak-anak itu sama seperti mereka walaupun jelas terdapat perbezaan wajah dan paras rupa.
Melihat anak-anak Kamal Golok, saya teringat pada seorang kawan yang saya kenali semasa terlibat dalam pembikinan drama bersama-sama U-Wei bin Haji Saari pada penghujung 80-an dulu. Namanya Noraini Jane yang sekarang sudah berumah-tangga dan menjadi anggota kerabat Diraja Negeri Perak. Noraini memang amat fasih berbahasa Melayu walaupun kefasihan bahasa Inggerisnya tidak perlu dipertikai. Selama mengenalinya, saya tidak pernah merasakan Noraini berdarah Inggeris. Saya dapat merasai jiwa dan pemikiran Melayunya yang bagi saya lebih Melayu daripada orang Melayu sendiri. Ditambah dengan pegangan agamanya yang kuat menjadikan elemen Inggeris dalam diri Noraini semakin hilang.
Pada hari ini saya dapati terlalu banyak orang Melayu yang suka mewarnakan rambut mereka jadi perang tanpa saya ketahui apa tujuan dan apa nawaitu mereka sebenar. Ada sesetengah mereka memang menjadi lebih menawan bila rambut bertukar warna tetapi tidak kurang juga yang kelihatan lebih buruk. Walaupun sebilangan besar golongan ini tidak boleh berbahasa Inggeris (kerana trend ini sudah meresapi hampir semua lapisan masyarakat Melayu) tetapi asalkan rambut mereka berjaya “diInggeriskan” itu sudah cukup membanggakan dan kononnya meletakkan mereka dalam satu kelas yang berbeza daripada orang berambut hitam. Bayangkan kalau ada teknologi yang boleh menjadikan kulit kita seputih kulit Mat Salleh, saya tidak dapat membayangkan apa akan jadi kepada rupa wajah bangsa kita. Wallahu’alam.

No comments: