Saturday, 9 June 2012

Penjenamaan Diri

Seperti biasa, apabila sampai di bilik tidur untuk menulis, saya akan buka laptop dulu, buka pintu menuju ke balkoni, buka grill, dan duduk termenung sebentar sementara menunggu minda panas. Itu sudah jadi seperti Standard Operating Prosedur (SOP) saya.
Sedang saya termenung, tiba-tiba satu panggilan telefon mengganggu fikiran saya, lalu saya lupakan sebentar kerja yang sedang menunggu untuk disiapkan. Minda terus jadi sejuk dan sementara menunggu keputusan sama ada ia akan panas semula atau terus menurun ke suhu beku, tiba-tiba saya teringat kepada beberapa website mengenai Personal Branding. Lalu saya cuba melayari beberapa website.
Saya harap saya tidak silap menterjemahkan Personal Branding kepada "Penjenamaan diri". Sudah beberapa bulan saya mencari bahan mengenai subjek tersebut dengan harapan kalau ada lagi peluang memberi latihan keusahawanan atau kemahiran saya mahu selitkan topik tersebut. Sebenarnya ia boleh dijadikan satu topik khas dan boleh dibangunkan modulnya. Cuma saya tidak fikir saya punya masa untuk melakukannya. Mana mungkin saya dapat menyediakan modul sekarang ini. Ruang masa menjadi semakin sempit diasak terlalu banyak urusan yang datang bertimpa yang perlu diselesaikan.
Tiba-tiba saya terjumpa satu posting menarik dalam satu website yang memang saya suka lawati. Tajuknya "365 reasons why I havent' blogged in a year." Maksudnya, "365 sebab kenapa saya tak menulis dalam masa setahun."
Penulis yang bernama Ryan Rancatore menerangkan bahawa dia tidak dapat menulis selama setahun kerana terlalu sibuk melayan anak kecilnya. Daripada gambar pada video (saya tidak membuka video itu) kelihatan seperti anaknya itu hanya berusia beberapa bulan.
Tajuk itu sangat menarik bagi saya dan tentang isi tulisannya, ada juga sesuatu yang menarik. Dia menulis, 
"Building a personal brand is important for almost everyone today.  It’s especially important for those searching for a new or different job.
But, keep in mind that your personal brand isn’t perishable.  A year with no activity and Google still remembers who I am.  So do the real connections I formed through blogging, social media, etc."
Selain ruang masa menjadi semakin sempit diasak terlalu banyak urusan, begitu juga dengan ruang minda yang terbatas turut menjadi semakin sempit diasak terlalu banyak perkara untuk diselesaikan serta gangguan yang kadang-kadang menjelma tanpa diundang seperti malam ini, saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat menterjemahkan sepenuhnya dan mengulas panjang.
Cuma secara ringkas, apa yang cuba ditekankan penulis ialah "Penjenamaan diri tidak mudah musnah. Setahun tanpa aktiviti dia masih diingati Google. Begitu juga dengan rangkaian hubungan yang terbentuk menerusi penulisan blog, media sosial dan lain-lain."
Sementara menanti keputusan sama ada minda saya akan panas semula atau terus menurun ke suhu beku, selamat malam kepada rakan-rakan yang masih setia, semoga saya berupaya kembali ke blog ini dalam masa terdekat tanpa memberikan 365 sebab kenapa saya tidak menulis."

Saturday, 5 November 2011

Jauh di sudut hati..

Sudah banyak bulan saya berhenti menulis dalam laman blog ini. Selama ini saya lebih banyak menghabiskan masa melayan Facebook kononnya kerana "tidak ada masa." Bukan FB tak bagus tetapi memang ada tak bagusnya. Benar FB bagus untuk melebarkan rangkaian kenalan. Juga benar FB boleh memberikan kita maklumat terkini mengenai apa saja yang dikemaskini rakan-rakan FB. Tetapi selebar mana jaringan, oleh sebab perkara-perkara asas tidak diberi perhatian malah sengaja dilupakan, saya lihat FB sudah hilang serinya (bagi diri saya). Ada nilai-nilai kekeluargaan yang sudah dilupakan. Semuanya kerana masing-masing mengambil mudah dan beranggapan, "Ah! FB ada bila-bila pun boleh dihubungi. Lagipun kalau sudah jadi rakan FB semua orang boleh baca dan boleh tahu apa yang berlaku."
Sebenarnya, inilah bahana kemajuan ICT kalau kita silap memilih saluran. Memang antara fungsi ICT ialah untuk melebarkan jaringan. Tetapi tidak ramai yang sedar bahawa ada nilai-nilai tertentu semakin pudar dan malah akan terus hilang. Mereka yang rapat dengan saya tidak lagi mahu menelefon sekalipun menghantar sms. Yang muda mengharapkan kita yang tua untuk menghubungi mereka. Kalau saya boleh menghubungi abang dan kakak-kakak saya sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk bertanya khabar tetapi ahli-ahli keluarga yang muda baik anak-anak angkat, anak-anak saudara mahupun cucu-cucu saudara, saya rasa boleh menang loteri kalau ada antara mereka yang tiba-tiba menelefon bertanya khabar.
Biarlah akaun FB saya terus "terbuka." Kalau ditutup payah juga kerana masih ada relevannya. Saya sudah mengambil keputusan, dengan blog yang sudah berubah wajah ini, lebih baik saya kembali menulis di laman sendiri dan melayan diri sendiri. Lagipun saya boleh menulis sepanjang mana yang saya mahu tidak seperti menulis status FB yang ada had. Kalau tulis nota belum tentu orang sanggup baca kerana mereka yang melayan FB tidak ramai yang suka membaca. Nampaknya sebahagian besar mereka bukan sasaran audien saya.
Saya mahu kembali. Jika diizinkanNya, saya mahu menulis lebih banyak lagi kerana di dalam stor minda saya masih banyak yang terkumpul yang belum digali.
Maaf kepada mereka yang pernah menulis komen terhadap beberapa tulisan saya. Saya tidak memberi respon kerana sudah lama tidak membuka laman blog ini.

Thursday, 11 November 2010

Selamat Hari Lahir Anak Abah

Memang banyak pihak yang melenting bila mana TPM merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan cadangan pemansuhan UPSR dan PMR tidak berapa lama dulu. Ibu bapa, NGO, parti-parti politik hinggakan Konsensus Bebas Parlimen semua memberikan pandangan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Rata-rata mereka berpendapat tindakan tersebut tidak wajar dan masing-masing mempunyai pendapat dan alasan tersendiri.

Tetapi apabila sahaja pengumuman dibuat bahawa hanya PMR akan dimansuhkan bermula 2016 manakala UPSR dikekalkan tetapi dilakukan perubahan pada bentuk dan format sudah tentu ramai berasa lega.

Saya tidak mahu menyentuh soal rasional di sebalik cadangan tersebut serta hujah dan alasan semua pihak yang menentang idea pemansuhan tersebut. Sebagai "orang luar" yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan UPSR mahupun PMR, saya melihat kedua-dua peperiksaan tersebut khususnya UPSR sedikit sebanyak mencederakan pemikiran dan sikap orang kita.

UPSR mencipta satu rantaian masalah yang saling berkait. Bayangkan berapa ramai anak sekolah yang mengalami tekanan perasaan kerana sikap ibu bapa. Semuanya kerana sikap ibu bapa yang berlumba-lumba mahukan anak masing-masing menjadi yang terbaik. Ini mengakibatkan anak-anak kehilangan masa bersama keluarga dan kawan-kawan kerana dipaksa menyertai kelas tuisyen sama ada peribadi mahupun di pusat-pusat tuisyen berbayar. Saya pasti bukan semua bersedia untuk terikat dengan jadual tahun enam yang begitu ketat kerana di sekolah mereka sendiri sudah ada kelas tambahan pada waktu pagi atau petang. Ada juga sekolah yang menganjurkan kelas tambahan pada hari Sabtu sehinggakan guru-guru sendiri sukar untuk mengatur program bersama keluarga pada hujung minggu.

Saya lihat ramai juga ibu bapa yang jadi kecoh kerana UPSR. Memang tidak salah mahukan anak-anak menjadi yang terbaik dalam akademik tetapi setiap apa yang kita lakukan seharusnya berpada. Anak-anak tidak wajar diberi tekanan "mesti dapat 5A." Kalau tak dapat nanti mak atau ayah malu. Kerana tidak mahu malu maka anak-anak dipaksa menghadiri kelas tuisyen hampir lima hari seminggu menyamai hari persekolahan. Kesibukan aktiviti akademik di sekolah ditambah dengan aktiviti tuisyen selepas sekolah. Bagaimana dengan anak-anak golongan elit yang sedia sibuk dengan kelas renang, muzik,komputer, tae-kwan do, balet dan sebagainya?

UPSR tiba-tiba menjadi semacam satu medan pertarungan bukan di kalangan anak-anak tetapi satu pertandingan untuk mencari ibu bapa mana paling hebat. Dari peringkat persediaan kita dapat lihat ibu bapa saling berlumba menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen dan bila perkara ini jadi bahan bualan, ramai juga kawan-kawan yang tercedera hati dan perasaan kerana sikap mahu menunjuk-nunjuk sesetengah mereka. Sudah tentu mereka yang berkemampuan akan menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen terkenal sedangkan bagi yang kurang mampu mereka cuma dapat menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen murah yang tidak ada nama dan ala kadar juga perkhidmatannya.

Bagaimana pula "format dan kandungan" perbualan ibu-ibu khususnya bila keluar keputusan UPSR nanti? "Anak I dapat 5A, anak you dapat berapa?" Maka Si Ibu yang hebat itu akan sibuk menelefon kawan-kawan mahu tahu anak-anak orang lain dapat berapa A. "Haa?? Anak you dua A aje?? Kenapa ya? Patutnya dulu you hantar dia kat tuition centre anak I.." Begitulah..

Selepas itu apa pula yang berlaku? Ibu bapa yang hebat-hebat yang sudah pasti mempunyai kenalan yang hebat-hebat akan sibuk mencari jalan menemui orang politik yang boleh membantu memberikan sokongan bagi membolehkan anak-anak mereka mendapat tempat di sekolah berasrama penuh. Dengan tempat yang terhad sudah tentu jumlah sekolah berasrama penuh sedia ada tidak mampu menampung ribuan murid yang mendapat 5A. Kerana itu "connection" perlu dicari.

Dari situ tercipta pula satu rantaian ekonomi, bila ada "demand" maka UPSR mencipta pasaran dan peluang perniagaan. Kerana wujudnya UPSR kita dapat lihat sekian banyak pusat tuisyen tumbuh di merata tempat hinggakan ke pinggir bandar dan desa. Dari mana datangnya sumber tenaga pengajar pusat-pusat tuisyen ini? Hebatkah mereka yang mengajar di pusat-pusat tuisyen dan mampukan mereka menandingi kehebatan dan kredibiliti guru-guru sekolah yang mempunyai bertahun-tahun pengalaman mengajar tahun enam? Tidak juga. Bila disemak rupa-rupanya sebahagian besar merupakan guru-guru sekolah yang mengajar di sekolah pada waktu pagi atau siang, dan petang atau malam mereka "cari makan" di pusat-pusat tuisyen. Mana mungkin pusat tuisyen mampu menyediakan tenaga pengajar hebat daripada sumber lain kecuali guru-guru berpengalaman yang sudah bersara.

Di sini timbul masalah sikap dan komitmen. Yang mana lebih wajar diberi perhatian, gaji bulanan yang dibayar kerajaan yang tidak seberapa atau pendapatan dari pusat tuisyen yang jauh lebih lumayan? Sudah tentu hasil yang diperoleh dari pusat tuisyen menjadi pilihan hinggakan ada ramai guru membuka pusat tuisyen sendiri atau berselindung di sebalik nama orang lain. Saya teringat lirik lagu filem Siti Muslihat; "Nenek-nenek si bongkok tiga, siang mengantuk malam berjaga."

Mengenai operasi pusat tuisyen, biasanya selepas peperiksaan pusat tuisyen akan sunyi sepi. Kalau UPSR berlangsung pada bulan September, bererti selama tiga bulan tidak akan ada aktiviti dan pusat tuisyen kehilangan pendapatan daripada murid-murid tahun enam. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Di Kuala Lumpur dan Selangor, ada beberapa pusat yang menawarkan tuisyen persediaan untuk tingkatan satu. Keputusan UPSR belum pun keluar, anak-anak masih belum tentu ke sekolah mana, buku teks pun belum dapat lagi tetapi pusat-pusat tuisyen sudah menawarkan kelas persediaan untuk tingkatan satu. Memang kreatif sungguh.

Ada satu pihak lagi yang kehilangan pendapatan selepas berakhirnya UPSR. Pihak yang saya maksudkan ialah golongan "Pakar Perunding Motivasi." Kalau saya teruskan tulisan ini sudah pasti ada pihak yang terluka dengan beberapa kenyataan saya. Tetapi realitinya, perlukah kita pada "pakar perunding motivasi" ini? Antara sekian ramai "Pakar" berapakah bilangan yang benar-benar pakar dalam bidang tersebut? Saya pernah terdengar satu syarahan seorang "pakar." Saya rasa kalau dari segi teknik menjawab soalan, guru-guru sekolah itu sendiri lebih berpengalaman. Dan pihak mana pula yang memberikan akreditasi bagi membolehkan golongan tersebut menggunakan gelaran "pakar" itu dan kayu ukur mana yang dipakai?

Ah! cukuplah setakat ini tentang UPSR. Saya juga boleh jadi pakar kerana saya rasa saya pun pandai bercerita dan mampu membuatkan murid-murid tahun enam menangis kalau mendengar cerita saya. Cuma saya tak pasti apakah cerita-cerita sedih yang disampaikan dalam masa dua jam nanti boleh menjanjikan 5A atau mengubah sikap mahupun disiplin kanak-kanak yang nakal tegar yang tidak mampu dilenturkan guru besar dan juga guru disiplin sekolah itu sendiri. Kerana itu saya tak mahu jadi "pakar perunding motivasi." Lagipun lebih baik saya buat duit cara lain. Memang saya tak sampai hati..

Kira-kira dua puluh minit lagi keputusan UPSR akan diumumkan. Buah hati pengarang jantung saya Siti Nurbaya sedang berdebar menunggu keputusan di sekolahnya di Bandar Kinrara bersama-sama ayah dan umminya. Kata ayahnya tadi dia akan menelefon saya sebaik dapat keputusan. Seperti juga kakak-kakaknya dulu, saya tidak pernah mengharap apa-apa. Sikap dan pendirian saya mengenai pelajaran anak-anak memang konsisten. Asal lulus cukuplah. Bagi saya UPSR bukan penentu masa hadapan. Kalau Baya dapat 5A atau 4A atau 3A atau tak ada A sekalipun, dia tetap buah hati abah.

Semalam Baya genap berusia 12 tahun. Dia masih ada masa yang panjang untuk merancang masa depan. Biarlah dia sendiri yang menentukan mahu jadi apa apabila besar nanti bersandarkan minat dan keupayaan sendiri. Saya bimbang ayah dan umminya akan memberikan tekanan yang bukan-bukan kepada Baya apabila dia masuk ke Tingkatan Satu nanti.

Selamat Hari Lahir Anak Abah.

(Tulisan ini siap pada kira-kira jam 11.45 pagi mengikut waktu tempatan)

Friday, 1 October 2010

Surau Gunung Soga

Keluarga saya menetap di Gunung Soga selama lebih kurang 12 tahun. Kami dibawa berpindah dari Kluang pada tahun 1960 apabila ayah saya menerima arahan pertukaran kerana pada waktu itu daerah Batu Pahat memerlukan seorang Pengawal Mergastua bagi mengendalikan kes haiwan liar yang semakin bertambah. Semasa tinggal di situ surau Gunung Soga merupakan antara tempat yang banyak menyimpan kenangan manis zaman kanak-kanak saya.

Di situ ayah saya banyak mencurah bakti. Ibu saya pernah memberitahu bahawa ayah saya dilantik sebagai noja surau. Saya tidak faham makna perkataan itu. Apa yang saya tahu dia diberi amanah memegang kunci surau dan juga stor. Dia pernah membawa saya untuk membantu mengemas pinggan-mangkuk serta barangan lain yang terdapat di situ. Bila tidak ada kerja di rumah di surau itulah tempat dia menghabiskan masa. Selain itu dia juga menjaga kebersihan surau serta kawasan sekitarnya. Surau itu sudah menjadi rumah keduanya dan stor itu pula merupakan pejabat keduanya.

Kadang-kadang ada juga dia melaungkan azan walaupun itu bukan tugas rasminya. Tetapi kalau pada waktu bulan puasa hampir setiap hari dia akan memukul kentung dan selepas itu melaungkan azan maghrib. Selepas selesai barulah dia balik untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumah.

Saya tidak pernah tahu bagaimana ayah saya boleh dilantik ke jawatan tersebut. Tetapi saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku kerana tiba-tiba sahaja berlaku pertukaran. Kerana pertukaran itu jiran sebelah rumah kami yang sebelum itu memegang tugas tersebut terus merajuk dan tidak lagi mahu ke surau walaupun jarak surau itu dengan rumah kami hanya kira-kira 50 meter sahaja.

Di surau itu banyak watak menarik yang masih saya ingat hingga sekarang. Imamnya Pak Ali yang digelar Pak Ali Kubur. Dia mendapat gelaran itu kerana kerjanya memang sebagai penggali kubur. Sama seperti ayah saya, Pak Ali juga merupakan pakar memasak nasi minyak. Kalau ada sebarang majlis mereka saling bantu-membantu. Kalau Pak Ali dilantik sebagai tukang masak ayah saya bertindak sebagai pembantunya. Begitu juga sebaliknya.

Memang ada beberapa yang lain yang sentiasa lekat di ingatan saya seperti Haji Laila, Haji Embi, Pak Adam, Cikgu Manaf, Cikgu Jamil Markom, Cikgu Mohamad Diah, Cikgu Naim, Cikgu Rashid dan Cikgu Haji Ibrahim, sekadar menyebut beberapa nama yang kebanyakannya bekerja sebagai guru. Di kawasan perumahan kuarters kerajaan Gunung Soga memang terdapat ramai guru. Mereka merupakan kumpulan yang menceriakan suasana surau dan kebanyakannya rapat dengan ayah saya. Haji Embi orang yang bertanggungjawab memberikan gelaran Ibrahim Rimau kepada ayah saya, peristiwa yang berlaku pada satu petang sebelum berlangsung upacara sambutan maulidur-rasul. Ketika itu ayah saya sedang sibuk memasang khemah dan Haji Embi sedang membantu memasang sistem PA. Sambil "mengaum" menerusi mikrofon dia menganugerahkan gelaran itu yang lekat hingga ke akhir hayat ayah saya.

Cikgu Manaf merupakan guru besar sekolah agama saya. Saya menghadiri sekolah agama pada waktu petang di sekolah yang sama iaitu Sekolah Kebangsaaan Penggaram. Sesi sekolah agama bermula pada jam dua dan berakhir kira-kira jam lima petang. Walaupun Cikgu Manaf seorang yang garang di sekolah dengan rotan panjang tidak pernah lepas daripada tangannya tetapi bila di surau dia berubah watak. Rupa-rupanya dia seorang yang periang dan suka bergurau bila berada dengan kawan-kawan.

Di situ saya kerap juga mengikuti kelas agama yang dikendalikan Tuan Haji Mahfuz. Haji Mahfuz tinggal di Parit Besar kira-kira tiga kilometer dari Gunung Soga. Dia datang mengajar dengan mengayuh basikal. Bukan seperti sekarang penceramah agama yang datang ke surau ada yang memandu kereta Mercedes. Bagi Haji Mahfuz itulah satu-satunya kenderaan miliknya. Kalau ke bandar pun dia akan menaiki basikal buruknya sama seperti ayah saya.

Haji Mahfuz datang mengajar di surau kami hampir setiap minggu. Setiap kali kalau ada kelas agama ayah saya akan mengingatkan saya supaya hadir ke surau. Saya memang suka menghadiri kelas agama di surau kerana ramai kawan saya akan turut bersama. Sebenarnya kami bukannya datang untuk kelas Haji Mahfuz. Tujuan utama kami ialah menunggu hidangan sebaik selesai kelas agama. Paling tidak pun pasti ada kuih-muih dan kopi-O disediakan.

Saya teringat pada satu peristiwa yang berlaku semasa Haji Mahfuz mengajar. Pada malam itu dia bertanyakan soalan sama ada mereka yang hadir masih ingat lagi nama tempat Rasulullah selalu mengadakan pertemuan dengan para sahabat dan pengikutnya. Oleh sebab orang-orang tua di situ semua senyap, secara spontan saya menjawab, "Darul Naduah," kata saya. Mendengar jawapan saya mereka yang duduk di barisan selari dengan pintu terus memandang ke arah saya. Waktu itu saya duduk betul-betul di muka pintu. Haji Mahfuz tercari-cari dari mana datang suara budak. Sebaik terpandangkan saya dia tersenyum. Kerana malu dipandang begitu saya terus bersembunyi di belakang dinding. Saya tidak nampak di mana ayah saya duduk tetapi sudah tentu dia tahu kerana ada orang menyebut "anak Berahim Rimau." Saya berasa lega kerana sudah pasti dalam fikirannya saya memang benar-benar memberi perhatian kepada kelas Haji Mahfuz.

Cikgu Haji Ibrahim yang senama dengan ayah saya tinggal di Beroleh sebuah perkampungan yang agak jauh sedikit. Kalau tak silap saya kira-kira enam atau tujuh kilometer dari Gunung Soga, jalan menghala ke Ayer Hitam dan tidak jauh dari Sekolah Menengah Perempuan Tun Aminah. Walaupun menetap di tempat lain dia memang selalu datang ke surau kami kerana rumah anaknya berhadapan dengan surau. Bagi budak-budak sebaya saya, kehadiran Cikgu Haji Ibrahim di surau selalu membuatkan kami kecut perut kerana dia cukup garang. Sambil memegang rotan dia akan memanggil kami untuk belajar solat. Dia tidak peduli anak siapa semua akan ditengkingnya kalau salah. Ada juga yang pernah merasa libasan rotan Cikgu Haji Ibrahim. Pernah kami berbincang sesama sendiri tentang hal orang tua yang tidak ada kena-mengena dengan surau mahupun sekolah kami itu. Kami tertanya-tanya kenapa ibu bapa kami tidak pernah peduli dengan apa yang dilakukan Cikgu Haji Ibrahim. Pernah juga beberapa orang bapa melihat sendiri bagaimana anak-anaknya dilibas dengan rotan tetapi mereka seperti tidak nampak apa yang berlaku. Mungkin ibu bapa kami sudah membuat perjanjian dengan orang tua itu.

Ada seorang lagi orang tua bernama Haji Laila. Namanya seperti nama perempuan. Dia juga seorang guru tetapi saya tak ingat di mana dia mengajar. Haji Laila terkenal kerana kereta Volkswagen merahnya. Selain itu dia juga terkenal kerana mempunyai dua orang anak gadis yang menjadi idaman para jejaka Gunung Soga. Saya tidak pernah menyimpan dendam terhadap kedua-dua anak gadisnya kerana dua sebab. Pertama, Haji Laila kawan rapat ayah saya. Sebab kedua, kedua-dua anaknya itu jauh lebih tua daripada saya.

Dia merupakan salah seorang kawan rapat ayah saya. Memang ayah saya mempunyai ramai kawan rapat dan mungkin itu juga yang saya warisi daripadanya. Mungkin kerana hubungan baik mereka Haji Laila suka mengambil tahu tentang saya. Bukan Haji Laila sahaja, isterinya Mak Wa juga serupa. Setiap kali ternampak kelibat saya sekalipun dari jauh dia akan bertanya, nak pergi mana, bila balik, mak engkau mana, bapak engkau mana dan bermacam-macam lagi soalan maut. Kadang-kadang saya rimas kerana terpaksa memberi segala macam laporan. Tetapi saya tidak dapat mengelak kerana kalau pada waktu malam jalan berhampiran rumahnya itu merupakan jalan paling selamat. Pernah sekali Mak Wa muncul dari dalam gelap menyergah saya yang balik agak lewat pada satu malam.

Sejak masuk sekolah asrama penuh bila balik bercuti saya agak kurang ke surau. Pada satu hari ketika lalu di hadapan surau untuk ke bandar, Haji Laila yang sedang duduk di tangga surau menegur saya. Marah sekali bunyinya. "Ha! Bila dah sekolah jauh dah tak ingat surau lagi, ya?" Saya tak berani menjawab. Cepat-cepat saya berjalan seolah-olah teksi sapu sedang menunggu berhampiran pondok telefon di simpang jalan masuk ke Gunung Soga itu.

Selesai urusan di bandar saya terus balik ke rumah. Sebelum maghrib saya sudah berada di surau. Sengaja saya mengambil tempat di sebelahnya waktu bersolat. Selesai solat saya mencium tangan Haji Laila. Dia tidak memberikan sebarang reaksi. Orang tua, kata hati saya. Tetapi saya harap dia puas hati bila melihat saya akur dengan "perintahnya."

Haji Laila ke Mekah bersama-sama ayah dan ibu saya. Mereka semaktab menurut istilah orang yang pergi mengerjakan haji. Mungkin kerana tahun dia bersara sama dengan ayah saya dan mereka pergi atas biaya kerajaan negeri untuk kakitangan yang bersara. Bagi saya persahabatan mereka amat bererti sekali kerana Haji Laila merupakan orang yang memangku ayah saya pada saat-saat ayah saya menghembuskan nafas terakhir. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam ketika mereka singgah di Mina dalam perjalanan kembali dari Arafah. Menurut Haji Laila perkara itu berlaku sangat pantas. Ayah saya mengadu tidak berapa sihat pada waktu siang dan apabila sampai di Mina dia nampak keletihan. Melihat keadaan ayah saya itu Haji Laila memanggil ibu saya dan dalam beberapa jam sahaja ayah saya sudah tiada. Kata Haji Laila dia sempat mengingatkan ayah saya mengucap dua kalimah syahadah dan perginya pun dalam keadaan yang cukup tenang. Menurut Haji Laila lagi, ketika ayah saya demam beberapa minggu sebelum itu doktor di Mekah berjaya mengesan bahawa ayah saya menghidap bengkak hati yang dipercayai sudah dihidapi lama sebelum berangkat ke Tanah Suci. Memang rezekinya untuk ke Mekah kerana kalau berjaya dikesan di Malaysia sudah tentu dia tidak dapat menunaikan haji.

Cerita ini disampaikan kepada saya di pangkin luar rumahnya. Di situ juga Haji Laila bercerita bagaimana dia melihat keadaan ibu saya. Katanya, dia belum pernah berjumpa dengan seorang isteri yang cukup sabar dan tabah menghadapi saat-saat kematian suaminya. Tidak ada setitik pun air matanya gugur pada malam itu. Selepas jenazah dibawa pergi, ibu saya masih juga tenang dan sabar. Begitu juga pada hari-hari berikutnya. Memang benar, ketika keluarga kami menyambutnya pulang di Lapangan Terbang Subang, bila saja kakak sulung saya memeluknya dan hampir pengsan, berkali-kali dia mengingatkan kami semua supaya jangan menangis. Katanya, "Tuhan lebih sayangkan ayah engkau semua, biarlah dia pergi. Dia dah selamat di sana. Memang itu hajat dia."

Saya amat memahami semangat kental ibu saya. Dia sudah melalui bermacam jenis pengalaman yang menyedihkan. Dia kehilangan ibu pada waktu kecil, kemudian kehilangan ayahnya, abang sulungnya, adik-adiknya serta saudara-mara rapatnya. Kalau bercakap tentang kematian, dia pernah memberitahu bahawa dia telah menyaksikan sekian banyak kematian sepanjang hayatnya. Dia melihat sendiri ketika mereka semua menghembuskan nafas terakhir. Dia selalu bercerita tentang pengalaman-pengalaman itu. Tetapi apa yang sebenarnya ada dalam benaknya berhubung soal kematian tidak sempat saya selongkar sehinggalah dia sendiri dipanggil pergi oleh malaikatul maut. Dan saya juga tidak faham mengapa dia mahu menyembunyikan kesedihan atas pemergian orang yang paling dicintainya daripada anak-anak.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham ayah dan ibu saya serta ahli-ahli jemaah surau Gunung Soga yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita semua. Al Fatihah.

Friday, 24 September 2010

Ikhlas, saya bukan orang filem

Sudah tentu saya terkejut menerima ucapan selamat hari lahir yang paling banyak sepanjang 54 tahun. Semuanya kerana Facebook. Siapa kata Facebook tak bagus. Memang banyak faedahnya kalau medium itu digunakan untuk kebaikan. Tetapi kalau Facebook disalahguna dan dibiarkan menguasai kehidupan seharian hinggakan kita tidak menghormati siang sebagai siang dan kita menzalimi malam yang dianugerah tuhan padahnya sudah pasti banyak sekali. Baik apa pun bagi saya manusia tidak harus menyalahkan teknologi. Teknologi berkembang mengikut arus zaman untuk memenuhi tuntutan hidup manusia dan membawa kepada banyak penyelesaian masalah kehidupan. Kalau berlaku penyalahgunaan itu tidak dapat dielakkan kerana sebagai manusia bukan semua mampu mengawal nafsu.

Kalau difikirkan, apa sangat setakat 50-60 mesej jika dibandingkan dengan orang yang biasa menerima beratus-ratus ucapan. Tetapi kalau dilihat pada peratusannya iaitu sepuluh peratus daripada hampir enam ratus rakan Facebook saya jumlah itu sudah cukup membanggakan diri saya sebagai seorang manusia biasa. Ingatan kawan-kawan itu cukup bererti sekali.

Isteri saya "tak main" Facebook. Seperti biasa ucapannya ditulis istimewa pada kad ucapan yang tidak pernah lupa diberikan setiap tahun sejak awal perkahwinan. Kak Yong, tak cukup dengan kata-kata manis dalam kad turut menulis dalam Facebook dengan mengingatkan saya bahawa "If i'm a little unusual myself, remember I got it from you."

Itu ayat dalam kad yang diberikan kepada saya pada tahun 1999. Ketika itu dia berusia 15 tahun dan berada dalam tingkatan 3. Memang benar kalau dia nampak agak lain sedikit kemungkinan besar itu diwarisi daripada saya (mengikut katanya). Tetapi dia harus ingat bahawa kalau lain sangat perangainya, saya harap itu bukan turun daripada saya. Baik apa pun, saya amat terharu dengan ucapan kasih sayangnya dan ucapan maaf atas apa yang dilakukan. Saya harap anak-anak sedar bahawa saya sentiasa memaafkan baik sebesar mana kesalahan mereka. Saya dan isteri juga bukan sekadar sentiasa mendoakan tetapi juga mengusahakan yang terbaik untuk mereka.

Baby yang berada di Kuantan ada menelefon pada waktu tengahari selain turut menulis ucapan menerusi Facebook. Tulisannya mencuit perasaan saya dan saya memberitahu bahawa sudah tentu saya terharu. Lain-lain ucapan saya terima daripada anak-anak saudara saya, anak-anak angkat saya yang kesemuanya perempuan, kawan-kawan serta dua tiga orang bekas pelajar di institut tempat saya mengajar di Pekan yang masih memanggil saya cikgu.

Yang menarik, seumur hidup saya artis Melayu pertama yang menghantar ucapan ialah Hasnul Rahmat. Hasnul seorang pelakon yang amat saya senangi kerana senyumannya dan saya dapati dia seorang anak muda yang bersopan-santun serta pandai menghormati "orang tua" seperti saya yang dipanggilnya abang. Itu memang sudah menjadi budaya orang filem yang turut menjangkiti guru-guru sekolah. Contoh paling jelas apa yang berlaku di sekolah isteri saya. Seorang guru muda yang baru sahaja mula mengajar akan memanggil seorang guru veteran seperti isteri saya dengan panggilan "kak." Bayangkan betapa besar jurang perbezaan umur mereka. Isteri saya akan bersara pada penghujung tahun depan. Oleh kerana isteri saya dipanggil "kak" maka sudah tentu guru muda yang jauh lebih muda daripada anak-anak saya itu akan memanggil saya abang.

Selepas Hasnul, Sofea Jane melakar sejarah sebagai satu-satunya pelakon wanita Melayu pernah mengucapkan selamat hari lahir kepada saya. Ini seorang lagi artis yang saya kagumi yang tidak pernah memberi masalah sepanjang penggambaran filem Hanyut. Artis yang saya panggil Piah sembilan belas tahun lalu ini juga pandai menghormati orang.

Selain itu ada dua mesej istimewa yang saya terima. Satu daripada sasterawan muda Rahimidin Zahari yang memanggil saya Kekanda manakala satu lagi daripada Julia Fraser produser filem Hanyut yang tidak pernah lupa bertanyakan tentang kesihatan isteri saya setiap kali berhubung atau bertemu muka. Saya bergurau memberi respons kepada Julia dengan memberitahunya bahawa dialah satu-satunya produser filem dalam dunia yang mengirim ucapan.

Antara ucapan daripada sahabat, rakan dan kenalan, ada satu yang agak istimewa. Ucapan itu datangnya daripada pengarah filem U-Wei bin Haji Saari yang berbunyi, "Selamat Hari Lahir paduka sahabatku. Semoga yang baik-baik menemui kamu. Perhubungan kita amat besar erti dan amat aku hargai. Allah lindungi dari kecelakaan."

Bunyinya lain daripada yang lain tak ubah seperti dailog dalam Wangi Jadi Saksi. Paduka merupakan satu panggilan atau gelaran mulia. Mengenali U-Wei, dia jarang sekali mahu mensia-siakan tutur katanya. Saya tersenyum membaca ucapan itu tetapi di hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Tulisan ini sekadar mencatat rasa bangga saya. Walaupun tidak seramai mana tetapi apa yang berlaku hari ini memberitahu saya bahawa masih ada juga kawan-kawan yang mengingati saya yang bunyi setiap ucapan itu dapat saya rasakan amat jujur dan ikhlas sekali. Saya amat menghargai ingatan serta doa mereka. Cuma yang saya kesalkan, mungkin antara mereka itu yang sudah menyambut ulang tahun kelahiran tetapi kerana saya tidak rajin bermain Facebook sudah pasti banyak yang saya terlepas pandang dan tidak pernah menghantar ucapan selamat hari lahir.

Peristiwa yang berlaku sepanjang hari ulang tahun kelahiran saya hari ini turut memberitahu dengan jelas bahawa sahabat filem saya sebenarnya memang tidak ramai. Lagipun sejak dulu lagi saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai orang filem. Saya menyertai Hanyut kerana kebetulan U-Wei bin Haji Saari sahabat yang saya kenali sejak dua puluh dua tahun dulu dan mungkin juga kerana dia melihat ada sesuatu pada diri saya yang serba-sedikit boleh membantu pengurusan filem itu. Kerana dia jugalah produser Julia Fraser serta pelakon seperti Hasnul dan Sofea mengenali saya. Kalau boleh saya mahu tambah seorang lagi iaitu Khalid Salleh yang memang sudah mengenali saya sejak zaman Teater Elit lagi. Begitu kecil sekali bilangannya. Memang saya ikhlas.

Monday, 6 September 2010

Kisah Set Pinggan Pyrex

Sewaktu zaman bujang saya mengajar sementara di sebuah sekolah menengah di Johol, saya tinggal di Kuala Pilah di kawasan berek JKR Jalan Melang yang terletak di belakang Women Hospital. Saya tidak pasti apakah sekarang ini Women Hospital sudah diberi nama baru atau masih kekal dengan nama lama.

Kedua-dua teman serumah saya lebih berusia daripada saya. Ketika itu umur saya belum pun mencapai sembilan belas. Abang Zul berusia dua puluh lapan tahun yang merupakan abang paling tua yang kata-katanya tidak pernah kami bangkang. Dia tidak banyak cakap tetapi sesekali mengeluarkan kata-kata sudah pasti bisa. Abang Sham pula berusia kira-kira dua puluh lima tahun, periang orangnya dan sama seperti saya memang banyak cakap.

Kedua-dua mereka bekerja dengan jabatan kerajaan dengan pendapatan yang tidak begitu besar. Pada usia begitu sudah tentu kedua-duanya selalu bercakap tentang hasrat untuk mendirikan rumah tangga tetapi bila saya tanya kenapa mereka masih belum berkahwin jawab mereka mudah. "Dengan gaji banyak ni apa kita orang nak bagi makan anak orang?"

Agaknya kerana itulah saya ditinggalkan kekasih. Bila sahaja dia mendapat tahu saya cuma mengajar sementara tanpa perancangan masa depan serta-merta dia memberitahu bahawa teman lelaki lamanya yang pada waktu itu sedang menuntut di luar negara tiba-tiba sahaja kerap mengirim surat. Bagi saya mudah, kalau hatinya sudah berbelah-bagi buat apa saya tunggu. Elok ditamatkan sahaja perhubungan kami. Dalam keadaan begitu sudah tentu saya juga tidak mampu memberi makan anak orang. Saya pasti bekas kekasih saya itu akan mempunyai masa depan yang lebih cerah kerana dia berjaya meneruskan pengajian di tingkatan enam dan bekas teman lelakinya pula sudah mahu berbaik semula. Saya cuma mampu mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Ah! Perempuan..

Sungguhpun masih tidak pasti mampu menyara anak orang pada satu hari saya terkejut melihat Abang Zul dan Abang Sham membawa balik beberapa set pinggan-mangkuk. Saya bertanya untuk apa. Kata mereka, "Kita kumpullah sikit-sikit. Nanti kalau nak menikah senang dah ada barang rumah." Betul juga. Tiba-tiba Abang Sham mencadangkan kepada saya. "Kau belilah Shah, nanti nak menikah senang," memang bagus idea itu tetapi saya jawab, "Mana saya mampu nak beli, nak hantar duit kat mak pun tak cukup."
Tetapi Abang Sham memberitahu, "Alah! Kau bayarlah sikit-sikit. Nanti abang aturkan. Kami pun bukan bayar cash. Bayar sikit-sikit.."

Keesokan harinya dia membawa balik katalog dan menyuruh saya memilih. Kata Abang Sham set pinggan berjenama Pyrex dijamin tahan lama dan memang paling bagus di dunia. Saya tidak pernah tahu jenis pinggan-mangkuk tetapi kerana terpengaruh dengan mereka lalu saya bersetuju untuk membeli satu set pinggan Pyrex yang rekabentuknya diberi nama Chelsea. Ada enam pinggan, enam set cawan dan piring dan sebuah mangkuk panjang bersegi. Saya tidak pasti apa jenis mangkuknya.

Selama enam bulan berikutnya saya berjaya menyelesaikan hutang set pinggan Pyrex itu dan bayaran terakhir saya langsaikan pada bulan terakhir saya mengajar. Selepas berhenti mengajar set pinggan Pyrex itu saya bawa balik ke kampung di Batu Pahat dan saya berikan kepada ibu saya. Saya tidak pernah lihat arwah ibu saya menggunakan set pinggan tersebut. Tetapi saya amat berbangga kerana set pinggan Pyrex itu sentiasa tersimpan baik di dalam kabinet yang sesiapa juga akan melihatnya kalau duduk di ruang tamu. Itulah hadiah pertama saya untuk ibu dan sekurang-kurangnya dia dapat juga merasa wang gaji saya walaupun saya tidak dapat mengirimkan setiap bulan.

Selepas saya berkahwin pinggan itu masih menjadi milik ibu saya sehinggalah dia meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu. Hanya selepas itu saya mengambil semula set pinggan Pyrex itu. Isteri saya kerap juga menggunakan set pinggan itu untuk hidangan tetamu. Memang benar kata Abang Sham, Pyrex jenama yang tahan lama kerana usia set itu sudah tiga puluh lima tahun jika dikira daripada tarikh set itu saya beli. Saya tidak tahu bila set pinggan itu dibuat. Sudah tentu beberapa tahun sebelum sampai ke Malaysia yang menjadikan usianya lebih daripada tiga puluh lima tahun.

Ramadhan tahun ini mangkuk panjang Pyrex itu isteri saya gunakan untuk mengisi puding yang dibuatnya beberapa hari lalu. Baru tadi saya menjamah lagi puding yang masih ada separuh lagi tersimpan di dalam peti sejuk. Tidak ada orang yang mampu membuat puding sesedap puding buatan isteri saya. Melihat itu hati saya amat tersentuh. Abang Zul sudah lebih sepuluh tahun meninggal dunia manakala Abang Sham sudah lama tidak saya temui. Kali terakhir kami bertemu di Rembau kira-kira sepuluh tahun lalu. Pasti dia sudah bersara daripada perkhidmatan Kerajaan.

Ibu saya juga sudah lama meninggalkan kami tetapi set pinggan Pyrex itu masih boleh digunakan dan saya pasti akan tahan untuk beberapa tahun akan datang. Saya tidak tahu entah berapa lama lagi kami diizinkan Allah untuk menggunakan set pinggan itu. Saya harap anak-anak saya akan menyimpan set pinggan itu dengan baik bila kami sudah tiada lagi di dunia ini. Itulah satu-satunya barangan yang paling saya sayang yang bakal menjadi pusaka tinggalan kami, bukan kerana nilai ringgitnya tetapi kenangan yang amat tinggi nilainya.

Salam Ramadhan dan Selamat Menyambut Aidilfitri.

Sunday, 29 August 2010

Tak ada siapapun terkorban..

Di persimpangan masuk ke Hotel Inderapura tempat saya selalu menginap bila ada urusan di Pekan ada satu deretan gerai makan. Setiap kali saya ke sana saya dapati hanya beberapa gerai sahaja yang dibuka. Ada juga yang sekejap buka sekejap tutup. Pernah sekali saya bersarapan di salah sebuah gerai kerana saya lihat ada seorang perempuan tua menebar roti canai. Saya teringatkan roti canai arwah ibu saya yang rasanya memang berbeza daripada roti canai mamak. Ternyata benar. Roti canai buatan perempuan itu rasanya menyamai roti canai buatan rumah arwah ibu saya. Saya tak tahu apa rahsia di sebalik rasa itu. Hanya beberapa kali sahaja saya berpeluang menikmati roti canai perempuan tua itu kerana selepas itu kedainya tidak lagi beroperasi.

Lot kedai di sebelah hujung berhampiran jalan masuk ke hotel itu memang tidak pernah saya kunjungi. Tetapi baru-baru ini bila ke sana saya dan sahabat saya makan di gerai itu kerana kebetulan tidak ada gerai lain dibuka. Pemiliknya sepasang suami-isteri dan anak perempuannya bertindak sebagai pembantu. Semasa anak perempuan itu menghantar makanan saya sempat bertanya. "Awak ni tak sekolah ke esok?"

Dia tersenyum mendengar soalan saya,
"Saya cuti Pak cik."
"Awak belajar kat mana?"
"Saya buat Fine Art kat UiTM."
Sudah tentu saya terperanjat kerana anak itu nampak seperti masih bersekolah.
"Tahun berapa?"
"Tahun dua, Pak Cik."
"Awak cuti ke?"

Kemudian dia menjawab, "Saya sambung cuti. Tengah mohon buat PJJ,"
"Oo gitu..Kenapa tak nak buat full time?" tanya saya lagi.
"Sebenarnya adik saya seorang dah masuk kolej, seorang lagi pun baru nak masuk. Jadi saya kena tinggal sini tolong mak."
"Boleh dapat ke?"
"Boleh. Cuma tunggu surat aje."

Budak itu kemudian kembali ke kaunter untuk mengambil air. Bila dia datang semula saya bertanya lagi,
"Bila buat PJJ awak nak cari kerja ke?"
"Taklah. Kerja sinilah tolong mak dgn ayah."
"Oh gitu.. maknanya awak ni berkorbanlah ya?"

Sambil berjalan kembali membawa dulang air itu dia menjawab sambil tersenyum,
"Tak adalah Pak Cik. Memang saya dah rancang macam tu. Tak ada siapapun terkorban.."

Saya dan sahabat saya Fadzil hanya mampu memandang satu sama lain mendengar jawapan anak itu.