Sunday, 28 December 2008

Akhir Disember

Ada dua perkara bersejarah berlaku dalam tempoh dua minggu lepas. Pertama, pada sebelah malam 20 Dec lalu, buat pertama kalinya selepas berpisah di pentas selama 23 tahun, saya menyertai semula Sani Sudin dan Usop mengadakan persembahan di RA Fine Arts Gallery. Persembahan tersebut sempena Pameran Penghuni Awal Rumah 905 yang mempamerkan hasil karya para pelukis Latiff Mohidin, Allahyarham Zulkifli Dahlan, Maryam Haji Abdullah, Mohd Yusoff Osman, Mustafa Haji Ibrahim dan Siti Zainon Ismail. Siso tidak ada bersama-sama kami kerana khabarnya mempunyai urusan lain.

Bila mengadakan persembahan itu sudah tentu saya terkenang kembali zaman silam semasa kami mula-mula bertemu pada 1984 dan seterusnya membentuk kumpulan lagu puisi atas "arahan" bos kami Dinsman. Dia yang menggalakkan kami bermain muzik dan menyanyi dan dia juga yang mencarikan kami peluang membuat beberapa persembahan termasuk di Kompleks Budaya Negara dan juga di Hotel Dayang sempena Pelancaran Semula Akhbar Watan oleh Kumpulan Karangkraf. Kalau tidak kerana Dinsman dan Teater Elit tidak mungkin Kopratasa wujud pada hari ini.

Pada malam itu saya tidak terasa asing berada di tengah-tengah kelompok "orang seni." Sungguhpun saya tahu kecuali Dinsman, Ella, Mohd Yusof Osman (yang kami panggil Datuk dan mempunyai pertalian keluarga dengan saya), Pyan Habib dan Supra sedangkan yang lain langsung tidak mengenali saya, tetapi kerana saya diperkenalkan Sani sebagai anggota asal Kopratasa, tiba-tiba semua orang mudah mesra dengan saya. A. Ghaffar Ibrahim (AGI) sanggup memegang mikrofon ketika saya menyanyi semasa kami membuat sound check pada petang itu.
"Pesembahan santai" kami nampaknya mendapat sambutan baik daripada kira-kira 100 tetamu yang hadir. Selepas persembahan saya cuba mendapatkan tandatangan beberapa orang termasuk Dinsman, Yusof Osman, AGI, Mustafa Ibrahim dan juga pemilik RA Fine Arts Raja Ahmad. Abang Mus saya kenali sejak mula bekerja di Teater Elit. Pada waktu itu dia menghuni bangunan usang Anak Alam di belakang Kompleks Budaya yang sekarang ini sudah dirobohkan di mana berdirinya sebahagian bangunan kompleks Aswara.

Selepas mendapatkan tandatangan mereka, tiba-tiba ada suara mendekati saya. "Bang, boleh tolong sign?" Saya menjangka sudah tentu suara itu bermaksud untuk mendapatkan tandatangan mereka yang baru saja menurunkan tandatangan di dalam buku program pameran milik saya, rupa-rupanya bila saya menoleh beberapa orang anak muda yang sebaya anak saya sedang menghulurkan buku program masing-masing kepada saya. Aduh! Itulah pertama kali dalam sejarah hidup saya menurunkan tandatangan kepada "peminat." Ada antara mereka sibuk bertanya mengapa kami mengambil masa terlalu lama saya untuk bergabung semula.

Bergabung semula? Soalan itu hanya saya jawab dengan senyuman. Mungkin mereka tidak faham tentang perhubungan istimewa kami. Mereka juga tidaktahu bahawa saya tidak pernah terfikir mahu jadi penyanyi. Pada malam itu saya hanya mengisi masa terluang. Sani dan Usop mengajak saya dan kebetulan pula acaranya bersesuaian (kononnya nampak seperti eksklusif). Kalau saya diajak mengadakan persembahan di sebuah konsert terbuka mungkin saya terpaksa berfikir dua tiga kali. Selang beberapa minit selepas itu beberapa orang lagi mendekati saya, Usop dan Sani meminta kami menurunkan tandatangan.

Sebelum beredar pulang, salah seorang pegawai RA Fine Arts meminta kami masuk ke dalam galeri. Rupa-rupanya dia juga meminta kami menurunkan tandatangan di atas beberapa buah buku program yang sudah tersedia di atas meja. Dan kami diingatkan supaya tidak lupa mencatat nama Kopratasa. Aduh! Glamour juga jadi penyanyi rupa-rupanya.

Saya tak tahu bila akan dapat bersama-sama Kopratasa lagi. Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya teringat pada bait-bait indah lagu Akhir Disember ciptaan saya (daripada puisi Abdul Aziz HM) yang sempat disampaikan Usop pada malam itu.

Akan datang akhir Disember ini,
Bulan di ranting pohonan
Dan angin yang berdesir
Dalam nafas malam
Mengalir antara malam dan sepi
Sementara, menunggu
Lebur jagat ini..

Saya memandu perlahan, melayani perasaan sambil mengulangi lagu ciptaan pertama saya itu berkali-kali, menembusi malam yang tidak ada penghujungnya.

....bersambung

Sunday, 21 December 2008

Seminar Pembiayaan Perniagaan MeCD

Sebaik sahaja selesai menyambut Aidiladha di rumah kakak sulung saya di Kluang baru-baru ini, petang yang sama saya dan keluarga terus ke Batu Pahat untuk merayakan pula hari yang mulia itu bersama-sama keluarga ibu saudara sepupu saya yang tinggal di Kampung Linau. Memang sudah jadi kebiasaan saya dan keluarga akan menziarahinya setiap kali balik balik ke Johor. Itulah satu-satunya ibu saudara sebelah ibu saya yang masih hidup yang sememangnya mempunyai hubungan amat rapat dengan arwah ibu saya dulu. Seperkara lagi, harapan saya supaya hubungan anak-anak saya dengan keluarga ibu saudara saya itu tidak terputus dan akan terus bertambah erat bila kami sudah tiada lagi di dunia.

Keesokan harinya kami terus ke Skudai dan berkampung di situ selama hampir seminggu. Ini kerana saya terlibat dengan Seminar Pembiayaan Perniagaan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) di mana saya dilantik sebagai Pengurus Acara oleh syarikat perunding yang dilantik Kementerian tersebut. Seminar tersebut diadakan di Pulai Springs Resort berdekatan kampus utama Universiti Teknologi Malaysia.

Seminar yang melibatkan kesemua agensi bank dan juga bukan bank di bawah MeCD itu bertemakan Mudah Pinjam Mudah Bayar. Ia bertujuan untuk mencari titik keseragaman daripada segi sistem pembiayaan dan juga bayaran balik serta pemberian geran. Mengikut perancangan yang dirangka sejak awal, ada tiga pembentangan kertas kerja. Satu daripada Bank Rakyat Indonesia manakala dua lagi daripada Grameen Bank dan Brac Bank Bangladesh. Ketiga-tiga bank luar tersebut mempunyai sistem pembiayaan dan kutipan balik yang baik dengan peratus NPL yang relatif rendah. Walaupun agak terlewat, inilah yang cuba dicontohi MeCD dan disesuaikan mengikut acuan Malaysia. Malangnya, kira-kira empat hari sebelum seminar, kami diberitahu bahawa hanya seorang sahaja yang dapat hadir iaitu wakil daripada BRI Indonesia. Kedua-dua yang diundang dari Bangladesh tidak dapat hadir.

Saya tidak tahu silap siapa tetapi saya dapat mengagak sejak awal lagi bahawa kami akan menghadapi masalah. Ini kerana kegagalan mendapat salinan kertas kerja sekalipun dalam bentuk soft copy sudah memberi petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Urusan tersebut dipertanggungjawabkan kepada salah sebuah agensi MeCD.

Sudah lama saya tidak terlibat dengan acara besar seperti itu. Namun begitu saya tidak begitu bimbang walaupun menerima tawaran tidak sampai sebulan sebelum seminar berlangsung. Saya selalu berpegang pada prinsip asas yang menyatakan bahawa pengurusan itu sama sahaja baik dalam apa bidang sekalipun. Mungkin kerana itu saya tidak mempunyai masalah terlibat dalam apa juga bidang. Saya rasa mampu mengurus apa sahaja asalkan dapat mematuhi prinsip-prinsipnya.

Sungguhpun begitu saya terasa sedikit dibebani kerana perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin demi nama baik dan imej syarikat perunding yang melantik saya. Syarikat tersebut mempunyai track record yang baik dalam latihan keusahawanan dan kerana itu diberi kepercayaan mengendalikan seminar tersebut. Jadi, bila peluang tersebut sampai, saya terus membulatkan tekad untuk melaksanakan misi penting itut sebaik mungkin.
Seminar itu dianjurkan oleh sebuah badan Kerajaan. Oleh kerana saya pernah berkhidmat secara kontrak dengan Bahagian Kebudayaan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sehingga dipisahkan menjadi Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, saya sudah biasa dengan suasana bekerja dengan pegawai dan kakitangan Kerajaan. Saya juga biasa berurusan dengan pelbagai Kementerian dan jabatan Kerajaan lain, faham dengan budaya kerja orang-orang Kerajaan dan saya juga sudah lali dengan kerenah birokrasi serta sistem dan prosedur sebuah organisasi Kerajaan yang khabarnya tidak pernah mengalami sebarang anjakan paradigma. Sungguhpun begitu saya mengharapkan MeCD tidak seperti Kementerian lain dan saya percaya selepas tempoh dua puluh tahun saya meninggalkan Kementerian Kebudayaan sudah tentu banyak sudah berubah, tidak lagi seperti apa yang diberitahu kebanyakan orang.

Setelah puas cuba merancang mengikut sistem dan peraturan pengurusan yang saya rasakan mampu menjadikan seminar kali ini berjalan dengan sempurna, saya sedar bahawa banyak perkara akan dilanggar dan sistem serta peraturan yang saya rangka akan mengalami pelbagai kecederaan akibat kemalangan yang berlaku sama ada disengajakan atau berlaku secara tidak sengaja. Sebab itu antara utama yang saya lakukan ialah mengingatkan kumpulan pengurusan kami bahawa dalam mengurus acara sebegitu kita hendaklah selalu bersedia untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan yang tidak terduga.

Memang benar, banyak perkara tidak terduga berlaku. Baik apa pun, segala-galanya berjalan lancar dan akhirnya seminar berjaya disempurnakan majlis perasmian penutupnya oleh YB Menteri Kementerian berkenaan.

Mengenang kembali seminar tersebut, selama dua hari acara berjalan, saya merasa berpuas hati kerana mampu melalui setiap detik cemas dengan senyuman dan penuh kesabaran. Ini mengingatkan saya ketika membantu penganjuran beberapa acara besar bertaraf antarabangsa semasa di Kementerian Kebudayaan dulu. Ketua Pengarah kami ketika itu iaitu A. Aziz Deraman (Dato’) tidak pernah melenting sekalipun berhadapan dengan masalah yang mampu meruntuhkan sebuah bangunan. Beliau tetap tenang dan sabar, tidak pernah panik dan masih mampu tersenyum dalam apa jua keadaan. Apa yang saya pelajari, senyuman dalam saat-saat kritikal begitu banyak membantu menyelesaikan masalah terutama membantu meredakan ketegangan “urat dan perasaan” para pegawai dan kakitangan. Kerana itu saya lebih banyak senyum dan bergurau dengan hampir semua pihak sekalipun ketika menghadapi saat-saat mencemaskan.

Bila berhadapan isu kritikal, saya selalu mengingatkan diri saya bahawa pada saat-saat sebegitu apa yang penting ialah untuk menyelesaikan masalah dan bukan menambah masalah. Saya tidak akan membiarkan masalah tergantung tanpa penyelesaian sekalipun saya tahu ia tidak harus berlaku yang kebanyakannya berpunca daripada kecuaian atau kebodohan manusia. Ini bukan masa untuk mencari kesalahan sesiapa tetapi merupakan masa untuk setiap pihak memberikan kerjasama mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah. Memang benar sistem yang cuba saya wujudkan tidak berlaku seratus peratus. Mungkin saya juga mempunyai kelemahan yang tidak saya sedari. Sistem komunikasi jadi bercelaru kerana tidak mengikut saluran sewajarnya. Beberapa perkara yang telah diputuskan berubah secara tiba-tiba dan sebagai pengurus acara saya tidak diberitahu mengenai perubahan tersebut.

Pada hari kedua, setelah berpuas hati dengan apa yang diputuskan dan segala-galanya telah diatur pada malam sebelumnya, saya cuba datang lewat untuk menguji sama ada pengurusan jarak jauh boleh saya laksanakan. Kebetulan tiba-tiba pagi itu saya berasa kurang sihat, saya menjangka sudah tentu hari kedua tidak akan berlaku sebarang masalah. Tetapi tanpa diduga masih ada juga yang berubah pada saat-saat akhir dan saya terpaksa bergegas ke dewan seminar.

Bila ini berlaku, saya teringat pada apa yang pernah saya lalui ketika terlibat dalam bidang pembinaan dulu. Pengurusan acara sebegini bukanlah satu acara besar jika mahu dibandingkan dengan kerja-kerja pembinaan yang melibatkan kos yang jauh lebih besar. Saya pernah berhadapan saat-saat genting dan hampir-hampir ditamatkan kontrak sekiranya gagal menyiapkan kerja dalam tempoh kurang dua belas jam. Segala-galanya berpunca daripada arahan bercelaru daripada pihak pengurusan kontraktor utama. Kerana itu saya lebih suka memikul tanggungjawab seorang diri, menerima arahan terus daripada satu pihak dan melaporkan setiap perkembangan kepada pihak yang sama. Seperkara lagi, saya tidak suka proses pelaksanaan kerja saya dipersoal. Apa yang penting bukan bagaimana sistem pelaksanaan saya tetapi misi tersebut berjaya disempurnakan.

Saat-saat genting saya maksudkan itu ialah apabila saya dicabar oleh CEO syarikat tersebut (beliau pernah jadi menteri dan kini tidak lagi menganggotai kabinet). Saya ditanya sama ada mampu menyiapkan kerja atau menyerah kalah dan membiarkan kontraktor utama mengambil alih kerja-kerja yang sedang berjalan. Tanpa berfikir panjang saya menyahut cabaran itu dan keputusan itu saya buat sendirian tanpa berbincang dengan Pengarah Urusan yang merupakan rakan kongsi saya yang berdiri kaku di sebelah saya dan sudah tidak berdaya berkata apa-apa.
Keberanian saya itu memang berbaloi. Sebaik sahaja cabaran bersambut, beberapa pegawai serta kakitangan penting syarikat kontraktor utama tiba-tiba menghampiri saya menawarkan pelbagai bentuk bantuan sokongan. Walaupun mampu menyelesaikan masalah sendirian tanpa bantuan mereka, tetapi memikirkan saya perlu mengekalkan hubungan baik dengan syarikat tersebut demi masa depan syarikat saya sendiri, saya menerimanya dengan senang hati. Akhirnya kerja-kerja tersebut berjaya disiapkan mengikut jadual sebelum jam 7 pagi keesokan harinya.

Saya tahu, mereka juga merasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan mereka juga tidak mahu menambah masalah. Misi utama kami ialah menyiapkan projek dan kalau sekiranya gagal, penamatan kontrak saya tidak memberi sebarang makna. Dan tidak lama selepas selesai projek di Jalan Utara itu, saya diberikan kerja-kerja elektrikal untuk 12 buah stesen LRT Putra.

Saya berpendapat dalam apa jua perkara, APA YANG PENTING? KERJASAMA! Kata-kata berlagu itu selalu saya dengar dinyanyikan anak-anak kecil yang dipelajari daripada sebuah program kartun berjudul Wonder Pets. Sekadar bergurau, ia mungkin hanya sebuah cerita kartun tetapi kata-kata itu amat besar maknanya yang harus dinyanyikan pada setiap perhimpunan pagi Isnin di setiap Jabatan Kerajaan dan juga Kementerian sekalipun Jabatan Perdana Menteri. Kata-kata hikmat itu harus dijadikan amalan dan cerita kartun itu juga wajar ditonton sekalipun oleh Ketua Setiausaha Negara (sudah tentu ditonton di rumah bersama cucu-cucunya).

Berbalik kepada cerita seminar tadi, selepas YB Menteri menamatkan upacara, saya duduk di satu sudut memerhatikan gelagat sekian banyak manusia yang berebut-rebut mahu bersalaman dengan Pak Menteri yang sedang bergegas keluar dewan untuk satu acara lain. Ada yang tersengeh-sengeh bila berdepan dengan Menteri dan lebih luas lagi sengehnya bila Menteri menepuk bahunya. Ada pula yang menepuk bahu Menteri. Mungkin mahu membuktikan kepada ramai bahawa dia rapat dengan Menteri agaknya. Aduh! Manusia.

Semasa saya duduk di sudut dewan itu, saya tidak ubah seperti seorang pembikin filem. Bila filem selesai dan hasilnya ditayangkan kepada umum, selalunya puji-pujian hanya datang kepada pembikinnya pada peringkat akhir. Biarlah produser dan para pelakon termasuk juga pelakon tambahan dilimpahi cahaya kamera para wartawan. Lagipun, bagi pembikin filem yang faham tentang dunianya, glamour itu bukan untuk dirinya tetapi untuk dinikmati bintang-bintang. Kerana itu dia tidak harus berkecil hati. Hanya pembikin filem yang bermasalah yang selalu terkejar-kejar memburu glamour.

Bagi saya, pembikin filem hanyalah seorang pengkarya yang terpaksa bergelumang dengan segala macam masalah dan kekotoran yang kadang-kala menjijikkan untuk menyiapkan karyanya. Memang benar, tidak seorang pun daripada para pegawai MeCD datang mengucapkan tahniah kepada saya. Hanya Pengarah Program syarikat perunding yang bagi saya pada malam itu merupakan “produser filem” saya yang datang memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih. Sudah tentu sekali saya rasa amat terharu. Saya cuma mengharapkan dia bersedia untuk menerbitkan “filem” baru untuk saya tidak lama lagi. Itupun kalau dia dia masih sudi.

Nota kaki;

Salam dan setinggi-tinggi terima kasih untuk Sdr Shapiai Mohd Ramly yang dalam kesibukan tugasnya telah sudi meluangkan masa menjenguk saya di Taman Universiti. Terima kasih juga atas kesudiannya membawa saya ke Yayasan Warisan Johor sehari selepas selesai seminar. Mungkin kalau jadi apa yang dirancang, saya akan lebih kerap turun ke Johor Bahru.

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Wednesday, 26 November 2008

Antara Ghazal Rock dan Impak Maksima

Pada hari pertama Aidilfitri yang lalu, semasa sedang berehat di dapur tiba-tiba saya terdengar bunyi muzik yang agak pelik di TV. Lalu saya terus ke ruang tamu rumah adik ipar saya itu. Rupa-rupanya ketika itu TV3 sedang menyiarkan program Ghazal Rock. Lalu saya terpaku di depan TV. Ada beberapa orang penyanyi terkenal diundang termasuk penyanyi kumpulan Jinbara. Saya rasa hanya penyanyi kumpulan Jinbara yang saya tak tahu namanya itu berjaya mencuri hati . Yang lain sepatah kata budak-budak sekarang “Hampeh” sekalipun Anuar Zain yang kononnya merupakan seorang penyanyi terhebat.

Tiba-tiba saya teringat satu peristiwa ketika M. Nasir sedang sibuk dengan satu rakaman di studio FGM pada tahun 1987 kalau tak silap saya. Saya tak pasti sama ada Nasir masih ingat lagi perbualan kami itu. Saya sekadar mahu meninjau pendapat Sifu itu mengenai ghazal.
“Engkau rasa ghazal boleh kita modenkan ke?” Itu soalan saya. Saya bukan pandai sangat pasal muzik tapi saya teringat Profesor Ungku Aziz pernah menyebut tentang kesukaran menyatukan muzik ghazal dengan muzik kontemporari.
Tiba-tiba Nasir diam. Kemudian dia mengetuk satu rentak di meja di mana kami duduk. Lalu dia berkata, “Eh! Boleh, slow rock tu..”
Perbualan kami berakhir di situ dan saya tak pernah terfikir lagi tentangnya.Tetapi bila Nasir mencipta Ghazal Untuk Rabiah saya agak kecewa kerana lagu itu lebih mirip kepada muzik flamenco dan bukan berteraskan ghazal yang pernah disebutnya.
Bagaimanapun kekecewaan saya agak terubat bila saya mendapat salinan VCD persembahan ghazal Warisan Johor di Istana Budaya. Saya dapati penyatuan muzik ghazal dengan orkestra bukan lagi satu igauan dan ia telah berlaku dengan jayanya. Banyak lagu yang saya suka termasuk irama lagu yang dinyanyikan Ramlah Ram walaupun penyampaiannya kurang menyerlah. Sayang sekali hanya sekali itu(apa yang saya tahu) persembahan ghazal berorkestra dibuat. Alangkah baiknya kalau Istana Budaya dan Warisan Johor bekerjasama sekali lagi mementaskan ghazal dengan iringan orkestra yang lebih hebat. Dan kali ini cuba panggil beberapa orang penyanyi rock melenggokkan lagu ghazal mengikut inteprestasi mereka. Janganlah kita perkecilkan kerana penyanyi Jinbara sudah melakukannya dengan baik mengikut penilaian peribadi saya.

Bila ghazal “dirockkan” saya pasti tentu ada pihak yang menentang kerana ia dilihat sebagai mencemar muzik ghazal. Saya tak tahu mengenai orang lain tetapi pendapat saya kalau sesuatu bidang seni itu mahu terus hidup di tengah-tengah dunia yang bergerak pantas mengejar kemajuan dan serba mencabar ini, kita perlu sedia banyak berkorban. Dalam soal ghazal rock, saya tak melihat salahnya seorang penyanyi rock menyanyikan lagu ghazal kerana pada prinsipnya ia masih muzik ghazal kerana alat-alat muziknya masih alat muzik asli tradisional (sungguhpun biola bukan alat muzik asli kita). Cuma bezanya ada sedikit tambahan gitar bass (mungkin) serta percussion. Ia melahirkan satu fusion bunyi muzik yang lebih segar dan menarik bagi saya.

Bercerita tentang hal ini saya juga teringat semasa bekerja di Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan dulu, salah seorang pegawai kebudayaan bernama Sulaiman Sarijan pernah duduk berbincang dengan saya bagaimana Kementerian boleh menarik audien baru menyaksikan pentas teater dan bangsawan. Saya cuma bergurau dengan menjawab, “Kau suruhlah Sudirman main teater atau bangsawan. Tentu ramai orang datang tengok.”
Sulaiman terkebil-kebil memandang saya. “Betul jugak engkau cakap,” jawabnya dalam loghat jawa.

Beberapa tahun kemudian saya dapati pentas teater mula diisi artis-artis ternama. Saya tak pernah menonton teater selepas itu kecuali Cindai dan Bakai semata-mata kerana Cindai ditulis oleh Cikgu Noordin Hassan dan turut dimainkan oleh Rohani Yousoff manakala Bakai merupakan hasil tangan U-Wei.

Bagaimana dengan Impak Maksima? Ah! Itu semua mengarut. Kalau pun kita mahu menarik golongan muda ke pentas teater atau Istana Budaya, itu bukan caranya. Banyak lagi kaedah dan pendekatan yang boleh kita lakukan. Mahu berkorban biar bertempat jangan sampai mengorbankan prinsip, maruah dan harga diri. Mungkin Johari Shaarani lebih tahu apa yang dibuatnya. Dia pun kawan saya juga yang mejanya tak jauh daripada meja Sulaiman Sarijan, Datuk Norliza, Mod Zaky Din, Soekarno dan lain-lain di tingkat 34 Menara Dato' Onn PWTC dulu.

Friday, 7 November 2008

Cerita kawan naik haji

Seorang sahabat memberitahu saya bahawa dia akan menunaikan haji penghujung November ini dan menjemput saya menghadiri majlis do'a selamat di rumahnya. Sebelum ini ada juga seorang rakan sekelas dulu menjemput saya ke majlis do'a selamat sempena pemergiannya ke Mekah. Kedua-duanya tak dapat saya penuhi kerana malam esok saya ada tugas yang sudah diatur dan tak dapat dielakkan.

Saya hanya dapat mendo'akan semoga sahabat saya dan isterinya itu berjaya menyempurnakan rukun Islam kelima, mudah-mudahan sihat wal'afiat sepanjang berada di sana dan semoga selamat kembali ke tanah air.

Saya sempat berpesan, "Mabrur atau tidak. Itu hak Allah. Jangan fikirkan sangat. Dan juga jangan fikirkan sangat tentang title haji yang nak dipakai bila balik nanti. Itu juga hak Allah. Haji ke tak haji ke, hanya Dia saja yang Maha Mengetahui. Kita ini ikut sedap pakai aje."

Dia diam.

"Macam mana pun," tambah saya lagi, "yang penting balik nanti engkau boleh mengerjakan Hajjah semula."

Dia tergelak besar. "Ya, ya. Betul cakap engkau tu," katanya.

Betul ke apa yang saya cakap tu? Saya tak sedar kerana kata-kata itu terlepas begitu sahaja dari mulut saya.

Wallahu'alam.

Saturday, 25 October 2008

Tribute to Cikgu Abdul Rahman Yeop

Saya pernah bercerita sebelum ini tentang bagaimana bekas pengetua saya Abdul Rahman Yeop. Orang tua ini amat besar jasanya dalam hidup saya (posting - 20, 21 dan 24 Jun 2008). Dialah yang mencorakkan hidup saya sebaik saja saya tamat peperiksaan MCE.

Saya hanya sempat menjadi muridnya selama dua tahun. Dia datang pada awal tahun 1973 ditukarkan dari Sekolah Menengah Sungai Sumun Teluk Intan ketika saya berada di tingkatan 4 dan saya meninggalkan sekolah pada hujung tahun berikutnya. Tetapi seperti pernah saya ceritakan, dia memanggil saya kembali menyertai kelas pra-universiti selama tiga bulan sementara menunggu keputusan peperiksaan. Saya tahu dia memanggil saya kembali kerana tidak mahu saya merayau-rayau di bandar Seremban tanpa tujuan. Sekurang-kurangnya bila kembali ke sekolah saya boleh bermain muzik dan memimpin band sekolah seperti biasa (di samping menerima elaun bulanan selama tiga bulan).

Tetapi setelah keluar keputusan yang tidak memihak kepada saya (seperti yang saya jangka), saya meninggalkan sekolah dan beberapa bulan selepas itu dia terserempak dengan saya lagi yang sedang merayau-rayau di tengah bandar Seremban. Dia menyuruh saya datang ke sekolah dengan segera. Dia seperti mahu mengatur hidup saya, "mengarahkan" saya mendaftar diri sebagai guru sementara di Jabatan Pelajaran dan selama beberapa bulan saya terperap mengajar di sebuah sekolah menengah di pekan Johol.

Sebelum penghujung tahun dia memanggil saya lagi. Saya tak tahu apa tujuannya. Rupa-rupanya dia menyuruh saya mendapatkan borang memohon masuk ke maktab perguruan. Saya akur kerana saya tidak ada orang tua lagi untuk dirujuk. Lagipun ayah saya telah meninggal dunia. Dan dengan bantuannya saya dapat masuk maktab mengikuti latihan perguruan selama dua tahun. Dia tak pernah tahu saya bernikah semasa kursus sehinggalah bila saya bertemunya di majlis perasmian SDAR di Sikamat Seremban pada tahun 1978 (kalau tak silap saya).

Selepas keluar maktab, saya fikir saya akan terus menjadi guru hingga pencen. Tetapi saya menukar fikiran selepas berlaku pelbagai peristiwa dalam hidup. Sudah tentu kali ini saya tidak memerlukan sentuhan Rahman Yeop lagi. Segala-galanya di tangan saya. It’s all my show now. Biarlah kali ini saya membuat keputusan menentukan kehidupan sendiri walaupun sebelum itu Rahman Yeop telah meletakkan batu asas dalam hidup saya. Betul atau salah, itu keputusan saya. Dan bermulalah episod kehidupan saya yang pelbagai corak dan berwarna-warni yang menjadi ilham kepada buku yang saya “angan-angankan” yang saya beri judul SAYA TAK ADA MBA.

Pernah Zuraidah Mohamad kawan sekelas isteri saya di TKC yang juga rapat dengan saya bertanya buku itu mengenai apa (pernah saya coretkan dalam blog ini - posting 27 Feb 2008).
Lalu saya jawab, “It’s all about wrong decisions.”
Segala-galanya mengenai keputusan yang salah. Memang saya sudah lama dilatih untuk tidak takut membuat kesalahan. Tetapi untuk membuat keputusan salah yang betul, itu memang payah dan saya tidak pernah belajar mengenainya. Namun semakin lama melalui kehidupan ini, saya menjadi semakin suka dan saya selalu rasa, “I have made the right wrong decisions.” Bagaimana harus saya terjemahkan?

Malam ini saya bertemu Dato’ Abdul Rahman Yeop dan isterinya di rumah terbuka Zuraidah dan suaminya Nasir Ali orang besar di Kumpulan Utusan. Saya tidak fikir Zu mengenali rapat Cikgu Rahman Yeop sebelum ini. Dia mungkin mula mengenalinya sejaksama-sama aktif dalam Persatuan Sejarah. Kebetulan Cikgu Rahman Yeop memegang jawatan Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia.

Sebelum ini saya ada juga beberapa kali menemui Rahman Yeop yang lebih selesa saya panggil cikgu. Sama juga seperti Isa Samad yang tak pernah saya panggil Tan Sri atau Dato.’ Mereka bekas cikgu saya. Jadi lebih mesra dan manja kalau saya panggil cikgu. Lagipun saya rasa mereka bukan seperti sesetengah orang bergelar yang akan memaling muka atau enggan menjawab kalau tidak dipanggil dengan gelaran tertentu. Begitu juga isteri Rahman Yeop. Dia pun tak kisah sekejap saya panggil auntie, sekejap saya panggil Datin. Saya rasa lebih baik sedap kalau saya panggil mak cik.

Semasa bekerja dengan Sekolah Muzik Yamaha Johor Bahru, bos saya ketika itu pernah mengundang para pegawai Kementerian dan Jabatan Pelajaran ke satu majlis makan malam di rumahnya. Saya terkejut kerana Rahman Yeop ada sama. Dia tidak lagi menjadi pengetua SDAR. Dia juga terkejut saya sudah berhenti daripada perkhidmatan perguruan selepas hanya empat tahun berkhidmat. Dan dia lebih terkejut lagi saya dapat bekerja dengan seorang kerabat diraja. Setahun selepas itu, saya menemuinya di Kementerian Pelajaran meminta bantuan tentang pertukaran isteri saya dari Johor Ke Kuala Lumpur. Ketika itu dia menjaga hal-ehwal sekolah berasrama penuh. Oleh kerana di Kuala Lumpur tidak ada kekosongan, akhirnya dia berjaya menempatkan isteri saya di Sekolah Kebangsaan La Salle, Jalan Gasing, Petaling Jaya walaupun sebelum itu dia bergurau menyatakan kalau di Selangor yang ada kekosongan cuma di Batang Berjuntai. Di pejabatnya di Bangunan Bank Pertanian itu dia menghulurkan saya sebatang rokok Dunhill. Katanya, “Hisaplah. Kamu bukan kat SDAR lagi..”

Ketika dia menjadi Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan saya juga ada bertemu dengannya di pejabatnya. Dia tidak pernah berubah. Dia melayan saya sama seperti di sekolah dan kami masih boleh bergurau-senda.

Selepas itu kami hanya sempat bertemu beberapa kali di beberapa perjumpaan bekas pelajar tetapi tidak pernah berpeluang untuk berbual panjang kerana dalam majlis seperti itu sudah tentu ramai bekas pelajar yang mengerumuninya. Memang perangai saya tidak suka mencelah baik siapa juga yang saya kenal sedang dikelilingi banyak orang.

Tetapi malam tadi kami dapat berbual panjang. Dan Rahman Yeop mahu berkenalan dengan isteri saya.
“Orang rumah kamu budak TKC ke Mat Shah?”
“Ya Cikgu.
“Girl-friend dulu?”
“Tak cikgu. Yang lain. Kenal masa kat TKC lagi tapi rapat masa kat maktab.”

Lalu saya memperkenalkan isteri saya buat pertama kalinya. Kemudian dia mengulangi apa yang kami bualkan sebelum itu di hadapan isteri saya. Sekarang isteri saya tak kisah lagi dengan cerita zaman budak-budak dulu. Saya ingat lagi apa yang berlaku di suatu perjumpaan di Tropicana Golf Resort beberapa tahun dahulu. Saya memperkenalkan isteri saya kepada Cikgu Isa Samad (yang ketika itu masih menjawat jawatan MB Negeri Sembilan).
“Eh! Dulu lain. Yang ini lain pulak,” kata Isa Samad.
Merah padam muka isteri saya. Cikgu Isa pun satu. Mulutnya tak ada insurans, kata orang sekarang. Memang kalau dia bercakap ikut sedap mulut. Tetapi kerana dia cikgu saya yang amat saya kenal perangainya, saya tak pernah berkecil hati. Begitu juga dengan Rahman Yeop. Sudah tentu lebih lagi kerana kami ada hubungan istimewa yang sukar saya gambarkan.

Selepas itu kami berbual lagi dan bila isteri saya bercerita tentang sakit lutut yang dialaminya, perbualan kami berpanjangan. Cikgu Rahman Yeop mengakui bahawa dia “pakar” sakit lutut. Ini kerana dia juga mengalami masalah yang sama. Banyak juga nasihat yang diberikan kepada isteri saya sampaikan dia sanggup membantu kalau isteri saya mahu mendapatkan rawatan di HUKM. Pakar yang merawatnya bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan. Dia sendiri sanggup menelefon doktor pakar itu. Begitulah pengetua kesayangan saya. Seperti komen isteri saya ketika dalam perjalanan pulang,
“Patutlah budak-budak sayang dengan dia. Wife dia pun sama. Caring. Concern, mesra betul dengan budak-budak.”
(Ya. Kata hati saya. Dah tua-tua pun kami ni masih disebut sebagai budak-budak juga).
Kalau itu diucapkan oleh bekas seorang budak Kolej Tunku Kurshiah atau TKC, apa lagi kalau bekas budak SDAR yang lebih mengenali Rahman Yeop. Mana nak cari cikgu macam dia.

Ada lagi soalan menarik yang diajukan kepada saya.
“Anak kamu dua aje?”
“Ya cikgu. Dua aje. Dua-dua perempuan.”
“Tak nak lelaki?”
“Tak boleh cikgu. Saya tak pandai layan budak lelaki. Dulu saya cuma pandai layan budak TKC aje…”
Dia ketawa.

Itu antara yang dapat saya ceritakan mengenai Cikgu Rahman Yeop yang telah lama bertahta di hati saya yang takkan dapat saya lupakan tentang hubungan istimewa kami. Kerana usia mungkin banyak perkara atau peristiwa yang dia sendiri sudah lupa. Tetapi saya ada memberitahunya bahawa saya ada menulis di laman blog mengenai pengalaman saya dengannya. Dan mungkin ketika ini dia sudah membaca beberapa tulisan saya yang mungkin dapat mengembalikan ingatan pada apa yang pernah berlaku antara kami. Mungkin selepas ini akan saya catatkan lagi sekiranya saya teringat. Maklum saja, saya juga sedang meniti usia dan semakin hari bertambah, semakin bertambah juga usia saya.

Nota kaki

Cikgu Rahman Yeop berjanji akan mengundang saya ke rumahnya. Katanya, “Saya nak kamu datang dengan Kutat. Kami nak jemput Kutat dengan isteri barunya.”
(Kutat salah satu nama gelaran yang cukup popular yang masih kekal hingga sekarang sehinggakan ada bekas pelajar terutama pelajar junior yang tak tahu bahawa nama sebenarnya ialah Mokhtar.
Kutat memang cukup rapat dengan Cikgu Rahman Yeop kerana dia menyambung pelajaran hingga ke Tingkatan Enam Atas. Maknanya hubungan mereka lebih panjang selama empat tahun. Dan selepas meninggalkan SDAR mereka sentiasa berhubung rapat.

Sedangkan saya, selama beberapa tahun menghilangkan diri bersembunyi daripada bekas guru-guru dan rakan-rakan sehinggalah saya sedar bahawa sebenarnya “I have made the right wrong decisions”).

Friday, 24 October 2008

Sebuah kampung bernama Bindu

Di Batu Pahat ada sebuah kampung yang diberi nama Kampung Bindu. Letaknya kira-kira 10 kilometer dari Bandar Penggaram (nama rasmi bagi bandar yang juga merupakan pusat pentabiran daerah Batu Pahat). Hanya ada satu jalan sahaja untuk ke Bindu kalau datang dari pusat bandar iaitu melalui Jalan Tongkang Pecah. Jalan yang sama itu boleh membawa kita keluar sama ada ke Lebuhraya Utara Selatan dan terus ke Yong Peng atau ke Parit Sulung dan seterusnya boleh terus ke Muar atau Pagoh. Kalau datang dari Lebuhraya Utara-Selatan, lebih mudah dan dekat kalau keluar di persimpangan tol Yong Peng/Batu Pahat dan sudah pasti selepas pekan Tongkang Pecah sesiapa juga tidak akan terlepas pandang papan tanda Kampung Bindu di sebelah kiri jalan.

Mercu tanda Kampung Bindu pada waktu dulu ialah stesen pemancar RTM yang terletak betul-betul berhadapan simpang masuk ke kampung itu. Saya tidak pasti sama ada stesen RTM itu masih wujud pada waktu ini.

Saya tidak pernah mahu bertanya tentang sejarahnya kerana Kampung Bindu tidak mempunyai sebarang sejarah penting untuk diingat. Ia hanyalah sebuah perkampungan biasa yang dulunya dipenuhi dengan kebun getah dan dusun buah-buahan. Cuma apa yang penting bagi saya, itulah kampung di mana arwah datuk saya sebelah bapa datang merantau dari Kelantan dan membuka tanah di kampung yang kini sudah berusia melebihi seratus tahun. Bersama beberapa ahli keluarga dia meneroka tanah dan akhirnya berjaya memiliki beberapa kawasan kebun getah dan tanah dusun. Tanah-tanah miliknya itu kemudian diwarisi anak-anaknya.

Antara empat orang anaknya (seorang dengan isteri kedua yang dikahwini selepas kematian isteri pertama), agak malang kerana arwah ayah saya tidak menyimpan tanah-tanah yang diwarisinya itu. Kerana sesuatu sebab, selepas kematian arwah datuk, kehidupan bapa saya menjadi begitu sukar. Mujurlah ada seorang saudara bernama Pak Usu Patong yang bersimpati dengan nasib ayah saya. Pak Usu Patong sanggup berkorban jawatan Pengawal Mergastua yang sebelum itu ditawarkan kepadanya dan dengan rela hati menyuruh ayah saya mengambil alih tempatnya. Setelah berjaya mendapat pekerjaan tersebut ayah saya terus membawa ibu saya dan tiga orang anaknya ketika itu berhijrah ke Kluang. Di Kluang dia memulakan hidup baru dan di Kluang jugalah tempat saya dan seorang lagi kakak saya dilahirkan.

Dia tidak pernah melupakan jasa arwah Pak Usu Patong dan semasa hidup dulu arwah ayah saya selalu mengingatkan anak-anak tentang bagaimana dia mendapat penghidupan baru itu.

Mungkin tidak wajar untuk saya menyingkap kisah silam mengenai keperitan hidup yang dilalui arwah ayah dan ibu saya semasa di Kampung Bindu. Apa yang dapat saya catatkan mereka pernah tinggal di dalam sebuah pondok yang dibina daripada batang sagu ketika kakak dan abang saya masih kecil. Apatah lagi ketika itu Jepun baru saja menyerang Malaya yang menjadikan kehidupan semakin bertambah sukar. Tidak wajar juga saya mahu bercerita tentang ibu saya yang terpaksa hidup bagaikan hamba abdi semasa menumpang di rumah seorang saudara rapat ayah saya. Semua itu pasti akan membongkar nama-nama mereka yang sudah tidak ada lagi di dunia ini. Tetapi itulah antara cerita yang disampaikan kepada saya oleh arwah ibu saya bila kami tinggal berdua. Saya pernah menulis sebelum ini betapa saya banyak menyimpan rahsia kepahitan hidup arwah ibu saya.

Saya cuba mencari dalam kamus makna perkataan Bindu. Daripada sebuah kamus Inggeris, ia membawa makna sebuah alat mesin yang berfungsi untuk melarik kayu atau bahan lain seperti gading. Alat mesin itu mempunyai dua bahagian yang akan memegang kedua-dua hujung bahan kayu yang akan berputar bagi membolehkan bahan kayu itu turut berputar dan kerja-kerja melarik boleh dilakukan.

Dalam bahasa Inggeris Bindu disebut sebagai Lathes. Ada juga disebut ia merupakan salah satu alat mesin tertua dan digunakan di Perancis sejak tahun 1569 dan merupakan antara alat paling berguna pada zaman Revolusi Industri di England apabila berjaya disesuaikan sebagai alat pemotong logam. Kalau tidak silap itulah mesin yang sama pernah saya gunakan semasa belajar mata pelajaran Seni Perusahaan di bengkel ketika di sekolah menengah dahulu sama ada untuk kerja kayu mahupun kerja logam.

Sudah tentu saya mempunyai beberapa kenangan walaupun jarang dibawa balik ke sana ketika zaman kanak-kanak dahulu. Saya hanya lebih kerap balik selepas arwah bapa saya ditukarkan ke Batu Pahat terutama bila ada kenduri kahwin atau pun waktu musim buah-buahan. Mungkin apa yang mampu saya ingat tidak sehebat kenangan yang disimpan kakak dan abang saya. Mereka pernah tinggal di sana pada zaman kanak-kanak dan sempat bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bindu. Mereka juga sempat meredah hutan dan jalan berlopak yang sudah tentu jauh lebih buruk keadaannya ketika itu.

Saya hanya mampu mengingati peristiwa mandi beramai-ramai di anak sungai yang disebut sebagai “parit” oleh penduduk Kampung Bindu. Anak sungai itu akan jadi meriah bila waktu air pasang pada waktu pagi kerana waktu itulah ramai orang mandi-manda dan membasuh pakaian. Ia merupakan satu-satunya sumber air bagi penduduk kampung yang ketika itu masih belum mendapat bekalan air bersih. Di situlah saya mendapat pengalaman mengail ikan dengan joran buluh dan saya berjaya mendapat seekor ikan kecil yang merupakan satu-satunya ikan yang pernah saya tangkap dalam sejarah hidup saya. Selepas itu saya tidak pernah memegang joran lagi hingga ke umur tua.

Beberapa kilometer menuju ke “darat” ada punca air yang cukup bersih yang datang dari sebuah bukit. Saya pernah beberapa kali dibawa ke sana oleh arwah Bang Ngah Taib anak ibu saudara saya. Di situ saya berpeluang mandi air yang bukan saja bersih tetapi amat sejuk dan menyegarkan. Kata Bang Ngah, air itu boleh terus diminum dan dia memang selalu ke situ untuk mendapatkan air bersih yang digunakan untuk memasak. Selain Bang Ngah Taib ramai juga saudara-saudara lain ke situ untuk mengambil air terutama menjelang senja.

Saya juga masih ingat betapa ikatan keluarga yang amat kuat dalam kalangan penduduk Kampung Bindu yang majoritinya mempunyai tali persaudaraan. Semasa musim buah-buahan saya boleh berjalan ke mana sahaja dan berhenti di rumah siapa sahaja untuk menikmati buah-buahan tanpa meminta izin kerana semuanya milik saudara-mara kami. Berhadapan rumah arwah Mak Long saya pula ada sebuah kedai milik keluarga cina. Mereka sudah tinggal di situ bertahun-tahu dan sudah jadi seperti keluarga Melayu, fasih berbahasa (boleh menyebut Lailahaillallah tanpa pelat cina) dan mengamalkan budaya hidup Melayu. Kerana itu semasa saya kecil saya agak keliru kerana tidak dapat membezakan sama ada mereka itu Islam ataupun bukan.

Di sebelah “laut” pula ada pangkalan di mana banyak perahu milik penduduk kampung berlabuh di situ. Menurut arwah ibu saya, sebelum ada jalan darat penduduk kampung menggunakan jalan sungai untuk ke Batu Pahat atau ke sebelah kampung Parit Besar. Sungguhpun begitu, walaupun sudah ada jalan raya, masih ada juga penduduk kampung meneruskan tradisi berperahu untuk ke tempat-tempat berdekatan. Saya amat teringin sekali menaiki perahu tetapi tidak pernah mendapat keizinan daripada arwah ibu saya. Katanya sungai itu berbahaya kerana terdapat banyak buaya. Dia sendiri pernah hampir-hampir dilibas buaya besar.

Saya diberitahu, tidak berapa jauh di seberang sungai itu menghala ke hulu ada sebuah kampung yang dinamakan Kampung Parit Besar dan ramai orang menggunakan perahu berulang-alik dari Parit Besar ke Bindu. Tidak hairanlah bila ada seorang saudara kami yang bernama Leman tinggal di Parit Besar. Pada hari ini simpang ke Parit Besar hanya beberapa meter sahaja dari simpang ke rumah arwah ibu saya di Kampung Istana.

Bang Ngah Leman merupakan generasi kedua yang datang merantau dari Kelantan ke Batu Pahat. Adiknya Mamat (Lebih dikenali dengan nama Mamak mengikut dialek Kelantan) berkahwin dengan salah seorang saudara rapat kami. Kedua-duanya sudah meninggal dunia dan ketika hayatnya Bang Ngah Leman merupakan antara saudara kami yang masih pekat dengan dialek Kelantan dan kerap berulang-alik ke Wakaf Bahru. Dia menjadi penghubung antara keluarga kami di Batu Pahat dengan keluarga di Kelantan.

Walaupun di pihak keluarga kami di Kelantan masih ada juga yang datang menjenguk sekali-sekala tetapi sayang sekali dalam kalangan saudara-mara saya di Batu Pahat tidak ramai yang masih kuat ingatan mereka terhadap asal keturunan nenek-moyang kami. Walaupun ada antara mereka yang tahu ketika arwah ayah saya hidup dulu dia rajin balik ke sana, tetapi nampaknya sekarang tidak ada lagi yang mahu bercerita tentang Kampung Bukit di Wakaf Bharu. Apa lagi untuk membawa keluarga masing-masing menjenguk kampung asal datuk nenek moyang kami walaupun masing-masing berkemampuan.

Sesetengah mereka mungkin hanya berminat untuk menyebut tentang perkara itu bila timbul isu mengenai lima keping tanah yang ditinggalkan arwah datuk saya yang dulunya diletak atas nama arwah ayah saya. Saya tak pasti sama ada masalah itu sudah diselesaikan oleh salah seorang abang saya kerana saya hanya berminat dengan silaturrahim, bukannya tanah. Bagi saya jika kemelut tanah itu tidak dapat diselesaikan dengan baik, lebih baik saja semua tanah itu diwakafkan bagi membolehkan kami semua mendapat saham akhirat percuma.

Kerana bimbang terhadap ingatan dan ikatan yang semakin longgar, akhirnya saya balik ke Wakaf Bharu dan berpeluang bertemu saki-baki keluarga yang masih hidup dan melihat sendiri tanah-tanah yang ditinggalkan oleh arwah datuk saya itu yang kini di bawah jagaan dua pupu saya. Setelah berada di sana, saya berasa lega kerana kini anak-anak saya tahu di mana kampung asal usul nenek-moyang mereka dan mengenali siapa saudara-mara mereka. Saya rasa bangga dengan sikap kedua-dua anak saya yang turut berminat untuk mengetahui sejarah serta susur-galur keluarga kami. Dalam lima beradik, nampaknya hanya saya seorang yang berminat untuk membawa keluarga menjenguk kampung serta saudara-mara kami. Diandaikan saya sudah tiada lagi, saya harap anak-anak saya meneruskan hubungan keluarga itu.

Cuma satu perkara yang membuatkan saya amat terkilan. Arwah ibu saya tidak pernah berpeluang menjejak kaki di Kampung Bukit kerana arwah ayah saya tidak mampu membawanya ke sana ketika itu. Dan saya pula tidak sempat berbuat demikian kerana ketika saya berkemampuan dia sudah tidak berdaya untuk dibawa berjalan jauh.

Kali terakhir saya ke Kampung Bindu beberapa tahun lepas kerana kenduri kahwin. Seperti biasa anak-anak saya tahu siapa saudara yang menjemput kami itu dan juga tahu lebih-kurang tentang hubungan kami dengan Busu Madon yang menjemput kami itu. Seperti ibu saya juga, saya suka bercerita tentang susur-galur keluarga. Sekurang-kurangnya mereka tahu siapa yang mereka boleh cari jika ke Kampung Bindu atau di Parit Kangkong (kampung ibu saya yang tidak jauh dari situ) atau jika mereka balik ke Wakaf Bharu. Sayangnya, anak-anak saudara-mara saya kebanyakannya tidak mengenali saya dan tidak dapat mengaitkan hubungan kekeluargaan kami. Saya bimbang, ikatan kami pasti akan jadi lebih longgar selepas pemergian generasi kami yang sebahagian besar merupakan sepupu saya.

Semasa kereta bergerak masuk melalui jalan kecil yang kini sudah diturap dengan tar itu, saya dapati suasana di Kampung Bindu tidak lagi seperti dulu. Di kiri kanan jalan terdapat beberapa kilang kecil dibina yang kelihatan sudah lama juga beroperasi. Pembinaan kilang-kilang kecil itu membawa hampir ke sekolah kebangsaan di mana kakak dan abang saya pernah belajar dulu. Sudah tentu kilang-kilang itu bukan dimiliki orang Melayu.

Nampaknya, atas nama pembangunan kemurnian kampung Melayu yang pernah “ditakluk” sekumpulan anak Melayu Kelantan dulu dan juga sekumpulan lagi mereka yang berasal dari Rawa telah dicemari. Begitu juga dengan hak milik tanah. Semakin lama tidak ada apa lagi yang dapat dibanggakan penduduk Kampung Bindu, tidak seperti Kampung Bukit di Wakaf Bharu yang masih kekal terpelihara dari segi warisan budaya dan hak milik.

Thursday, 23 October 2008

Liabiliti Cinta

Bila saja membuka internet hari ini, saya terpandang pada satu tajuk berita mengenai calon Naib Presiden Amerika bagi parti Republikan iaitu Sarah Palin yang kini dianggap ramai rakyat Amerika sebagai liabiliti kepada calon Presidennya John McCain. Walaupun bukan orang politik tetapi saya sentiasa mengikuti perkembangan bukan sahaja politik negara tetapi juga politik antarabangsa. Politik Amerika amat besar kesannya kepada politik dunia dan politik Amerika juga berupaya membawa akibat buruk kepada ekonomi global.
Melihat pada tajuk itu, sebenarnya sudah lama saya mahu menulis tentang sesuatu yang berkaitan dengan perkataan liabiliti. Mungkin belum sampai masanya lagi tetapi hari ini saya mencatat supaya saya tidak lupa pada satu hari nanti, pada ketika yang sesuai saya mahu menulis tentang LIABILITI CINTA.
Bercakap soal cinta ini, saya rasa saya mampu memberi syarahan mengenainya, menyentuh pelbagai sudut yang menarik yang saya peroleh daripada pengalaman. Sebelum sampai waktu saya mahu menulis itu, buat sementara ini, bagi anak-anak (mungkin macam Kikiey dan mereka yang seumur dengannya), hanya satu pesanan saya. Jangan terlalu percaya pada kejujuran cinta. Salam saya untuk semua anak-anak muda yang sedang bercinta dan juga kepada kawan-kawan seusia atau lebih tua daripada saya yang baru mengenal makna cinta (atau dulu tersilap memilih cinta).
Sambil itu, oleh kerana sebahagian besar kita masih segar dengan semangat menyambut Aidilfitri yang tak habis-habis, saya ingin turunkan satu puisi Hari Raya yang ditulis Dinsman pada 1985 khusus untuk kad hari raya Teater Elit tahun berkenaan. Sekali pandang memang tidak ada kena-mengena dengan isu liabiliti cinta yang saya sebut di atas. Tetapi "maaf" yang ditulis Dinsman itu memang kerap dilafaz dan jadi mainan orang bercinta sampaikan kadang-kadang tidak membawa sebarang pengertian lagi.

maaf
maaf maaf
maaf maaf maaf
maaf maaf maaf maaf
maaf maaf maaf maaf maaf
aafmaafmaafmaafmaafmaafma
di mana-mana
penuh dengan maaf
posmen membawa maaf ke sana sini
amboi! beratnya maaf
diserangnya pejabat pos bertubi-tubi
maaf bermaharajalela
bila orang berjumpa
maaf melompat dari mulut
tersembur-sembur maaf
tangan bersalam tangan berlumur maaf
maaf zahir batin!
maaf zahir batin!
seronoknya maaf melompat-lompat
berlari-lari terbang belayar
maaf-maaf dari seluruh dunia berjumpa
bagaimana agaknya maaf-maaf itu?!

Hakcipta terpelihara 1985
©Dinsman

Tenaga produksi Puisi Maaf;
Pengurus Produksi dan percetakan : Ella
Pengarah Seni dan grafik : Usop Urusan typesetting dan bromide : Sani Sudin dan Hazali Haji Ramli
Pencuci cow gum dan urusan pos : Mohd Shah Ibrahim

(Bayangkan pada zaman itu masih belum ada komputer untuk membuat grafik dsb. Letih juga Sani dan Hazali pergi-balik ke Kofordset dan Tye Cine bagi urusan typesetting dan bromide).

Saturday, 18 October 2008

Al Fatihah untuk Sudiro

Petang semalam, semasa hujan lebat saya berada di pejabat di Taman Samudra sedang sibuk bersiap untuk acara penting yang akan bermula pada waktu malam dan seterusnya sepanjang hujung minggu. Tiba-tiba saya menerima panggilan daripada Sani Sudin. Dia memberitahu, "Sudiro dah meninggal."
Waktu pemergian Allahyarham tidak diberitahu. Innalillahiwainnailaihiraji'uun..
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan mereka yang beriman.

Sudiro Sukirman pernah bersama-sama Teater Elit satu ketika dulu. Selepas kami mendapat "ijazah" masing-masing, sama seperti sahabat-sahabat lain, Sudiro mencari jalannya sendiri dan khabarnya dia bekerja dengan TV3. Dia juga mencipta nama menerusi siri Rumah Kedai yang turut dibintangi Nani (Rosnani) yang juga pernah bersama-sama kami di Teater Elit buat beberapa ketika. (Nani terus lenyap setelah mendirikan rumah tangga dan wajahnya tak pernah muncul di kaca TV lagi).
Selepas itu saya tak pernah lagi mendengar khabar mengenai Sudiro yang khabarnya telah meninggalkan TV3 dan hanya mendengar cerita dia jatuh sakit.

Saya ada menelefon Usop tetapi gagal dan saya juga ada menghantar mesej kepada Hazali Hj Ramli. Zali menjawab tetapi saya tak tahu sama ada dia berkesempatan untuk menziarahi jenazah Allahyarham. Alfatihah.

Friday, 17 October 2008

Singgah (ii)

Seperti pernah saya janjikan, saya turunkan puisi Dinsman seperti di bawah;

SINGGAH (ii)

untuk sementara

tutup semua tingkap dan tabir

letakkan rokok di luar pagar

pisahkan telefon dari gagangnya

maka bukalah pintu

ke jalan rahasia

ke ruang persembunyian itu

peperangan di luar itu entah bila akan selesai

mayat tak terbilang lagi

pahlawan menentang pahlawan

peluru mencari korban

darah terus mengalir

ke manakah kau akan pergi?

duduk di sini dan lihatlah

betapa janji tak dapat ditepati

betapa harapan tak dapat dipenuhi

betapa manusia menuntut hak masing-masing

letakkan pisau dan senapang itu

di sana ada anak yang menangis

di sini ada orang tua yang masih bertanya

makna hidupnya


bercakaplah tentang negara makmur dan kuat
sesungguhnya itu perjuangan yang mulia

apabila kuasa ada di tangan
ingatlah

ingatlah akan kemiskinan

bukan pada miskinnya

ingatlah akan kelemahan

bukan pada lemahnya

apabila mendengar ada anak yang menangis

ingatlah akan orang tua

yang masih bertanya makna hidupnya


di ruang persembunyian ini

berbagai kejahatan terjadi

untuk sementara

lupakan hak masing-masing

bertafakurlah sejenak

di hadapan keajaiban


ayah telah lama meninggalkan ibu

ayah telah lama meninggalkan dunia

lihatlah di halaman

peperangan itu tidak akan selesai

tiap manusia menuntut hak mereka

darimu

ke manakah kau akan pergi?


Dinsman



Nota kaki:

Sesungguhnya SINGGAH mempunyai makna besar dalam hidup saya.

Dalam melayari hidup, saya singgah di sekian banyak pelabuhan mengutip pengalaman dan ilmu.

Dan tidak kurang juga banyak manusia, dengan pelbagai ragam sifat dan sikap yang singgah dalam hidup saya yang banyak mengajar saya makna kehidupan.


Saya masih terus berlayar dan sayatahu banyak lagi pelabuhan yang menanti.

Entah apa yang ada di hadapan, saya tak dapat menduga. Semoga saya akan menemui cahaya kehidupan yang saya cari selama ini.