Saturday, 2 February 2008

Gugurnya sebutir permata seni

Minggu lepas satu peristiwa penting berlaku dalam sejarah dunia hiburan negara. Pada Rabu 30hb Januari, penulis lirik terkenal yang banyak menulis lirik untuk lagu-lagu ciptaan M. Nasir meninggal dunia. Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis yang mula terkenal selepas berakhirnya era gandingan M. Nasir/ S. Amin Shahab, meninggal dunia akibat pendarahan otak pada jam 1.37 tengahari di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Damansara. Al Fatihah, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Sehari sebelum itu, ketika bertemu S. Amin Shahab di Balai Seni Lukis Negara, Amin ada memberitahu saya bahawa Loloq sedang menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di kepalanya. Amin sepatutnya pergi berziarah bersama-sama Mamat Khalid tetapi entah kenapa tiba-tiba Mamat yang datang dari Ipoh berubah fikiran dan terus ke hospital. Kemudian Aidit Alfian pula menelefon dan berjanji untuk mengambilnya. Tetapi sehingga petang Aidit juga tidak muncul. Bila kami keluar dari Balai, Amin memberitahu bahawa dia menerima berita bahawa allahyarham sudah selamat menjalani pembedahan dan keadaannya dilaporkan stabil. Bagaimanapun allahyarham masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi. Saya tak tahu sama ada Amin pergi juga ke hospital petang itu dan dengan siapa dia pergi.

Pada hari Rabu itu saya mendapat berita mengenai pemergian allahyarham pada jam 4 petang daripada seorang kawan. Saya tidak ke Balai pada hari itu kerana ada urusan lain di Ukay Perdana. Sebaik menerima berita terus saya menelefon Amin tetapi tidak berjaya. Selepas beberapa kali mencuba dan masih gagal saya menelefon Sani Sudin. Rupa-rupanya Sani sudah berada di surau Sungai Buluh menanti jenazah sampai. Menurut Sani pada waktu itu hujan sudah mula turun seperti berkongsi kesedihan atas pemergian seorang penulis lirik kreatif yang kadang-kadang menongkah arus. Terasa juga saya mahu pergi tetapi ada satu hal penting yang perlu diselesaikan dan tidak dapat dielakkan. Sejurus sebelum maghrib saya menghantar sms kepada Sani bertanyakan status dan dia memberitahu upacara pengebumian baru saja selesai.

Walaupun saya kenal M. Nasir tetapi saya tidak kenal rapat dengan Loloq. Tetapi pertemuan kali pertama di sebuah rumah sewa di Cheras pada tahun 1990 sudah cukup memberitahu saya betapa begitu ligat sekali otaknya. Saya mendapati dia berfikir terlalu laju dan mungkin itu yang menyebabkan dia juga bercakap dengan laju dan sukar berhenti. Ada saja perkara yang dibicarakannya.

Johari Hamid yang pernah bekerja sebagai propmaster dan pengarah seni bersama-sama saya dalam beberapa drama U-Wei Haji Saari mungkin masih ingat akan peristiwa tersebut. Joe ketika itu baru saja selesai bekerja dengan U-Wei dalam siri drama persilatan Luk Tujuh. Kebetulan pada hari itu kami memang berada di sebuah studio pasca-produksi berhampiran kawasan perumahan tersebut melihat U-Wei melakukan kerja-kerja penyuntingan. Selain Joe, Ajib dan Wan juga ada. Ajib kawan yang selalu melepak bersama-sama kami di Central Market dan kemudian turut terlibat dalam Luk Tujuh manakala Wan bekerja dengan M. Nasir. Pada masa itu Wan sedang berkira-kira mahu mengambil cuti panjang dan seterusnya meninggalkan Luncai Emas untuk menimba pengalaman di Jerman. Itu saja yang saya tahu tentang allahyarham. Namun begitu, banyak juga saya mendengar cerita daripada rakan-rakan mengenainya dan sebagai "orang seni" saya sentiasa mengikuti perkembangannya.

Ketika Amin masih melukis di Memorial Tun Abdul Razak saya ada memberi pendapat tentang penulisan lirik allahyarham. Dan Amin sebagai Amin, memang tidak suka memberi sebarang komen terhadap kerja penulis lirik lain sekalipun saya pasti dia juga mempunyai pendapat tertentu. Mungkin juga kerana dia pernah berjuang bersama-sama M. Nasir sejak zaman kumpulan Kembara di Singapura sehinggalah mereka “berpisah” dan tempatnya diambil alih oleh Loloq.

Saya tidak dapat membayangkan siapakah gandingan M. Nasir selepas ini. Lirik Loloq tidak sama dengan lirik Amin. Saya mungkin tidak mengenali Loloq tetapi saya kenal sangat dengan jiwa Amin kerana kami teman sepermainan pada zaman kanak-kanak dulu. Apakah mungkin dalam kesibukan menyiapkan Dunia Dalam Satu Kilometer yang bakal menjadi lakaran pena di atas kanvas terpanjang di dunia Amin masih ada masa untuk menulis lirik dan bersedia untuk kembali bersama-sama M. Nasir?

Saya tak tahu. Yang saya tahu pada masa ini Amin mempunyai keutamaan lain. Dia perlu menyiapkan lukisan terpanjang di dunia itu yang tinggal beberapa ratus meter saja lagi untuk mencapai panjang satu kilometer. Lukisan itu nanti bukan saja amat bermakna buat diri Amin sendiri tetapi juga untuk negara. Di samping itu, projek itu juga amat penting dan bermakna buat diri saya kerana sesuatu sebab yang mungkin akan saya bicarakan pada lain waktu.

No comments: