Sunday, 3 February 2008

Bahasa Jiwa Bangsa

Saya rasa slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” sudah wujud sejak saya belum pandai menulis dan membaca lagi. Ini kerana bila mula bersekolah dulu saya sudah diajar lagu Bahasa Jiwa Bangsa dan sering menyanyikannya pada perhimpunan pagi.
Itu kisah yang berlaku 45 tahun dulu yang masih segar dalam ingatan saya. Saya tak pasti bila sebenarnya kempen Bahasa Jiwa Bangsa dilancarkan tetapi kalau tarikh kita menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sudah pasti kempen tersebut bermula di antara 1957 dan 1963. Dan kalau mahu dikira daripada tarikh tersebut hingga sekarang, ini merupakan satu tempoh yang lebih daripada mencukupi bagi apa saja nilai dan semangat yang ingin diterapkan oleh kempen tersebut untuk berjaya mencapai sekurang-kurangnya sebahagian daripada matlamatnya. Saya difahamkan lagu tersebut masih terus dinyanyikan oleh para pelajar di sekolah hingga sekarang.
Sayangnya, menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan ke 50 Ogos tahun lalu, kita terpaksa mengakui bahawa kempen Bahasa Jiwa Bangsa itu masih jauh daripada apa juga matlamat yang ingin dicapai walaupun usia kemerdekaan kita sudah mencapai separuh abad. Malah, jurangnya dirasakan menjadi semakin luas daripada tahun ke tahun kerana semakin kita bergerak mengejar kemajuan dengan peningkatan taraf kehidupan dan juga pemikiran, slogan itu nampaknya hanya tinggal slogan manakala lagu itu pula sekadar dinyanyikan untuk seronok-seronok tanpa dihayati dengan bersungguh. Semangat Bahasa Jiwa Bangsa itu seperti menjadi semakin pudar dan semakin jauh ditinggalkan.
Saya amat pasti sebahagian besar rakyat Malaysia tidak lagi menghayati slogan tersebut. Kerana itu bahasa Melayu sedang mengalami krisis kecelaruan, hilang arah dan bakal hilang jiwanya. Krisis kecelaruan bahasa itu seperti sudah sampai ke tahap serius dan jika diibaratkan seperti sejenis penyakit yang dihidapi manusia, penyakit tersebut sudah terlalu kritikal dan pesakitnya terpaksa dirawat di wad ICU.
Mungkin kerana menyedari tentang keseriusan krisis tersebut, pada tahun lepas Pesatuan Bahasa Moden Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka terpaksa menganjurkan seminar bahasa rojak untuk membincangkan tentang kecelaruan penggunaan Bahasa Melayu. Pada seminar tersebut, Duli YTM Raja Dr. Nazrin Shah telah diundang untuk merasmikannya dan dalam titahnya, baginda telah mengingatkan betapa “Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dan diberi kemuliaan sebagai bahasa kebangsaan yang merupakan sebahagian daripada semangat perjuangan kemerdekaan.” Lihatlah apa yang sedang berlaku sehinggakan kita terpaksa diingatkan oleh seorang anak raja supaya bahasa ibunda kita itu perlu dimartabatkan dan diberi kemuliaan.
Sewajarnya sejak daripada zaman perjuangan menuntut kemerdekaan dulu lagi orang Melayu khususnya di peringkat pemimpin tidak harus lupa akan teras perjuangan tersebut. Setiap kali kepimpinan bertukar tangan semangat mendaulatkan bahasa juga harus diwarisi oleh kepimpinan yang mengambil alih. Dan kepimpinan hari ini yang mewarisi semangat perjuangan kemerdekaan juga tidak sepatutnya lalai dan tersasar daripada perjuangan tersebut. Apakah pengisian sebenar kempen bahasa jiwa bangsa yang telah dilakukan selama ini kalau amalan harian kita sendiri tidak melambangkan kesungguhan dalam mendaulatkan bahasa ibunda? Kerana itu saya berpendapat kempen yang berteraskan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” itu wajar dilihat semula.
Bahasa rojak yang menjadi punca krisis kecelaruan penggunaan bahasa Melayu kini umpama barah yang hampir merosakkan keseluruhan sistem bahasa Melayu itu sendiri. Sungguhpun pada peringkat penulisan ia masih terkawal tetapi barah yang menyerang sistem bahasa lisan sedang dalam proses membunuh jiwa bahasa ibunda yang kita sayangi itu. Bagaimana satu kehidupan itu mampu mengharungi zaman kalau maruahnya tercalar dan jiwanya sendiri sudah terkorban?
Saya melihat dari segi fizikalnya kecelaruan bahasa telah mencederakan organ-organ yang terdapat dalam batang tubuh bahasa itu sendiri dan seterusnya melumpuhkan sistem, manakala dari segi moralnya pula kecelaruan bahasa merupakan satu bentuk penghinaan terhadap bahasa Melayu. Bentuk penghinaan sebegini adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.
Kecelaruan bahasa menggambarkan kecelaruan minda penuturnya yang tidak stabil, dengan aliran pemikiran yang tersekat-sekat serta tidak teguh iman patriotismenya kerana membiarkan minda dan jatidiri diresapi pengaruh satu bahasa lain yang kononnya lebih gagah. Memang kalau tidak kerana pengaruh pendidikan Inggeris kecelaruan bahasa ini tidak mungkin akan berlaku. Tetapi dalam hal ini bukan bahasa ilmu itu yang wajar dipersalahkan. Segala-galanya berpunca daripada masalah sikap yang melihat bahasa Melayu sebagai bahasa kelas dua, rasa rendah diri kalau kita tidak pandai berbahasa Inggeris dan rasa bangga dan sikap suka menunjuk-nunjuk kononnya kita lebih fasih berbahasa Inggeris. Dan lebih melampau lagi kalau bahasa itu berjaya dijadikan bahasa ibunda anak-anak kita dan pada masa yang sama meminggirkan bahasa sendiri.
Saya ingin berkongsi pandangan dengan Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Firdaus yang turut mengakui bahawa untuk mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak memang sukar dilakukan kerana sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat. Apakah mungkin di DBP sendiri masalah tersebut turut melanda? Apakah pandangan Firdaus itu berdasarkan pengalamannya sendiri mentadbir sebuah “organisasi bahasa” yang penggunaan bahasa rojak di kalangan para pegawainya sendiri sudah menjadi tidak terkawal? Kalau dalam organisasi yang bertanggung jawab dalam hal-ehwal pembangunan bahasa Melayu itu sendiri penggunaan bahasa rojak sudah tidak mampu dikawal, apa lagi yang boleh kita lakukan?
Kecelaruan yang berpunca daripada masalah sikap tadi boleh dilihat hampir setiap hari di kaca TV baik apa juga salurannya sama ada stesen milik kerajaan maupun swasta. Temubual stesen TV terutamanya dalam berita berbahasa Melayu akan dijawab dalam bahasa Inggeris atau sekurang-kurangnya cuba dijawab separuh Melayu dan separuh Inggeris. Atau setidak-tidaknya keluar juga beberapa istilah bahasa Inggeris kononnya bagi tujuan memberi gambaran kepada penonton di seluruh negara bahawa orang Melayu yang bercakap itu sebenarnya lebih pandai berbahasa Inggeris dan kurang fasih berbahasa Melayu. Penyakit apa sebenarnya yang sedang melanda minda dan jiwa orang Melayu?
Fenomena ini bukan saja berlaku di peringkat masyarakat tetapi juga di peringkat kepemimpinan tertinggi yang sebahagian besarnya kerap menghina bahasa ibunda sendiri. Kecelaruan bahasa yang berlaku dalam kalangan pemimpin juga amat serius dan perlukan perhatian. Sayang sekali, golongan yang sepatutnya menunjukkan teladan tidak berusaha mengatasi penyakit ini malah mereka terus mengamalkan perkara yang bertentangan dengan semangat yang harus dibawa oleh seorang pemimpin khususnya pemimpin di peringkat nasional. Kalau begitu, bagaimana mungkin boleh kita menyalahkan masyarakat bawahan?
Alangkah manisnya kalau di peringkat pemimpin, setiap kali berucap sama ada di hadapan rakyat maupun menerusi media massa seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada menghina Bahasa Melayu. Saya berpendapat, kalau peringkat pemimpin dapat mengubah budaya fikir ini pasti budaya ini akan secara perlahan jadi ikutan. Kalau setiap masa para pemimpin dapat mempertahankan martabat Bahasa Melayu dan memberi kesedaran kepada rakyat betapa bahasa kita itu wajib dimuliakan tentu sekali rakyat biasa juga akhirnya akan malu sendiri dan cuba mengubahnya. Bayangkan bila seorang rakyat biasa bertemu dengan seorang pemimpin yang cukup memelihara penggunaan bahasanya, bercakap dengan begitu kemas lagi teratur serta jauh daripada unsur-unsur kecelaruan, apakah mungkin rakyat itu sanggup mencelarukan bahasanya di hadapan pemimpin berkenaan?
Tidak mungkin saya salah kalau menyatakan bahawa apa juga perkara wajar dimulakan oleh pemimpin. Rakyat hanya mengikut apa yang dilakukan pemimpin. Dalam masyarakat kita hari ini, kalau pemimpin tidak menunjukkan contoh yang baik apakah kita boleh mengharapkan rakyat juga akan berkelakuan baik?

No comments: